PROGRAM kanak-kanak “Chiki Boom” terbitan Unit Majalah dan Dokumentari (UMD), Radio Televisyen Malaysia (RTM) sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan penonton cilik. Kini ia kembali menjengah musim baharu mulai 23 September ini, setiap Ahad, pukul 10.00 pagi di TV2.
Menerusi siri terbaharu ini, Chiki Boom menjanjikan perkongsian dan pengisian yang menarik untuk semua mengisi beberapa segmen berbeza. Ikuti segmen ‘Cerita Chiki’ yang menonjolkan sketsa dilakonkan oleh pengacara baharu Chiki Boom bagi menyampaikan mesej atau topik pada episod dipilih. Sketsa disampaikan watak sampingan atau watak sebenar pengacara Chiki Boom. Watak sampingan yang dimaksudkan adalah Abang Nadhir sebagai Hakim Tukul (mementingkan kebenaran dan fakta), Aufa sebagai Nyonya Kepoh (kaki gossip dan mengecohkan suasana) serta watak lucu dan bertenaga Fahim sebagai Professor bOOm! Yang lurus bendul dan luas ilmu pengetahuan dalam bidang sains.
Menyusul segmen ‘Cuit Chiki’ merupakan olahan seolah-olah rakaman kamera litar tersembunyi (CCTV). Gelagat dan maklum balas peserta jemputan (kanak-kanak berusia 7-10 tahun) dirakam. Turut menampilkan watak provoker yang dilakonkan oleh abang Pocot (seorang badut yang menguji minda dan maklum balas peserta). Ia dirakam di dalam studio.
Mengisi segmen kebabOOm! aktiviti vox pop (temuramah secara spontan) untuk mengumpul dan merakam pendapat kanak-kanak berkenaan tajuk bagi episod yang terpilih. Segmen vox pop ini dirakam pada pelbagai acara yang melibatkan kanak-kanak sekitar ibu negara.
Menarik dalam segmen Fuyooh! pula saksikan klip video yang diolah berdasarkan topik bagi setiap episod. Setiap episod akan memaparkan satu klip video. Lagu yang dinyanyikan sendiri oleh para pengacara adalah dari rentak dan irama lagu terkini. Namun, pasukan produksi mengubah lirik lagu tersebut berdasarkan tajuk pada sesebuah episod.
Lazimnya para pengacara akan membuat kesimpulan bagi segala konflik yang diwujudkan dalam sesebuah episod. Segmen akhir ini akan dilakukan samada oleh para pengacara sendiri atau watak sampingan mereka.
Dalam episod pengenalannya saksikan tajuk ‘Kawan baharu! yeay!’ memaparkan gelagat dan proses yang dilalui oleh para peserta uji bakat bagi watak pengacara Chiki Boom musim baharu. Ia diadakan pada 27 dan 28 Januari lalu bertempat di Bangi Wonderland Theme Park & Resort. Akhirnya pasukan produksi Chiki Boom telah memilih dua peserta terbaik iaitu Fahim dan Aufa berusia 12 tahun menggantikan bekas pengacara musim sebelumnya, iaitu Lion, Gya, Darvind dan Amber. Namun siri baharu ini tetap mengekalkan pengacara Nadhir Nordin (dikenali sebagai abang Nadhir) bagi membimbing rakan-rakan junior Chiki Boom.
Episod ‘Hantu!!! Wujud Ke?’ ia mengupas dilema yang sering dialami oleh kanak-kanak terutamanya yang tinggal di Asia Tenggara. Kisah-kisah mitos, tahyul, sejarah lisan, kepercayaan tradisi, komik, filem dan pelbagai medium lagi telah mempengaruhi kepercayaan kanak-kanak di Asia amnya, dan Malaysia khususnya. Bagi kanak-kanak sasaran Chiki Boom yang berusia 7-10 tahun, pelbagai kerenah dan pendapat yang mencuti hati boleh dilihat pada segmen Cuit Chiki dan kebabOOM! Sketsa yang dilakonkan oleh abg Nadhir, Aufa dan Fahim yang mengambil tempat di Lost World of Tambun adalah sesuatu yang penonton harus tonton. Hantu! Wujud ke?
Berikutnya episod ‘VS Realiti’ berkongsi zaman berubah dan golongan kanak-kanak merupakan golongan yang paling terasa dengan perubahan yang dialami. Dunia digital mula menguasai seluruh aktiviti yang melibatkan kanak-kanak. Episod ini menjurus kepada perbandingan minat permainan digital berbanding permainan realiti (atau tradisi) dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia. Kepetahan kanak-kanak memberi pendapat mereka dalam segmen kebabOOM! dan gelagat mereka dalam eksperimen sosial yang dijalankan oleh pasukan produksi bagi segmen Cuit Chiki pasti menghiburkan. Jom lihat mana satu kategori permainan yang lebih diminati oleh kanak-kanak terpilih dalam episod kali ini. Digital atau Realiti?
Setiap tahun musim Chiki Boom tanpa gagal mengutarakan isu alam sekitar. Musim baharu turut memaparkan kepentingan menjaga alam sekitar dan impaknya jika bumi tidak diperlihara dengan baik. Dalam episod ‘Bumi Kita…Kesian Dia!’ menyelongkar bagaimana kanak-kanak boleh memainkan peranan dan apakah cadangan mereka untuk melihat bumi yang lebih bersih dan sihat untuk didiami? Turut boleh dinikmati pemandangan indah lokasi penggambaran di Bidaisari Resort, Janda Baik Pahang.
Episod ‘Kongsilah…’ pula tentang perasaan kekitaan dalam kalangan keluarga, sahabat atau kenalan sekeliling harus wujud dan diamalkan dalam setiap individu terutama kanak-kanak. Dunia siber yang sering bertindak secara individu telah mewujudkan jurang untuk memupuk semangat kekitaan. Episod ini memberi idea dan saranan agak kanak-kanak terus mengamalkan amalan berkongsi dalam kehidupan seharian.
Ikuti banyak lagi tajuk-tajuk menarik yang berkaitan dengan dunia kanak-kanak anda dalam program ini.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.
FB: Chikiboom Rtm
IG: chikiboomtv2