in , , ,

Che Ta & Zain Saidin Bercinta Dalam Telemovie JANJIKAN AKU BAHAGIA di TV2

Kisah percintaan dan perkahwinan pelakon cantik Che Ta dan Zain Saidin diabadikan dalam telemovie bertajuk “Janjikan Aku Bahagia” disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 18 April ini, pukul 10.00 malam mengisi slot Citra di TV2.

Telemovie tersebut yang menggandingkan Zain Saidin dan Che Ta berlakon sebagai pasangan suami isteri ini menceritakan tentang perjalanan kisah seorang wanita yang mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang lebih muda. Turut dibintangi oleh Zila Bakarin dan Azuan Mazlan, telemovie arahan Shirin Khuzaimi ini mengisahkan watak utama Nora adalah seorang janda yang mempunyai seorang anak perempuan remaja. 

Che Ta dan Zain Saidin watak utama telemovie Janjikan Aku Bahagia

Sementara itu Malique, seorang pemuda yang tampan, jatuh cinta dengan Nora yang jauh berusia darinya. Malique yakin dan jujur dengan cintanya terhadap Nora tanpa menghiraukan tanggapan orang terhadap jarak umur mereka.

Sungguh pun Nora telah menolak lamaran Malique, namun Malique terus memujuk dan meyakinkan Nora. Nora yang pada mulanya sukar menerima kehadiran Malique akhirnya mengalah dan bersetuju menerima lamaran Malique. Mereka akhirnya berkahwin. 

Namun berlaku konflik yang tidak diduga apabila hubungan mereka ditentang oleh Ameera, anak Nora. Dia ternyata menentang keras dan tidak merestui perkahwinan mereka. Pelbagai cara digunakan Ameera dalam menunjukkan rasa tidak puas hatinya. 

Dalam pada itu, setelah berkahwin, Nora dan Malique ternyata masing-masing menghadapi masalah kesihatan. Nora menghidap kanser servik manakala Malique pula menghidap sakit jantung. 

Namun masing-masing merahsiakan masalah kesihatan dari pasangannya. Nora khuatir beliau tidak dapat membahagiakan suami mudanya dan ini memisahkan mereka berdua. Begitu juga Malique yang seboleh-bolehnya tidak mahu Nora simpati terhadapnya.

Dalam pada itu, mereka berdua menjalankan rawatan bagi memulihkan masalah kesihatan masing-masing dengan harapan mereka dapat bersama untuk tempoh yang panjang. Mereka berusaha meyakinkan diri untuk sembuh seperti sediakala. 

Masih terbukakah peluang untuk mereka kembali bersama? Bagaimana pula penerimaan Ameera bila mengetahui ibu dan bapa tirinya di ambang kematian? Saksikan kesudahan teemovie menarik ini. 

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Samsung’s QLED TV Online Pre-order

Peraduan Premiere With Budiey – Filem KING ARTHUR: LEGEND OF THE SWORD