Sekarang ni, Budiey berada di Sidang Media Pra Kemuncak Anugerah Bintang Popular 2009 yang diadakan Hotel Palace of Golden Horses, Sri Kembangan. Update secara live, guna gadget kat tangan ni.
Hari ini, ABP akan umumkan temanya iaitu Cetusan Warna atau Riot of Colours.
Selain pengacara, diumumkan juga penyampai trofi dan senarai artis yang akan buat persembahan.
Antara selebriti yang hadir ialah Dafi, Sherry Ibrahim, pengantin baru Zila & Along Raja Lawak, Ana Raffali, Lisa Surihani, One Nation Emcees, Raihan, Putri Mardiana, Lan Typewriter, Anne & Ikhwan Hot FM, Aril, Stacy, Wings, Datuk M Daud Kilau, Black, Jaclyn Victor, Akim, Nuralbaniah, Sharifah Shaheera, Shidee dan ramai lagi.
Pengacara ABP 2009 ialah Raja Azura & Sharifah Shaheera.
Penyanyi yang akan perform antaranya, Faralyana bergabung dengan artis lain nyanyi lagu Untukmu – Feminine dan Awas KRU, Adam, Ainul Aishah, Akim, Hafiz, Aril, Azlan & Typewriter, Black, Bunkface, Dafi, Datuk M Daud Kilau, Dayang Nurfaizah, Diana Danielle, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Liyana Jasmay, Munif Hijjaz, Nazrey Raihan, One Nation Emcees,Rabbani dan Stacy.
Sidang media petang ini dihoskan oleh Anne & Ikhwan.
Selain persembahan fesyen yang diiringi dengan iringan nyanyian daripada Syazwani – Bintang Idola 2008, majlis dihiburkan juga dengan persembahan daripada Alyah dengan lagu Ku Ke Udara Lagi.
Maka di sini juga tertumpunya ramai wartawan yang sedang mengorek cerita sensasi… antara Scha Al Yahya diterjah Melodi dengan isu-isu panas.
Scha nampak lebih cantik dengan warna yang lebih terang begini. Menyala!
dan juga Shidee pun ada hadir. Eh mana gambar Shidee nih… alamak tak jumpa. Sorry.
Dan menjadi medan untuk selebriti memperagakan fesyen glamornya dengan rekaan daripada pereka fesyen terkemuka. Tapi jangan sampai dicop mangsa fesyen sudahlah.
Okay tengok… kan dah cakap. Didie Alias pun dah macam mencebik macam menyindir Si Enot. Oooo, diorang bergurau je tu, jangan salah sangka.
Agak-agak, apa lah yang diperkatakan oleh Didie Alias ni ek?
Sementara itu, dalam Berita Harian hari ini telah pun dikeluarkan analisa dan perangkaan jurang beza antara artis yang diundi oleh pembaca akhbar itu.
KALAU ikutkan undian melalui Facebook, artis atau selebriti yang paling tinggi undiannya adalah Fara Fauzana, diikuti oleh Scha Alyahya, Yuna dan juga Fahrin Ahmad. Berdasarkan undian itu juga, penyampai radio Hot FM itu sebenarnya layak digelar Bintang Paling Popular. Scha, Yuna dan Fahrin pula ada potensi untuk bergelar paling popular.
Tetapi itu mengikut Facebook. Jika meneliti pula undian dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 yang proses pengiraan undinya sedang rancak berjalan di sebuah bilik rahsia di Balai Berita, keempat-empat nama itu langsung tak masuk senarai. Tetapi jika peminat mereka memilih untuk terus memperhebatkan undian, status mereka tidak mustahil boleh berubah.
Siapa pun pilihan pembaca, ingatlah biarlah ia PILIHAN ANDA dan bukan pilihan majoriti kerana hadiah yang menanti mereka yang bertuah BUKAN berdasarkan pilihan tepat. Hadiah untuk mereka yang mengundi melalui akhbar lebih lumayan berbanding melalui SMS iaitu sebuah kereta Grand Livina, motosikal Naza dan juga berlian Habib, pakej pelancongan ke Korea Selatan, perabot Empire Furniture Classic serta pelbagai hadiah lumayan lagi.
Cuma, pengundi melalui keratan borang di Berita Harian/Berita Minggu perlu menulis sebab mereka memilih seseorang calon untuk menjadi Bintang Paling Popular mereka. Ia bukanlah slogan cuma sedikit kata-kata kreatif dalam tidak lebih daripada 15 patah perkataan. Untuk pengundi melalui SMS pula, telefon bimbit, komputer riba, kamera digital, iPod dan MP4 menanti mereka yang bertuah.
Baiklah, kita teruskan analisis undian sepanjang minggu ini. Beberapa artis dilihat seperti tiada peminat kerana undian untuk mereka begitu sedikit. Mengikut jejak Fasha Sandha seperti yang diperkatakan minggu lalu adalah Putri Mardiana. Nampak gayanya, ‘santau’ pelakon yang berbakat besar ini tidak menjadi dalam undian final ABPBH 2009.
Begitu juga dengan Dira yang kurang menyerlah dari segi undian. Bagaimanapun, undian untuk Yuna semakin meningkat. Jika konsisten tidak mustahil dia boleh memberi saingan kepada Tiz Zaqyah dalam kategori Artis Baru Wanita Popular. Dalam kategori lelakinya pula, artis baru yang kurang menyerlah adalah Aril dan Gambit. Saingan semakin sengit untuk Akim, Black dan Hafiz.
Dalam kategori Penyampai Radio Wanita Popular, undian Leya, penyampai Hot FM dan Nana, XFM tidak memberangsangkan langsung sedangkan undian untuk Linda Onn dan Fara Fauzana kembali sengit. Begitu juga dengan Din Beramboi dalam kategori lelakinya. Malah, rakan setugas yang meriuhkan Pagi Era, Aznil Nawawi jauh meninggalkan penyampai yang turut menjadi pengkritik Raja Lawak musim ini.
Dua lagi nama calon Top 5 yang kurang menyerlah dari segi undian adalah Nik Sayyidah atau lebih dikenali dengan nama Mek Su dan Aliza Abdullah (Enot). Hello, peminat Mek Su dan Enot, bangkitlah dari lena yang panjang kerana mereka ini sebenarnya memang berbakat. Dalam kategorinya lelakinya pula, undian untuk Saiful Apek semakin meningkat dan jauh meninggalkan AC Mizal. Entah mengapa dalam undian ABPBH tahun ini, bekas hos Akademi Fantasia ini seperti tidak menyerlah langsung berbanding sebelumnya. Tidak pasti sama ada ini adalah mesej daripada peminat/pembaca yang tidak lagi mahu menerimanya kerana sudah sibuk menguruskan perniagaan bernilai RM200 juta.
Dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular, sesuatu yang menarik untuk diperkatakan adalah buat pertama kalinya Fahrin mula menjadi saingan kepada Remy Ishak dan Fizz Fairuz. Malah, jika undian untuk Fahrin terus konsisten, tidak mustahil dia bakal diangkat menjadi Pelakon TV Lelaki Popular. Pendek kata, ia tidak lagi menjadi laluan mudah untuk pasangan adik-beradik ini.
Kontroversi yang melanda Tiz Zaqyah juga seolah-olah menjejaskan undian terhadapnya minggu ini. Ini bagaikan berita baik untuk Scha yang terus cemerlang. Undian untuk Rozita Che Wan dan Noorkhiriah masih tidak berubah kerana barangkali sejak akhir-akhir ini pula publisiti untuk kedua-duanya begitu kurang. Untuk Rozita barangkali juga peminat mual dengan ceritanya yang tak habis-habis mengenai cinta VIP. Tak salahkan pelakon cantik ini kerana soalan yang ditanya seringnya mengenai soal cinta kerana kebetulan pula dia juga memegang gelaran janda.
Berikut adalah analisis undian untuk kategori lain:
- Penyanyi Lelaki Popular – cabaran sengit di antara Mawi dan Akim. Peminat Aizat dan Faizal Tahir, di manakah anda?
- Penyanyi Wanita Popular – memang sah tiada saingan langsung untuk Datuk Siti Nurhaliza.
- Penyanyi Duo/Kumpulan Popular – Meet Uncle Hussain tanpa Lan bagaikan menjejaskan populariti mereka. Malah, kehadiran Black juga tidak mampu untuk menarik undi untuk mereka dalam kategori ini. Sixth Sense juga bagaikan tidak disedari kehadiran mereka. Ya… saingan sengit memang untuk Adam & Stacy dan Bunkface.
- Penyanyi Nasyid Popular – setakat ini sah milik Rabbani.
- Pelakon Filem Lelaki Popular – undian untuk Zul Huzaimy semakin meningkat meninggalkan Farid Kamil. Mungkin kehadiran V3: Samseng Jalanan di pawagam bakal meledakkan undian untuknya.
- Pelakon Filem Wanita Popular – saingan sengit di antara Maya Karin, Liyana Jasmay dan Lisa Surihani.
- Pengacara TV Wanita Popular – saingan masih di antara Fara Fauzana dan Sarimah Ibrahim.
Undian ini adalah setakat Selasa (23 Februari 2010) saja dan ia boleh berubah. Memanglah undian hak milik kekal peminat dan pembaca Berita Harian/Berita Minggu tetapi kehadiran calon Top 5 di lokasi promosi jelajah yang akan bermula 5 Mac ini sedikit sebanyak dapat membantu dari segi undian. Road tour adalah platform untuk artis mendekati dan beramah mesra dengan pembaca dan ABPBH menyediakan peluang itu.