Salam buat semua pembaca semua…
Untuk pengetahuan korang pembaca semua, hari ini Budiey mulai bercuti dan akan balik kampung Budiey di Kelantan untuk beraya. Saya akan terbang dengan AirAsia, Now Everyone Can Fly) ke Kota Bharu dari LCCT jam 1.40 petang. Tiket pergi-balik ni Budiey tempah seawal bulan April lalu dengan harga RM179.98. Murah tak? Plan hari ini, jam 9 pagi Budiey bertolak ke LCCT dengan menggunakan bas AirAsia di KL Sentral. Rasanya tidaklah awal sangat kot, sebab takut jammed ke apa ke kan. Sampai di LCCT mungkin boleh online sekejap. Huhuhu…
Walaupun Budiey akan jauh dengan dunia cyber tapi blog ini akan terus dikemaskini setiap hari. Beberapa entri sudah pun saya publish. Cuma Budiey nak minta maaf sangat-sangat sebab komen korang semua akan disekat dari tersiar dan akan dipaparkan sebaik sahaja saya kembali ke alam siber seperti biasa.
Bercakap pasal balik raya ni, korang bila pulang kampung? Khabarnya, ramai pembaca akan balik beraya pada hari ini. Yang penting, balik awal ni bolehlah rasa kemeriahan berpuasa dan keseronokan melihat sambutan pesta pelita panjut di kampung. Adakah benar kata orang sekarang, raya dulu dan sekarang banyak bedanya? Ada yang kata, raya dulu lebih meriah dan ada yang berpendapat raya di zaman teknologi ini lebih seronok. Budiey rasa sebenarnya mana-mana waktu dan zaman sama sahaja. Tidak kira dulu dan sekarang, hari ini, esok dan selamanya, konsep hari raya merupakan sinar kemenangan bagi hamba yang mengerti erti puasa yang sebenarnya. Cuma corak masa dan titian waktu yang membezakan. Perubahan dan kitaran alam yang menjadikan raya kini seakan tidak semeriah dulu.
Menginjak ke alam dewasa, Budiey tidak seghairah ketika zaman kanak-kanak untuk membeli baju raya. Kini, baju raya pun guna yang tahun lepas. Kekadang 5 tahun tidak berganti. Pakai sahaja mana yang ada. Tahun ini, rezeki lebih sikit baru Budiey buat sepasang baju Melayu berwarna kuning bersampin. Dulu masa budak-budak lain la kan? Risau kalau baju Melayu yang ditempah tidak disiapkan. Pendek kata sebulan sebelum raya semua persiapan pakaian raya lengkap serba ‘mok niko’ (loghat Kelantan untuk serba aneka). Maklum sahaja, di kampung Budiey cuma ada seorang tukang jahit. Jadi, kena tempah awal-awal untuk mengelakkan ‘kesesakkan lalu lintas’. Tetapi itu dulu, sekarang rasanya tukang jahit sudah tumbuh macam cendawan musim hujan untuk menadah rezeki yang lumayan di musim raya ini.
Nostalgia raya pastinya mendakap kalbu. Musim-musim yang Budiey lalui ketika zaman kanak-kanak cukup indah untuk dikenangkan. Sehingga kini, Budiey sering terkenangkan betapa indahnya menjadi seorang kanak-kanak. Riang dan sentiasa gembira tidak ingat dunia. Paling bahagia ialah suasana ketika waktu pagi 1 Syawal. Sinaran mentari memang menyuluh segenap kampung. Cerah dan ceria sekali. Sinarnya sukar untuk saya ungkapkan betapa indahnya beraya di desa sendiri, tempat di mana kita dibesarkan.
Bila mendengar takbir yang syahdu, hening dan damai itu terbit rasa syukur di dalam hati kita. Syukur kepada Tuhan Yang Maha Kaya kerana diberikan umur yang panjang dan dapat sekali merasai hari raya bersama keluarga tercinta.
Semenjak ayah Budiey kembali ke rahmatullah 11 tahun yang lalu, kesayuan dan kepiluan pastinya tidak dapat dielakkan. Pastinya rasa rindu pada suara garau ayah, rindu pada pesan ayah, rindu pada kasih sayang arwah ayah membenihkan titisan air jernih di pipi Budiey tidak dapat dibendung lagi. Apatah lagi tatkala suara-suara takbir berkumandang membesarkan nama Tuhan yang Esa, menambah rasa hiba di hati. Sangat-sangat menghibakan. Teringat orang yang kita sayang telah tiada. Tiada lagi di sisi kita, namun masih sentiasa tertanam di dalam hati. Pesan dan nasihat arwah tidak akan saya lupakan. Budiey terkilan kerana masa telah mengheret semua nikmat kasih sayang itu. Itulah takdir dan kita sebagai hamba yang lemah pasrah dan berdoa. Seringkali kita rindu pada yang tiada. Tetapi pernahkah kita mensyukuri dengan apa yang ada di hadapan kita? Hargailah apa yang ada di sekeliling kita. Budiey bernasib baik kerana masih punya ibu tempat mengadu dan keluarga sert sahabat handal. Lihatlah di sekitar kita, ramai lagi insan yang tidak punya sesiapa lagi. Hidup sebatang kara dan yatim piatu. Kepada siapa mereka ingin mengadu? Maka, bersyukurlah kawan…
Saya seringkali menasihati rakan-rakan saya supaya memberikan kasih sayang kepada ibu bapa ketika mana mereka masih berada disisi. Selepas mereka tiada lagi, kepada siapa lagi untuk kita mencurahkan kasih sayang itu? Tiada lagi. Jadi ambil kesempatan hari yang mulia ini dengan bermaaf-maafan dan berkongsi masa terluang di hari yang penuh kemuliaan.
Di kampung saya sebenarnya malam tujuh likur tidak begitu disambut. Panjut dan pelita pun dipasang dua tiga hari sebelum raya. Itu pun tidak banyak rumah yang memasang pelita. Mungkin lampu jalan sudah terang benderang atau mungkin sudah ada lampu kelip-kelip yang dipasang itu sudah memadai. Terlalu banyak pelita dipasang pun rasanya ianya mendatangkan mudharat juga. Malang tidak berbau kan? Jadi, elakkan kebakaran sebelum api yang kecil menjadi lawan pula.
Masih segar lagi di ingatan betapa gembiranya saya dan kawan-kawan sekampung menanti kedatangan hari raya. Setiap malam mengikut ibu ke Masjid Nipah bersembahyang dan berterawih. Yang paling saya tunggu adalah jamuan moreh selepas solat terawih. Ianya mengikut giliran orang kampung. Paling tidak ada air cendul penyegar badan. Kadang kala ada bihun atau mee goreng. Kenyang.
Selepas solat dua tiga rakaat, buka bulatan kelab chit chat di belakang saf (barisan). Buat bising, lari-lari keliling masjid itulah kerja kami. Bila dimarah orang tua, senyap sekejap. Selepas itu, tukar program. Kalau ada mercun, bakar mercun kat luar masjid. Menganggu orang tengah sembahyang. Nakal betul saya masa kanak-kanak dulu. Kalau ingat sekali sekala rasa lucu juga. Mulalah saya ketawa sorang-sorang macam orang sewel.
Di pagi raya pula, sayalah yang paling kecoh. Sebenarnya, baju raya yang baru sudah dicuba pakai pada malam raya. Orang lain sibuk ke masjid untuk sembahyang Tasbih tetapi saya lain halnya. Tidak sabar untuk bergaya dengan baju baru. Dan juga tidak sabar untuk jalan rumah ke rumah dan menjelajah sekeliling kampung mengumpul duit raya. Kekadang buat pertandingan dengan kawan-kawan duit raya siapa paling banyak.
Bangun pagi raya sudah tentu yang paling awal. Selepas mandi, cepat-cepat pakai baju Melayu dan terus beratur dengan adik dan kakak (lain bapa) untuk bersalaman dengan ibu. Saya jarang sekali menangis ketika bersalaman dengan ibu. Kakak saya ada juga sekali saya tengok dia tersesak-esak dalam pelukan ibu. Saya pun hairan kenapa masa raya sahaja kita buat demikian tetapi hari yang lain tidak. Kalau tiap-tiap hati bermaafan begini alangkah amannya dunia. Tetapi apabila sudah dewasa kini, baru saya tahu dan memahami mengapa kakak saya menangis ketika bermaafan dengan ibu.
Kemudian, makan ketupat berintikan serunding (sambal daging) sebelum keluar rumah. Itu memang makanan wajib saya. Ketupat yang ibu saya buat memang sedap sungguh. Tidak boleh tanding mana-mana ketupat yang ada kat dunia ni. Chewaah…
Sebelum ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya, kami sempat singgah ke kubur nenek. Pusara arwah ayah pula bukan beradadi kampung saya tetapi di kampung isteri tuanya. Jadi, biasanya saya akan menziarahinya pada petang atau hari raya kedua.
Pulang rumah, tetamu sudah memenuhi ruang. Suasana kadang kala tidak terkawal. Jadi tetamu yang datang pandai-pandai la layan diri (self service). Yang tua sibuk bercerita. Yang jadi kanak-kanak pula sibuk menunjuk diri menagih duit raya. Masa ini juga saya diperkenalkan sanak saudara yang saya kira memang ramai. Kadang kala tidak ingat yang mana satu. Kalau jumpa di tengah jalan pun tidak perasan. Silaturahim yang akrab telah diasuh dari saya kecil sampai saya besar. Memang setiap kali raya ada sahaja ahli baru yang datang. Setiap kali itu juga saya diperingatkan tentang ahli keluarga.
Itulah serba sedikit cerita lawak, cerita sedih, cerita suka duka yang penuh nostalgia bagi Budiey di hari raya. Yang penting dulu atau sekarang ketibaan hari raya memberikan kesan yang cukup mendalam. Apa pula cerita lucu anda di hari raya?
Wassalam.
[tags]cerita hari raya, novel hari raya, sejarah hari raya aidilfitri, kisah sedih di hari raya, kisah lucu di aidilfitri, koleksi lagu raya siti nurhaliza mp3, koleksi raya song, ucapan selamat hari jadi, cerita kampung, kisah sedih hari raya, pantun lawak SMS hari raya, ucapan sms lawak, lawak senario, lawak video youtube, ucapan perdana menteri, gambar bedah siasat post mortem nurin jazlin, kenangan manis hari raya[/tags]