Setelah 6 peserta membuka gelanggang Konsert Pertama Ceria Popstar minggu lalu, 6 lagi bakat cilik bakal bertarung bagi merebut tempat ke peringkat seterusnya. Kumpulan duo adik-beradik, SISTAR bersama-sama 5 orang lagi peserta solo, Jun, Irfan, Wafiy, Fikri dan Hazmil bakal menampilkan persembahan mantap untuk mengambil hati juri-juri dan para penonton setia Ceria Popstar!
Setelah kita menyaksikan tiada penyingkiran berlaku di konsert minggu lalu, sudah pasti kesemua peserta semakin berdebar menantikan nasib mereka minggu ini. Kesemua peserta telah mendapat bimbingan tiga orang penyanyi tersohor Malaysia yang memberikan tunjuk ajar serta berkongsi pengalaman dan ilmu nyanyian mereka. Jaclyn Victor, Black Hanafiah dan Mark Adam merupakan tiga selebriti yang menjayakan musim kali ini selaku cikgu Ceria Popstar 2016.
Berikut merupakan senarai lagu yang akan dinyanyikan para peserta minggu ini:
Giliran | Nama Peserta | Asal | Lagu Tugasan |
1. | Fatma Naslin Bt Suhailin Farhana Naslyn Bt Suhailin(SISTAR) |
Sabah | Bakawali (Syura & Siti Nordiana) |
2. | Wafiy Irfan Ariffen B Kamal Ariffen (Wafiy) | Kuala Lumpur | Grenade (Bruno Mars) |
3. | Siti Junaidah Binti Bekri (Jun) | Sabah | Anggapanmu (Ziana Zain) |
4. | Muhd Fikri B Mohd Tahar (Fikri) | Johor | Hidup Dalam Mati (Syamel) |
5. | Hazmil Bin Hassan (Hazmil) | Sarawak | Seri Mersing (Versi Dato’ Siti Nurhaliza) |
6. | Irfan Harris Bin Othman (Irfan) | Johor | Pencuri (Mark Adam) |
Konsert kedua Ceria Popstar akan disiarkan Jumaat ini, 8 April 2016, bermula jam 9 malam di tiga saluran iaitu Astro Ceria, Saluran 611 , Astro Maya HD, Saluran 135 dan Astro Prima, saluran 105. Konsert kedua ini masih menampilkan Nabil Ahmad selaku pengacara manakala penyanyi nombor satu negara, Dato’ Siti Nurhaliza dan lagenda rock, Awie memainkan peranan selaku juri tetap.
Pelawak terkenal Abam Bocey pula kekal selaku juri undangan bagi menilai persembahan setiap peserta yang bertanding. Pengacara tersohor tanahair, Datuk Aznil Haji Nawawi bertindak selaku penaung dan ‘father-figure’ kepada program ini. Sementara itu, Alam Wakaka dipilih sebagai koreografer manakala Sarah Ismail, bertindak selaku guru vokal Ceria Popstar 2016.
Konsert Kedua Janji Aksi Lebih Hebat, Kejutan Demi Kejutan
Juara Ceria Popstar 2016 bakal membawa pulang hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM 20,000.00 beserta trofi sumbangan Astro. Naib juara pula bakal memenangi wang tunai sebanyak RM 15,000.00 beserta trofi. Tempat ketiga bakal meraih wang tunai RM 10,000.00 dan juga trofi. Format penjurian konsert Ceria Popstar ini menggunakan format 100 % penilaian daripada juri professional.
Siapakah yang akan menyerlah dalam konsert kali ini dan siapakah yang akan tersingkir? Saksikan Konsert kedua Ceria Popstar 8 April ini bermula jam 9.00 malam hanya di saluran 611, Astro Ceria, saluran 135, Astro Maya HD dan saluran 105, Astro Prima.