Di awal perkahwinan, semuanya manis belaka, Shukri Yahaya dilihat calon ideal sebagai seorang suami, taat dan beriman pada agama. Tetapi lama kelamaan, isterinya mula meluat dengan sikap pemalas Shukri dan sering mempergunakan pelbagai hadis dan ayat agama untuk mempertikaikan kata-kata isterinya. Betulkah itu sifat sebenar Shukri Yahaya? Memang betul.. tetapi itu adalah sekadar watak yang dijayakan Shukri bersama Nad Zainal dalam telefilem Auta di slot Cerekarama pada 16 April ini, jam 9.00 malam di TV3.
Malas Cari Nafkah, Guna Agama Sebagai Alasan?
Telefilem Auta ini bergenre komedi namun memberikan pengajaran berguna untuk semua. Cerekarama yang dibarisi pelakon utamanya iaitu Shukri Yahaya, Nad Zainal, Delimawati dan Mubarak Majid. Auta mengisahkan mengenai, Nizam (Shukri Yahaya) seorang pemuda yang malas bekerja telah jatuh hati pada Faridah. Walaupun pemalas dan tidak bekerja, Nizam seorang yang beragama, sering dilihat menghadiri ceramah dan beribadah di masjid. Ibu Faridah, Salmah (Delimawati) berharap Nizam dapat membantu mengubah sikap suaminya, Sulaiman (Mubarak Majid) yang malas untuk solat.
Awal perkahwinan, semuanya indah. Sejuk hati Salmah melihat anak menantunya solat berjemaah. Tetapi, hari demi hari, bulan berganti bulan, Nizam masih belum mahu bekerja. Faridah malu kepada ibu-bapanya kerana suaminya itu tidak bertanggungjawab. Sulaiman sudah mula bising kerana dia perlu membayar semuanya kerana dia memang terkenal dengan sikap kedekut.
Nizam pula sering menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan pelbagai hadis sebagai alasan kerana dia malas bekerja. Makanya, Faridah berpakat dengan Salmah untuk mencari hadis juga bagi menyedarkan Nizam. Banyaklah aksi lucu apabila Faridah dan Nizam berlawan-lawan hadis, hinggakan Faridah merajuk tidak benarkan Nizam masuk bilik pun menggunakan hadis juga. Faridah turut meminta pertolongan Ustaz Aziz (Da’i Hijrah), imam muda di kampung mereka untuk menyedarkan Nizam kerana dia takut dikatakan derhaka pula jika berkata tidak baik kepada suami. Sulaiman turut cuba menasihati menantunya itu dan memberi tanggungjawab untuk menjaga bengkelnya kepada Nizam, tetapi Nizam seperti tidak makan saman.
Sehinggalah satu hari Faridah dan ibunya, berpakat untuk berpura-pura terlibat dngan kemalangan untuk menyedarkan Nizam. Nizam masih lagi dengan sikapnya membacakan hadis tentang qada’ dan qadar tentang kejadian yang berlaku supaya Faridah redha menerima nasibnya, Faridah merasa kecewa kerana Nizam tetap tidak mahu berubah. Dia nekad untuk berpisah. Adakah Nizam akan sedar dengan kelalaianya itu? Saksikan kesudahan telefilem arahan Jurey Latif terbitan produksi World Evolution Brain (M) Sdn Bhd.