Datuk Kamal Khalid bakal menyertai Celcom sebagai Ketua Pegawai Korporat dan Transformasi pada 1 Februari 2021. Beliau bakal memimpin beberapa fungsi korporat termasuk perundangan, kawal selia, pembangunan masyarakat, kelestarian, tadbir urus data perusahaan, dan pengurusan program. Datuk Kamal membawa bersama beliau 25 tahun pengalaman termasuk ketika berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima sehingga 31 Mac 2020.
Sebelum beliau menyertai Media Prima pada tahun 2009, Datuk Kamal merupakan Ketua Komunikasi kepada Perdana Menteri. Datuk Kamal memulakan kerjayanya di Bumiputra Merchant Bankers dan kemudian bekerja di beberapa syarikat lain dalam bidang teknologi dan pembiayaan ekuiti persendirian sebelum menyertai Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) pada Julai 1998.
Dalam tahun 2020, Celcom turut mengukuhkan pasukan pengurusannya dengan pelantikan baharu bagi divisyen teknologi dan komersil. Afizulazha Abdullah telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi (Teknologi) untuk memimpin pelbagai fungsi teknologi secara keseluruhan. Afiz sebelum ini merupakan Pengarah Urusan On-Site Services (OnSite) Sdn Bhd, sebuah subsidiari kepada edotco Malaysia yang memfokuskan penyediaan perkhidmatan pengurusan rangkaian.
Allan Bonke pula dilantik sebagai Ketua Pegawai Komersil untuk mengetuai semua unit yang menjana hasil, bersama fokus dalam memperkukuh tawaran nilai dan persaingan Celcom dalam pasaran.
Selain itu, Pravind Menon pula dilantik sebagai Ketua Bahagian Risiko dan Pematuhan pada 4 Januari 2021. Pravind membawa lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang perundangan, etika, dan pematuhan dalam pelbagai industri di peringkat Asia Pasifik, meliputi bidang farmaseutikal, tenaga, dan barangan pengguna bergerak pantas (FMCG).
Memetik berkenaan pelantikan tersebut, Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad berkata,
“Pengumuman ini mencerminkan iltizam Celcom untuk terus membawa bakat yang terbaik di pasaran tempatan dan luar negara, bagi memacu usaha ke arah menjadi sebuah syarikat digital berprestasi tinggi yang fokus dalam membangun pendapatan dan pertumbuhan bahagian pasaran yang mampan, di samping memastikan keperluan rakyat terus dekat di hati kami.
Di sebalik cabaran pandemik ini, perjalanan kami dalam transformasi dan digitalisasi terus memastikan setiap aspek perrniagaan dijalankan dengan amalan terbaik dalam tadbir urus dan pematuhan, serta mempertingkat keselamatan siber dan sentiasa melindungi data pelanggan kami,”
– Idham