Operator Telekomunikasi Celcom Axiata Berhad (“Celcom”), Digi Telecommunications Sdn Bhd (“Digi”), Maxis Berhad (“Maxis”), U Mobile Sdn Bhd (“U Mobile”), dan Telekom Malaysia Berhad (“TM”) melalui unifi Mobile, terus menyediakan sokongan kepada keperluan pembelajaran rakyat dengan Internet Produktiviti 30GB percuma sebulan (percuma 1GB internet setiap hari), untuk keperluan pembelajaran dan produktiviti, serta melayari laman berita sehingga 30 April 2021.
Sejak April 2020, kesemua pelanggan Pascabayar dan Parabayar setiap operator tersebut telah menikmati Internet Produktiviti 30GB sebulan kecuali bagi media sosial, permainan mudah alih, penstriman video dan muzik, sebagai tambahan kepada kuota mengikut pelan bulanan yang dilanggan. Pelanggan dinasihatkan untuk merujuk kepada operator masing-masing tentang cara untuk mendapatkan akses kepada data percuma harian dan perkhidmatan yang terlibat.
Selain itu, operator telekomunikasi terus menyokong rakyat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) terpilih dengan penyediaan WiFi percuma dan memanjangkan tempoh operasi di Pusat Internet Komuniti (PIK) sepanjang tempoh mencabar ini. Kesemua 130 PPR dan 54 PIK yang terlibat memfokuskan untuk menyokong pelajar dari keluarga B40 dengan hubungan internet percuma yang disasar untuk membantu Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sebagai tambahan kepada 30GB internet percuma sebulan, operator juga menyediakan pakej data khas untuk calon SPM dan STPM serta pelajar di institut pengajian tinggi. Pakej data prabayar tersebut menawarkan 15GB data sebulan dengan serendah RM20 sebulan dan disediakan untuk pelajar yang layak mulai 6 Januari 2021 sehingga 30 April 2021.
Inisiatif bersama oleh industri ini merupakan sebahagian daripada usaha penyediaan bantuan yang dijalankan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Pakej Bantuan Permai yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Operator Telekomunikasi juga akan terus menawarkan akses percuma dan tanpa had kepada pelbagai aplikasi berkaitan informasi dan perkhidmatan untuk memastikan rakyat Malaysia terus mendapat maklumat terkini yang sah berkenaan COVID-19. Aplikasi tersebut meliputi MySejahtera dan MyTrace, serta laman sesawang kesihatan yang penting dan hotline seperti CPRC, Kementerian Kesihatan, dan laman sesawang Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dan banyak lagi.