Ini akan memastikan Rangkaian 4G Celcom menyediakan pengalaman yang mudah dan lancar kepada para pelanggan dalam tempoh peralihan kepada 5G apabila ia dilancarkan kelak.
Inisiatif rangkaian Smart 8T8R merupakan sebahagian daripada pelaburan rangkaian dipacu Celcom bernilai lebih RM250 juta, yang juga membawa kepada pengurangan awal kesesakan trafik rangkaian dalam menjana perkhidmatan dan pengalaman rangkaian yang konsisten sejak bulan Disember 2020. Dengan pandemik dan PKP memacu pendigitalan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan lebih rancak, Celcom mencatatkan hampir 70% pertumbuhan trafik data dengan 474 juta GB, berbanding dengan suku pertama tahun 2021. Penggunaan data setiap bulan bagi setiap pengguna juga meningkat sebanyak 46.1% secara tahunan (YoY) dengan 21.8GB setiap bulan bagi setiap pengguna berbanding dengan 14.9GB setiap bulan bagi setiap pengguna setahun sebelumnya.
Penggunaan teknologi rangkaian Smart 8T8R Huawei meningkatkan kapasiti rangkaian 4T4R Celcom yang sedia ada sebanyak hampir 80%, sekali gus mengurangkan kesesakan trafik rangkaian dan menghasilkan pengalaman pengguna yang bertambah baik terhadap rangkaian 4G paling meluas Celcom. Teknologi rangkaian Smart 8T8R FDD Huawei memaksimumkan potensi kedua-dua tapak sedia ada dan pelbagai sumber spektrum untuk menambah baik dengan ketara kapasiti mudah alih dan pengalaman pengguna.
Teknologi Smart 8T8R FDD menggabungkan antena yang ditentukan perisian (software-defined antennas, SDA) dan FDD (Frequency Division Duplex) RRU (Remote Radio Units) dwiband, selain algoritma inovatif Huawei untuk menyokong penaiktarafan atas permintaan (on-demand) seperti penyesuaian perisian, yang menghasilkan potensi perkakasan maksimum untuk memenuhi pertumbuhan data yang pesat dan permintaan kapasiti rangkaian 4G. Teknologi Smart 8T8R juga menampilkan perisian PowerBoosting yang menyokong pengurusan kuasa termaju untuk stesen utama bagi mencapai kelebihan liputan tambahan dan membawakan penjimatan OPEX dengan perbelanjaan yang lebih kecil ke atas tenaga.
Sehingga kini, Celcom telah menggunakan beberapa tapak 8T8R di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Tapak-tapak 8T8R juga akan menyokong tapak-tapak 4T4R sedia ada di kawasan luar bandar dan bandar, sekali gus melegakan kesesakan trafik rangkaian, dan memberikan pengalaman rangkaian yang konsisten kepada semua pengguna Celcom. Celcom akan menaik taraf lebih banyak tapak 4G dengan teknologi 8T8R di seluruh negara.
Afizulazha Abdullah, Ketua Pegawai Operasi (Teknologi) Celcom Axiata Berhad berkata “Celcom berusaha dengan gigih dalam mengoptimumkan liputan, kapasiti dan daya tahan rangkaian dengan memacu pelaburannya di kawasan-kawasan yang paling memerlukan teknologi rangkaian akses radio yang terkini. Kami kini mengurangkan lonjakan trafik data sebagai keutamaan paling tinggi kami dengan menggunakan teknologi Smart 8T8R dan mengurangkan kesesakan rangkaian untuk menghasilkan pengalaman rangkaian yang konsisten dan bertambah baik.
“Pelaburan rangkaian dipacu Celcom yang sedang dilaksanakan adalah sejajar dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (JENDELA) kerajaan untuk mencapai liputan 4G di seluruh negara. Kami juga akan terus bekerjasama dengan Huawei untuk terus menginovasikan dan melaksanakan penemuan cemerlang teknikal, sekali gus memastikan pengalaman rangkaian terbaik untuk semua rakyat Malaysia,” jelas Afiz.
Zac Chow, Naib Presiden Huawei Malaysia, berkata sebagai peneraju ICT global, Huawei berasa bangga dapat berkongsi sumber dan kepakarannya dengan Celcom untuk projek ini.
“Penyelesaian FDD Smart 8T8R adalah sejajar dengan trend industri bagi pembangunan multi-antena, dan kami di Huawei sangat menghargai peluang untuk bekerjasama dengan Celcom bagi mengurangkan kesesakan rangkaian dan menambah baik dengan ketara pengalaman pengguna.”
“Kami juga yakin bahawa ini merupakan penyelesaian inovatif yang akan membantu Celcom memaksimumkan kecekapan spektrumnya dan membolehkan pengalaman yang mudah dan lancar bagi para pelanggan sambil merintis laluan untuk 5G apabila masanya tiba kelak. Ini akan memperkukuh kemajuan digital, memperkasakan perniagaan, melindungi pelaburan, dan menetapkan satu standard baharu bagi pembinaan rangkaian jalur lebar mudah alih (mobile broadband, MBB).”
“Usaha ini menyokong kemajuan ekonomi digital Malaysia. Tatkala Malaysia terus bergerak memasuki era digital dan ekonomi digitalnya terus berkembang, kami berbesar hati dapat membantu dalam memastikan bahawa setiap rakyat Malaysia adalah terhubung, dan tiada sesiapa pun dibiarkan ketinggalan,” jelas Chow.