CATRIONA ROSS MEMBAWAKAN WATAK ’HITAM’, ISTERI YANG TAMAKKAN HARTA SUAMI MENERUSI ANJUNG SOFEA, SABTU (20 SEPTEMBER 2008), JAM 08.30 MALAM DI RTM1
Jika sebelum ini nama pelakon Catriona Ross sinonim membawakan watak wanita lembut dan teraniaya, hujung minggu ini menerusi drama penuh konflik kekeluargaan, pelakon kecil molek ini membuat penampilan berbeza dengan membawakan watak ’hitam’ seorang isteri yang tamakkan harta suaminya dalam Anjung Sofea mengisi slot Panggung Seri, Sabtu (20 September 2008), jam 08.30 malam yang menemui penonton setia RTM1.
Anjung Sofea terbitan NHF Production Sdn Bhd ini mengisahkan watak Tuan Johan, seorang hartawan yang memiliki segala kemewahan dari segi harta, ladang dan sebuah syarikat perniagaan yang maju. Begitu pun setelah sembilan tahun hidupnya dihimpit kesunyian, Tuan Johan yang memiliki anak perempuan, Yasmin memutuskan mengahwini setiausaha di pejabatnya bernama Linda.
Begitu pun perkahwinan Tuan Johan dengan Linda tidak direstui oleh Yasmin. Dia keluar dari Anjung Sofea, banglo mewah milik keluarganya yang dinamakan sempena memperingati arwah ibunya, Sofea lalu membawa diri tinggal sendiri di samping meneruskan pengajiannya di kampus.
Hinggalah satu hari Tuan Johan jatuh sakit. Atas arahan Linda, Pak Mat dan Mak Ani menghubungi Yasmin memintanya pulang. Yasmin yang begitu bimbangkan kesihatan ayahnya yang semakin terjejas menyatakan persetujuan kembali tinggal di Anjung Sofea meskipun tidak sepenuh hati mahu tinggal sebumbung dengan ibu tirinya itu.
Dengan hati yang berat Yasmin mula membantu Linda menguruskan perniagaan ayahnya itu demi menunaikan permintaan ayahnya itu. Di sana dia berkenalan dengan Danial, penasihat undang-undang merangkap pegawai kanan ayahnya. Timbul perasaan selesa di hatinya untuk menunaikan permintaan Tuan Johan memintanya membantu menguruskan pentadbiran syarikat.
Namun setelah beberapa hari di pejabat, timbul keraguan di hati Yasmin berkaitan aset-aset ayahnya yang telah dicagarkan dan dijual atas sebab syarikat ketandusan wang putaran modal. Danial meninggalkan segala kecurigaan itu untuk ditanggung Linda.
Sejak itu Yasmin memulakan misi untuk menyiasat dalang di sebalik perkara itu. Dia baranggapan penuh bahawa ibu tirinya adalah dalang di sebalik usaha untuk merampas harta milik keluarganya itu. Malah berbesar hati mahu Danial membantunya membongkar muslihat disembunyikan Linda daripada pengetahuan ayahnya itu.
Namun usahanya tidaklah semudah disangka apabila ayahnya tidak mempercayai cerita yang disampaikannya selagi tidak melihat dengan mata kepalanya sendiri. Yasmin nekad untuk meyakinkan ayahnya itu dengan caranya yang tersendiri.
Tetapi hakikatnya Yasmin berdepan dengan musuh dalam selimut yang sentiasa mengawasi jejaknya ke mana sahaja. Siapakah dalang yang dimaksudkan? Berjayakah Yasmin untuk menyelamatkan harta milik ayahnya daripada terlepas ke tangan pihak yang tamak haloba itu?
Anjung Sofea menyaksikan lakonan hebat Catriona Ross disamping Nor Khiriah, Sahronizam, Rawi Mohd Said, Ghazali Abu Noh, Tengku Faridah dan Rashidan Baba.
Jangan ketinggalan menyaksikan drama mendebarkan ini menerusi Anjung Sofea mengisi slot Panggung Seri, Sabtu (20 September 2008), jam 08.30 malam yang menemui penonton setia RTM1.