Kumpulan Ormond dan AirAsia hari ini menzahirkan penghargaan buat pekerja barisan hadapan Hospital Kuala Lumpur yang telah bekerja keras menjaga keselamatan rakyat Malaysia ketika penularan wabak COVID-19. AirAsia menawarkan penerbangan percuma ke destinasi domestik terpilih di Semenanjung Malaysia, menyokong usaha Kumpulan Ormond yang menawarkan penginapan percuma untuk barisan hadapan HKL, sebagai tanda penghargaan.
“Dalam semangat #InThisTogether, kami berbangga dapat bekerjasama dengan Kumpulan Ormond dan menawarkan penerbangan percuma ke destinasi domestik di Semenanjung Malaysia kepada pekerja barisan hadapan Hospital Kuala Lumpur.
Kesemua mereka merupakan wira dan wirawati negara sepanjang penularan wabak ini, dan kami ingin mengucapkan terima kasih,” kata Karen Chan, Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com
Ini adalah lanjutan daripada sokongan oleh Kumpulan Ormond terhadap petugas kesihatan di Tune Hotels PWTC, di mana ia menempatkan 200 kakitangan Hospital Kuala Lumpur ketika situasi COVID-19 melanda sepanjang 45 hari yang lalu, merangkumi sejumlah 4531 malam penginapan, ditaja oleh badan amal sekutunya, Yayasan ECM Libra.
Yayasan ECM Libra, yang dibiayai oleh dua pemegang saham utama Kumpulan Ormond, juga terlibat dalam memudahkan kerja barisan hadapan dengan membiayai pembelian PPE dan ventilator. Ia juga telah menyokong pakej makanan untuk komuniti Orang Asli yang terpinggir di Pahang & golongan miskin bandar, pekerja migran dan pelarian di Ampang, Kuala Lumpur.
Kumpulan Ormond akan turut menawarkan penginapan satu malam percuma kepada pekerja kesihatan yang sama di hotel terkemuka miliknya The Chow Kit – An Ormond Hotel, yang dinamakan sebagai salah satu hotel baru terbaik di dunia pada tahun 2020 oleh majalah Travel + Leisure. Di samping itu, kumpulan ini juga akan memberi diskaun 30% kepada SEMUA pekerja kesihatan, anggota PDRM dan tentera yang terlibat dalam perjuangan COVID-19 untuk menginap di mana-mana hotel milik kumpulan itu.
“Kami berhutang budi dengan mereka; ini hanyalah perkara kecil yang kami lakukan sebagai tanda penghargaan kami,” kata Gareth Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ormond.
Mengenai Kumpulan Ormond
Kumpulan Ormond adalah kumpulan hospitaliti dengan visi untuk mencipta pengalaman yang positif yang mempengaruhi cara kita hidup, bekerja dan menginap. Kumpulan ini adalah sekumpulan ruang penginapan yang direka untuk mengalu-alukan kedatangan semua – tetamu, penduduk tempatan dan pengembara. Kumpulan Ormond memiliki dan mengendalikan tiga jenama berbeza – Tune Hotels (@tunehotels), Ormond Hotels (@ormondhotels) dan MoMo’s (@stayatmomos). Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.ormondhotels.com