in , ,

Canon EOS R1 Kamera Tanpa Cermin Bingkai Penuh Sistem EOS R Yang Terbaik

EOS R1: Capai Kehebatan, Miliki Segalanya. Berkuasa, boleh dipercayai, dan pantas, kamera sistem EOS R terbaik Canon bersedia untuk merakam aksi dengan cemerlang.

Pada 17 Julai lalu, Canon Marketing Malaysia (“Canon”) telah mengumumkan EOS R1, kamera tanpa cermin bingkai penuh dan kamera sistem EOS R flagship pertamanya. Dilengkapi dengan sistem pemprosesan imej dan fokus auto baharu yang canggih, kamera terbaru ini menetapkan satu standard baharu bagi industri dan mendefinisikan semula kelajuan dalam era digital.

“Dengan EOS R1, kami membuka lembaran baharu dalam fotografi, memperkasakan para profesional mencapai tahap ekspresi visual yang tiada tandingannya. Selama lebih lima dekad, kamera profesional ‘siri 1’ Canon yang amat disegani, sentiasa berevolusi, menetapkan standard kemajuan teknologi tertinggi dan memenuhi keperluan golongan elit di dalam industri yang sentiasa berubah-ubah”, kata Ketua Bahagian Perniagaan Komunikasi Imej Canon Marketing Malaysia, Edward Chang.

Kelajuan Terpantas: Pemprosesan Imej Accelerated Capture 

EOS R1 memanfaatkan kuasa sensor CMOS berlapis pencahayaan belakang (BSI) 24-megapiksel yang mampu meningkatkan resolusi imej sehingga 96-megapiksel dengan teknologi In-Camera Upscaling. Kecekapan cahaya yang dipertingkatkan dan bacaan yang lebih pantas oleh sensor itu menjadi asas kepada keupayaan EOS R1 yang mengagumkan.  

Dengan sistem pemprosesan imej Accelerated Capture, yang menampilkan DIGIC Accelerator berinovatif bersama DIGIC X, kelajuan dan kuasa pemprosesan dapat dipertingkatkan dengan begitu ketara sekali. Tahap prestasi AF dan penjejakan subjek yang luar biasa boleh dicapai menerusi algoritma pembelajaran mendalam, dengan mengaktifkan analisis adegan terperinci. Dengan ciri-ciri seperti In-Camera Upscaling dan Neural Network Noise Reduction kini boleh dilaksanakan di dalam kamera, EOS R1 menyokong aliran kerja yang pantas dan sensitif masa, memastikan imej berkualiti tinggi dan sedia untuk dihantar ke meja editor atau pejabat media tepat pada masanya.

Canon EOS R1 Kamera Tanpa Cermin Bingkai Penuh Sistem EOS R Terbaik

Rakam Detik Penentu: Pengesanan dan Penjejakan Subjek yang Lebih Pintar 

EOS R1 merupakan kamera pertama Canon yang menampilkan sistem Dual Pixel Intelligent AF generasi baru. Sistem ini memanfaatkan kelajuan dan kuasa sistem pemprosesan imej Accelerated Capture yang luar biasa bagi mencapai prestasi AF dan pengesanan subjek yang jauh mengatasi keupayaan EOS R3.

Salah satu ciri AF baharu yang mengagumkan ialah mod Action Priority AF, yang mengesan aksi penting seperti tendangan, hantaran, dan tandukan, khusus untuk sukan bola sepak, bola keranjang, atau bola tampar. Dengan menggunakan pembelajaran mendalam, perincian seperti kedudukan bola, aksi pemain, dan kehadiran berbilang subjek akan dianalisis. Sebaik sahaja aksi sedemikian dikesan, bingkai AF akan beralih secara automatik kepada subjek yang melakukan aksi ini, memastikan detik penentu yang berlaku sekelip mata tidak terlepas daripada dirakam, terutamanya semasa perlawanan sukan yang pantas dan dinamik.

Tidak kira sama ada untuk merakam foto atau video acara, ciri Register People Priority pasti sangat berguna; kamera akan mengutamakan sehingga 10 individu tertentu yang telah didaftarkan lebih awal dan sentiasa fokus kepada mereka, walaupun wajah subjek menghadap ke sisi. 

AF dan penjejakan subjek dalam mod People, Animal, dan Vehicle-priority juga telah ditambah baik, kerana Dual Pixel Intelligent AF kini dibantu oleh Cross-type AF, yang meningkatkan keupayaan kamera mengesan subjek kecil dan subjek yang diganggu oleh corak atau garisan mendatar – seperti pemain yang memakai jalur mendatar atau apabila kamera merakam dari belakang jaring atau pagar. 

In-camera Upscaling: Pemangkasan Ekstrem Imej Beresolusi Tinggi dengan Segera

Fungsi In-Camera Upscaling baharu menggunakan algoritma pembelajaran mendalam bagi menambah bilangan piksel sesuatu imej sehingga empat kali ganda sementara mengekalkan perincian dan kualiti imej, menghasilkan fail imej yang menyamai imej dirakam menggunakan kamera 96-megapiksel. Ini sangat berguna untuk menghasilkan imej berkualiti tinggi di dalam kamera, yang kemudiannya boleh dihantar terus daripada kamera ke pejabat media. 

Butiran kasar pada imej boleh menjadi lebih jelas apabila ia dibesarkan, namun isu ini ditangani dengan menggunakan fungsi Neural Network Noise Reduction dalam kamera baharu untuk meningkatkan lagi kualiti imej. Fungsi ini menggunakan algoritma pembelajaran mendalam untuk mengurangkan butiran kasar fideliti tinggi pada imej RAW, menghasilkan imej JPEG ISO tinggi yang sangat bersih terus daripada kamera. EOS R1 turut menampilkan 5-axis In-Body IS (Penstabil Imej), dengan reka bentuk mekanisme baharu dan penambahbaikan algoritma yang meningkatkan keberkesanannya berbanding EOS R3. Apabila merakam menggunakan lensa RF yang bersesuaian dengan Penstabil Imej Optik, pengguna boleh mendapatkan penstabilan imej yang bersamaan dengan sehingga 8.5 hentian menjadikan imej yang dirakam menggunakan tangan kekal jelas walaupun tanpa menggunakan tripod.

Jangan Biarkan Detik Penting Terlepas

EOS R1 mampu merakam urutan imej menggunakan mod Burst berkelajuan tinggi sehingga 40 fps dengan pengatup elektronik, yang boleh merakam imej secara senyap, dan sehingga 12 fps dengan pengatup tirai mekanikal dan elektronik pertama. Ini membolehkan pengguna merakam detik yang sempurna mengikut urutan aksi yang pantas. Bacaan kelajuan sensor yang lebih pantas mengurangkan kesan herotan pengatup berguling hingga menjadi tidak ketara. Ini bersamaan dengan pengatup mekanikal EOS-1D X Mark III, yang akan menggalakkan pengguna yang sebelum ini mengelak daripada menggunakan pengatup elektronik kerana bimbang subjek akan menjadi herot apabila merakam aksi berkelajuan tinggi. Pengurangan kesan herot pengatup berguling turut memberi manfaat kepada rakaman video, membolehkan rakaman aksi yang serba lancar dan pergerakan kamera yang pantas tanpa kesan bergoyang.

EOS R1 dilengkapi dengan pra rakaman berterusan untuk foto dan pra rakaman untuk video. Fungsi ini merakamkan detik sebelum butang pengatup ditekan atau sebelum memulakan rakaman, memastikan pengguna tidak terlepas aksi yang berlaku sekelip mata.  Fungsi pra rakaman merakam sehingga 20 bingkai imej sebelum butang pengatup ditekan sepenuhnya dan boleh digabungkan dengan fungsi Action Priority AF atau Register People Priority. Ia turut merakam adegan sehingga 5 saat sebelum video dirakam dan berhenti merakam apabila terdapat perubahan keadaan, mengurangkan rakaman yang tidak diperlukan dan memperkemaskan kerja pasca produksi.

Operasi Lancar di Lokasi 

EOS R1 turut direka bentuk untuk kawalan dan operasi yang lancar, membolehkan tindak balas yang lebih baik dalam situasi yang serba dinamik. Fungsi Eye Control AF, yang diperbaharui membolehkan pengguna mengawal bingkai AF dengan menggunakan mata mereka, dengan bantuan optik garis penglihatan dan algoritma pengesanan baharu, membolehkan garis penglihatan dikesan dengan lebih pantas dan cekap. EVF 9.44 juta titik, 0.9x magnifikasi tanpa pemadaman, yang menawarkan definisi dan magnifikasi tertinggi dalam siri EOS, memastikan bahawa pengguna dapat melihat subjek mereka dengan pandangan yang luas, cerah, jelas, dan tanpa halangan serta boleh memuaskan hati pengguna kamera. Struktur anti-kabus pada EVF mencegah pembentukan kabus walaupun dalam keadaan panas dan lembap. Berapa ciri reka bentuk dan antara muka baharu menyediakan lebih banyak pintasan untuk mencari semula tetapan AF yang telah disimpan, membolehkan pengguna bertindak balas lebih pantas dengan perubahan keadaan semasa merakam. Ini termasuk:

  • Praset fokus, fungsi yang sebelum ini hanya boleh didapati pada lensa telefoto super yang membolehkan mana-mana butang kamera ditetapkan untuk mengeset fokus kepada suatu kedudukan fokus yang telah ditentukan supaya pengguna boleh mengeset fokus dengan serta-merta pada tempat yang diinginkan. 
  • Fungsi butang AF-ON 2 peringkat, di mana butang AF-ON boleh ditetapkan untuk menukar tetapan berbeza apabila ditekan separuh dan ditekan sepenuhnya.
  • Keupayaan untuk mendaftar dan mencari semula tetapan AF yang berbeza untuk aktiviti dan situasi rakaman berbeza yang telah didaftarkan terlebih dahulu oleh pengguna.

Dua slot CFexpress Type-B menyokong rakaman fail data intensif berkelajuan tinggi yang stabil, seperti video 6K 60P RAW dan urutan imej beresolusi penuh 40 fps, ke salah satu kad, di mana kad yang lain boleh digunakan untuk merakam fail foto dan video proksi secara serentak. 

Dengan fungsi dwi rakaman, pengguna boleh merakam video Full HD 60p dan 16:9 JPEG, imej pegun bersaiz kira-kira 17.8 megapiksel secara serentak, meningkatkan kecekapan dalam situasi seperti berita tergempar atau video wawancara yang memerlukan kedua-dua foto dan video.

EOS R1 diperbuat daripada bingkai aloi magnesium yang kuat tetapi ringan, menjadikan ia 23% lebih ringan dan 11% lebih kecil berbanding EOS-1D X Mark III. Ia mengekalkan binaan kalis hentaman dan mempunyai pengedap cuaca kalis habuk dan air, yang mampu bertahan dalam keadaan cuaca ekstrem.

Direka untuk Aliran Kerja yang Pantas

EOS R1 ialah kamera sistem EOS pertama yang menyokong protokol tanpa wayar  Wi-Fi 6/6E baharu sebagai tambahan kepada jalur 5Ghz dan 2.4Ghz yang sedia ada, membolehkan penghantaran fail tanpa wayar yang lebih pantas ke telefon pintar, PC, atau pelayan FTP/FTPS/SFTP. Ia turut menyokong protokol LAN berwayar berkelajuan tinggi 2.5GBase-T baharu kepada sokongan LAN berwayar sedia ada. Pengguna boleh menggunakan standard komunikasi berkelajuan tinggi terkini untuk menghantar sejumlah besar foto dan video dengan pantas  kepada editor mereka – menjadikannya sebagai aset penting untuk melaporkan berita terkini yang memerlukan kepantasan.

Ciri-ciri lain yang bermanfaat untuk aliran kerja media profesional termasuk:

  • Pemeteran berasaskan pembelajaran mendalam yang lebih tepat: Kombinasi zon pemeteran lebih kecil dan aplikasi pembelajaran mendalam yang diperluaskan membolehkan ketepatan imbangan putih dan pendedahan auto merangkumi pelbagai keadaan. Oleh itu, jurugambar boleh lebih bergantung kepada kamera untuk menghasilkan tona kulit dan warna langit yang tepat, serta hijau yang lebih terang. Ini membolehkan pengguna lebih bergantung kepada kamera untuk menentukan tetapan yang terbaik apabila menghadapi persekitaran yang tidak menentu dan sentiasa berubah-ubah. Ia turut menghasilkan imej yang lebih cantik terus daripada kamera.
  • Pengesanan imej kabur/di luar fokus: Fungsi ini menganalisis dan menilai imej JPEG/HEIF yang kabur dan di luar fokus dengan merakam wajah manusia menggunakan pengatup elektronik. Ia melicinkan proses menyemak dan memilih imej terbaik daripada  sejumlah besar imej yang dirakamkan oleh pengatup elektronik berkelajuan tinggi, membolehkan jurugambar memuat naik imej mereka dengan lebih cepat.
  • Pilihan video standard industri yang berkuasa: Selain keupayaan video RAW dalaman 6K 60P, EOS R1 turut menggunakan pelbagai ciri video termaju yang dikongsi oleh Cinema  EOS, seperti Canon Log 2 dan 5, warna palsu, dan rakaman proksi. Ia juga merupakan kamera siri EOS pertama disertakan dengan praset warna Gambar Tersuai dan menyokong aplikasi LUT dalam kamera, yang sebelum ini eksklusif untuk kamera Cinema EOS.
  • Prestasi lebih hebat dengan Lampu Denyar: Kelajuan bacaan sensor EOS R1 yang lebih pantas menyokong fotografi denyar semasa penggambaran berterusan menggunakan mod  pengatup elektronik. Kelajuan penyegerakan denyar EOS R1 adalah yang tertinggi bagi siri EOS R iaitu pada 1/400 saat, memberikan lebih banyak fleksibiliti kepada pengguna untuk menggunakan apertur luas atau menghentikan aksi tanpa perlu menggunakan penyegerakan berkelajuan tinggi.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk-produk Canon, sila layari: my.canon/en/consumer/products

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

SHUIB

Shuib Dedah Pernah Ketagih Main Judi Sampai Menang RM68,000

AirAsia Perluas Operasi Ke Lapangan Terbang Subang Untuk Perkukuh Syarikat