SLOT JADE ON 2 : CALL OUT MUM, SETIAP ISNIN HINGGA KHAMIS MULAI 25 OGOS 2008 DI RTM2
Jika anda peminat setia drama bersiri Cina setiap pagi, usah lepaskan peluang menonton Call Out Mum bermula 25 Ogos 2008, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 pagi mengisi slot Jade On 2 di RTM2 yang diwarnai kisah remaja perempuan sukar mengakui dirinya hanya anak angkat dalam keluarganya.
Call Out Mum yang disiarkan 28 episod ini pastinya menarik tumpuan penonton kerana menyelitkan realiti yang berlaku dalam masyarakat apabila seseorang itu terpaksa berdepan kenyataan dirinya anak angkat. Sekaligus timbul pelbagai perasaan berkecamuk membuatkannya mula memberontak tanpa menyedari situasi itu menyakitkan keluarga angkat yang terlibat.
Call Out Mum memaparkan kisah yang berlaku sekitar tahun 1980an dimana seorang wanita, Jian Li yang baru melahirkan anak diberi nama Jian Xiaodan. Takdir menentukan pada masa sama suaminya meninggal dunia.
Kemudiannya, Jian Li yang terkenal dengan sikap baik hatinya mengambil anak angkat, Yuan Yue tinggal bersama mereka. Ibu sebenar Yuan Yue terpaksa menyerahkannya kepada Jian Li untuk dibesarkan kerana tidak mahu menjejaskan statusnya sebagai remaja berpendidikan tinggi yang memiliki anak sebelum berkahwin.
Masa berlalu kedua-dua anak Jian Li semakin membesar dan meningkat remaja. Begitu pun Xiaodan lebih bertuah kerana tingkahlakunya yang baik, dia disayangi semua orang. Kenyataan itu membuatkan timbul perasaan cemburu di hati Yuan Yue. Lalu dia berusaha dengan sebaik mungkin untuk mencuri perhatian semua orang yang selama ini menyayangi kakaknya itu.
Ketika usianya menginjak 14 tahun barulah Yuan Yue mengetahui situasi sebenar dirinya anak angkat kepada Jian Li. Dia kecewa kerana beranggapan itulah punca dirinya dipinggirkan berbanding Xiaodan.
Sejak itu Yuan Yue mula berubah sikap. Dia mengaturkan pelbagai cara untuk cuba mengalihkan perhatian kepadanya. Malah dia sanggup membuat pelbagai angkara hingga ibu angkatnya itu jatuh sakit. Dia juga menyakitkan hati sesiapa sahaja orang di sekelilingnya termasuk teman-temannya dan lelaki yang menyintainya.
Tingkahlaku Yuan Yue juga bertambah buruk dari hari ke hari. Apatahlagi dalam dirinya sudah ditanamkan semangat dirinya sudah tidak dapat kembali menjadi orang yang baik.
Bagaimanakah kesudahan jalan hidup Yuan Yue? Dapatkah dia kembali ke pangkal jalan dan menyedari ibu dan juga kakak angkatnya itu amat menyayanginya? Untuk itu jangan lupa meluangkan masa menonton Call Out Mum bermula 25 Ogos 2008, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 pagi mengisi slot Jade On 2 di RTM2.
Watak-watak menerusi Call Out Mum dilakonkan oleh Ye Xuan, Zhang Mo, Zhang Guoli, Zhang Lanlan, Deng Jie dan Li Geng.
[tags]jade, batu jed, khasiat, madu, call out mum, Ye Xuan, Zhang Mo, Zhang Guoli, Zhang Lanlan, Deng Jie, Li Geng, murakabah, saiful, sumpah sah[/tags]