Video muzik ini juga merupakan di antara video yang pertama yang menampilkan barisan artis kelainan upaya di peringkat antarabangsa semasa wabak pandemik COVID-19. Video yang berdurasi selama 4 minit ini dirakamkan oleh artis sendiri di kediaman masing-masing. Ia juga merangkumi mesej tentang harapan, positif dan keterangkuman dari para artis kepada masyarakat global orang kelainan upaya. Program ini diberi nama sebagai True Colors Festival oleh TNF yang amat komited dalam membina masyarakat global yang lebih inklusif dan prihatin.
Caliph Buskers adalah antara 46 artis kelainan upaya yang menyertai program ini dan Caliph Buskers juga merupakan satu-satunya kumpulan yang mewakili negara Malaysia.
Kumpulan yang dianggotai oleh lima individu orang kelainan upaya (OKU) yang cacat penglihatan iaitu Azmi (vokalis/keyboard), Zaki (gitaris), Nirwan (gitaris), Fendy (pemain dram) dan Nadira (pemain shaker) sebelum ini pernah popular dengan lagu hits mereka seperti ‘Buta’ kolaborasi dengan Faizal Tahir, ‘Hanya Namamu’ dan ‘Roman Cinta’.
Barisan artis yang terlibat di dalam video muzik yang dari pelbagai negara ini merangkumi banyak gaya dan genre, dari cappella ke rap, jazz ke muzik klasik, dan balet ke breakdancing.
Di antara mereka adalah rapper Signmark (Finland), artis Pekak pertama di dunia yang ditandatangani oleh syarikat rakaman besar, Warner Music; Sparsh Shah (Amerika Syarikat), remaja berusia 17 tahun yang berbakat besar yang juga merupakan seorang penghibur dan penceramah. Caliph Buskers (Malaysia), kumpulan pop cacat pernglihatan yang pernah memenangi anugerah; ahli dari Drake Music Scotland, orkestra remaja kelainan upaya pertama di dunia yang menghasilkan muzik menggunakan instrumen digital; kru penari jalanan terkenal di dunia, ILL-ABILITIES™ (diwakili oleh anggota dari Kanada dan Belanda); rapper, komposer dan penerbit muzik Wheelsmith (Singapura) yang pernah membuat persembahan di Perbarisan Hari Kebangsaan 2019 Singapura; penyanyi Aliènette Coldfire (Filipina), yang mendapat tempat ketiga di France’s Got Talent 2016 dan Yusuke Anazawa (Jepun), pemain biola jazz virtuoso yang cacat penglihatan.
Video ini juga memaparkan Amber Galloway Gallego (Amerika Syarikat), yang menafsirkan lagu ini ke dalam bahasa isyarat, dan juga merupakan pakar dalam menafsirkan sesebuah konsert dan festival muzik ke dalam bahasa isyarat.