C’EST, LA VIE, MON CHERI, SLOT TVB HITS DRAMA DI RTM2
Jika sebelum ini slot TVB Hits Drama yang menemui penonton setia RTM2 dengan drama bersiri kisah legenda aksi dan pertarungan pahlawan silam, kini penonton berpeluang pula menghayati plot percintaan yang sungguh indah dan mengasyikkan menerusi C’est, La Vie, Mon Cheri, jam 6.55 petang pada setiap hari Isnin hingga Jumaat.
Â
C’est, La Vie, Mon Cheri menyaksikan kelibat pelakon seperti Chen Kun, Fiona Sit, Alex Fong, Chen Xiao Yi, Zhao Rong, Yu An An, Hui Siu Hung, Amy Lu dan Ma Wen Li mendukung watak yang penuh dengan emosi dan babak-babak dalam percintaan dan kehidupan yang sukar diduga ini.
C’est, La Vie, Mon Cheri yang menemui penonton 29 episod plot menarik ini mengisahkan pemuda bernama Low Hou Wan, seorang mahasiswa lulusan negara yang berkenalan lalu menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi kelab dikenali sebagai Zai Ai.
Namun hubungan cinta yang baru terbina itu mendapat tentangan hebat daripada keluarga Low Hou Wan yang menganggap mereka tidak sepadan. Lalu segera mahu menjodohkan anak bujang mereka dengan Hoi Pui Fun, gadis yang dianggap setaraf dengan keluarga mereka.
Akhirnya hubungan yang dipertahankan terlerai juga dengan muslihat yang dicipta keluarga Low Hou Wan dengan bantuan Hoi Pui Fun yang menyebabkan mereka memutuskan untuk berpisah. Kemudiannya dalam masa yang singkat Low Hou Wan memutuskan mengahwini gadis pilihan ayahnya itu.
Tanpa pengetahuan teman lelakinya itu, sebenarnya Zai Ai mengandungkan anak mereka. Begitu pun Zai Ai nekad melahirkan dan membesarkan anak perempuan mereka, Low Mun sendirian. Apatahlagi ketika itu Hoi Pui Fun menggunakan pelbagai cara menyusahkan mereka dua beranak kerana dia beranggapan suaminya masih menyintai Zai Ai.
Oleh kerana tiada pilihan lain, Zai Ai menjadi artis jalanan di tepi Jalan Miu. Dia menubuhkan sebuah korus bernama Bu Liao Qing bersama dengan abangnya. Zai Ai sedaya upaya membesarkan Low Mun dengan penuh kegigihan.
Hari demi hari Low Mun membesar sebagai gadis cantik yang mewarisi semangat kecekalan ibunya.
Dengan tidak diduga kemunculan seorang penggubah lagu, Chang Shao Jie yang berpindah ke kawasan itu membibitkan rasa cinta di hati Low Mun terhadapnya. Kebetulan Chang Shao Jie sedang berkrisis dengan teman wanitanya, Tracy yang telah banyak membantunya dalam mengejar cita sehingga dikenali ramai. Ternyata komposer muda itu turut menyimpan perasaan terhadapnya.
Tetapi Low Mun sedar kekurangannya. Dia berada dalam dilema kerana sekiranya dia memilih untuk bersama Chang Shao Jie bermakna dia mengheret sama lelaki itu untuk hidup susah bersamanya. Sedangkan lelaki itu memiliki masa depan cerah sekiranya meneruskan hubungan dengan Tracy yang menyintainya sepenuh hati.
Apakah kesudahan episod cinta Low Mun berakhir dengan kebahagiaan? Dapatkah dia menyatukan kembali kisah cinta lama ibu dan ayahnya yang sekian lama terpisah? Jangan ketinggalan janji temu anda menyaksikan C’est, La Vie, Mon Cheri mengisi slot TVB Hits Drama, jam 6.55 petang pada setiap hari Isnin hingga Jumaat di RTM2.