Album berjudul Pop yang menampilkan lapan lagu itu sedikit berbeza dengan karya yang pernah ditampilkan tiga jejaka berkenaan sebelum ini. Berkongsi lanjut mengenai album itu, Sam selaku vokalis berkata, ini percubaan berani mereka untuk tampil dengan konsep yang lari daripada identiti asal Bunkface.
“Nampaknya apabila kami cuba menongkah arus, ia kurang mendapat sambutan.
“Ikutkan, lagu yang dimuatkan dalam album Pop seperti Kembali, Setiap Malam Aku Bersamamu dan beberapa lagi sudah dilancarkan tahun lalu.
“Mungkin disebabkan ia tidak sama dengan konsep Malam Ini Kita Punya maka peminat kurang berminat,”
– Sam Bunkface
Namun begitu, kumpulan yang turut dianggotai oleh Paan dan Youk menganggap ia bukan satu kegagalan sebaliknya proses bereksperimentasi untuk memahami kehendak peminat.
“Kami anggap ini percubaan untuk melihat selera pendengar. Ada juga segelintir peminat suka konsep baru yang kami ketengahkan.
“Ada juga yang mengharapkan kami tampil dengan konsep asal dan insya-Allah perkara itu akan kami laksanakan tahun depan,”
– Paan
Album Pop menampilÂkan empat lagu Melayu dan empat berbahasa Inggeris yang menggunakan khidmat komposer Izi Muda.
Ia dilancarkan menerusi pelbagai platform termasuk media sosial.
Dalam pada itu, berkongsi rahsia 12 tahun band itu masih bertahan dalam industri, Bunkface berkata kena buang ego.
“Memang jarang band dapat bertahan lama. Di awal penubuhan dulu ada juga kami berselisih faham hingga ada yang mahu tarik diri.
“Tetapi kami sering berpegang pada satu perkara iaitu perlu buang ego jauh-jauh. Sentiasalah berbincang dan mencari jalan penyelesaian.
“Biarlah bergaduh waktu berbincang dan luahkan saja apa yang terpendam sekurang-kurangnya ia habis di situ saja dan tidak terbawa-bawa hingga bermasam muka di belakang,”
– Sam
Sebagai langkah promosi album ini, Bunkface mengadakan Pop Campus Tour 2019.