in , ,

Bunga & Amzar Sabri Saling Merindui Dalam 300 SAAT

Sering berkongsi kemesraan di laman media sosial, kisah cinta antara penyanyi rap wanita Bunga dan anggota kumpulan duo Razqa, Amzar Sabri bukanlah lagi suatu rahsia.

Sejak hubungan cinta mereka dapat dihidu, peminat sudah tidak sabar menantikan pasangan kekasih yang sama cantik dan berbakat ini berkolaborasi dalam lagu. Sejak seminggu yang lalu, pasangan ini sudah mula mengacah peminat menerusi laman sosial media mereka akan kemunculan karya terbaharu mereka. Seperti yang dinanti-nantikan peminat, Bunga dan Amzar Sabri bakal muncul dengan kolaborasi mereka yang berjudul “300 SAAT”.

“300 SAAT” merupakan karya ciptaan Amzar Razqa, Bunga, dan Mekar. Manakala lirik ditulis oleh dua pasangan sejoli ini sendiri. Lagu yang disusun dinamik dengan elemen muzik kontemporari, bertunjangkan petikan piano indah yang melatari lirik yang sarat dengan mesej kerinduan.

BUNGA, AMZAR SABRI '300 SAAT' SINGLE COVER

Mengulas tentang bagaimana tercetusnya inspirasi untuk menghasilkan lagu ini, Bunga berkata, 

Sebenarnya lagu ini tercipta ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Apabila  pergerakan terbatas dan hanya berkurung di rumah sahaja.

Masing-masing pula berjauhan, hanya mampu berkomunikasi melalui telefon sahaja.

Mungkin sebab bosan dan tertekan dengan suasana ketidaktentuan pada masa itu, menyebabkan kami asyik bergaduh. Tapi lepas gaduh, merindu pula. Dari situlah kami mendapat ilham untuk lagu ini.”

“Kami memang sudah lama ada perancangan untuk berkolaborasi dalam lagu.  Alhamdulillah, kami diberikan ilham untuk berkarya untuk menghasilkan lagu ini. 

Saya bersyukur kerana syarikat rakaman Warner Music Malaysia suka dengan lagu ini dan setuju untuk melancarkannya sebagai single kedua Bunga. Lagu ini sangat istimewa buat kami kerana buat pertama kalinya kami tampil bersama dalam satu karya,”

– Amzar Sabri

“300 SAAT” merupakan single kedua Bunga yang diterbitkan oleh Warner Music Malaysia. Single ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 25 SEPTEMBER 2020 manakala video muzik rasmi “300 SAAT” boleh ditonton di saluran Youtube Warner Music Malaysia bermula 9 malam ini.

MENGENAI BUNGA & AMZAR

Bunga atau pemilik nama sebenar Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari ini memulakan kerjaya seninya dengan single debut berjudul “Bunga” pada tahun 2019 setelah berjaya tular mencuri tumpuan dunia apabila  diberikan liputan portal antarabangsa menerusi sebuah artikel The New York Times dan sebuah video daripada Bloomberg yang menyifatkan penampilan Bunga yang berhijab dan berbaju kurung  ketika membuat persembahan sesuatu yang unik dalam arena Hip Hop. Terdahulu, Bunga pernah membuat penampilan istimewa dalam single Aizat Amdan berjudul ‘Dup Dup’ pada Mac lalu  dan tampil dengan lagu ‘Apadehal’ runut bunyi untuk telefilem ‘Aku, Bunga’ yang juga merupakan lakonan pertamanya.

Amzar Sabri atau lebih mesra disapa sebagai Amzar ini pula merupakan anggota kumpulan duo kembar Razqa (dahulu dikenali sebagai kumpulan Viral) yang dianggotai bersama pasangan kembarnya, Amsyar. Mereka pernah tular sekitar tahun 2015 dan menghasilkan album Sentuh Hatiku pada tahun 2016. Amzar juga merupakan seorang komposer dan penulis lirik yang pernah terbabit dalam penghasilan lagu artis-artis tempatan seperti Jangan Marah (Ernie Zakri), Boleh Blah (Nana Sheme) dan Sampai Jannah (Farah Farhanah).

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Bahiyya Haneesa Perjuang Mesej Kuasa Wanita Untuk Cetus Inspirasi Dalam PERCAYA

Jumlah Penonton AEWO ‘Ghaib’ Shiha, TODAK Music Mahu Penjelasan Youtube