Sebelum ini, Bunga atau nama sebenarnya, Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari pernah tular selepas video menyanyi rap sambil mengenakan sepasang baju kurung muncul dalam artikel The New York Times, manakala Bloomberg pula memainkan video nyanyiannya.
Gadis kelahiran Slim River, Perak yang mula mencuri tumpuan selepas muncul dalam video YouTube 16 Baris bersama Joe Flizzow itu berkata, pelaksanaan PKP tidak hanya menjejaskan kerjaya seni, malah pelajarannya, tahun lalu.
“Beberapa persembahan termasuk di Singapura terpaksa ditangguhkan, begitu juga projek membabitkan video muzik turut tergendala. Akhirnya, terpaksa melakukannya secara dalam talian.
“Tak dinafikan, fasa PKP menyebabkan kerjaya nyanyian terjejas. Tetapi, kini semuanya serba canggih apabila boleh memilih bekerja secara dalam talian.
“Sepatutnya, saya terbabit dalam video muzik Aizat Amdan, tetapi disebabkan PKP, kami terpaksa menghasilkan secara dalam talian.
Rakaman lagu juga tidak boleh dilakukan, jadi hasil pendapatan nyanyian memang terjejas.
“Nasib baik saya membuat ulasan produk menerusi laman Instagram (IG). Jadi, saya memperoleh punca pendapatan. Saya percaya setiap kesulitan pasti ada penyelesaiannya, biarpun agak tertekan terpaksa menempuh fasa PKP,”
– Bunga
Penuntut jurusan Diploma Pentadbiran Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3, Negeri Sembilan itu berkata, kesihatan mental sedikit terganggu ketika fasa PKP.
“Lebih lagi, saya terpaksa mengikuti pengajian secara dalam talian. Bagaimanapun, lama-kelamaan saya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan norma baharu ini,”
– Bunga
Bunga sempat merekodkan single baharu berjudul 300 saat sebelum PKP dikuat kuasa semula.
Mengulas kerjaya lakonan, Bunga yang pernah membintangi supertele, Aku Bunga arahan Kabir Bhatia berkata, dia meminati bidang lakonan dan akan cuba menyeimbangkan antara lakonan, nyanyian dan pengajian.
Selain supertele Aku Bunga, Bunga juga bakal muncul dalam drama Holiday Haji Tom yang menampilkan pelakon Jalil Hamid, Syafiq Kyle dan ramai lagi.
Bunga berkata, dia tidak mempunyai kelab peminat kerana malu dan rasa tidak layak untuk memilikinya.
Namun, katanya, selepas namanya berjaya menembusi senarai pencalonan Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-33 (ABPBH 33), dia mula menubuhkan kelab yang dikenali sebagai De Orked Fams.
“Saya selesa menggelarkan peminat sebagai ‘fams club’ berbanding fan club. Ini kerana saya tidak mahu hubungan dengan peminat sekadar hubungan artis bersama peminat.
Sebaliknya, saya mahu silaturahim yang terjalin seperti hubungan keluarga dan kawan.
“Sebelum ini, saya tidak yakin memiliki kelab peminat. Tetapi, saya terharu mereka memberikan komitmen tinggi selepas tertubuhnya kelab peminat,”
– Bunga
*Sumber: BH Online