Farah Nadhirah diangkat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Muda dalam Industri Kecantikan dan Kesihatan menerusi anugerah anjuran Malaysia Organisation of Company Director (MOCAD) itu mengiktiraf individu termasuk organisasi yang memangkin ekonomi negara.
Pengasas produk penjagaan rambut, kulit dan kuku, Le’HairBoss yang lebih dikenali dengan nama Ferra Ibrahim itu menganggap anugerah ketiga diterimanya itu sebagai pembakar semangat.
“Saya berniaga ini bukan nak kaya semata-mata. Rezeki itu perlu dikongsi. Macam perniagaan penjagaan rambut, kulit dan kuku diusahakan sejak dua tahun lalu ini lebih kepada usaha untuk menggalakkan lebih ramai menjana pendapatan.
“Terutama golongan wanita sekali gus mahu memperkasa mereka untuk tidak berpeluk tubuh. Status solo atau janda bukan halangan. Tambahan pula di era pandemik COVID-19 ke endemik ini.
“Tanpa mengira status anda sebagai wanita, sekalipun ada suami berada dan bertanggungjawab… golongan wanita kena buat sesuatu. Ada duit poket berniaga, boleh sokong suami serba sedikit ekonomi keluarga,” katanya.
Bekas pramugari tempatan itu juga beruntung kerana suami tercinta, Raja Ahmad Nazir Raja Ahmad Murad yang turut bergelar ahli perniagaan menjadi tonggak kekuatan di belakangnya.
“Ini merupakan perkahwinan kedua saya dibina pada Julai 2019. Suami yang percaya atas kebolehan, keinginan dan semangat sejak dahulu lagi memberi modal memulakan perniagaan ini sejak Januari 2020.
“Saya percaya keberkatan itu ada kerana beberapa bulan melancarkan suplemen pertama di Malaysia untuk rambut, kuku dan kulit, perniagaan dilakukan melonjak naik. Kemudian saya keluarkan rangkaian produk lain seperti syampu, tonik dan perapi.
“Untungnya produk saya usahakan dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) memakan masa setahun ini bersifat praktikal dan menjimatkan duit. Ini kerana setiap satu rangkaian produk
memberi manfaat untuk rambut, kuku dan kulit,” katanya.
Menurut graduan Diploma Rambut dan Rekaan di Universiti Lim Kok Wing itu minatnya berniaga dipupuk sejak kecil.
“Di usia tujuh tahun lagi saya minat berniaga itu dan ini sebab nak duit poket. Masa itu saya dan kawan baik sepakat berniaga. Termasuk jual gelang, jual baju dan menawarkan perkhidmatan ‘facial’ di rumah dengan harga RM1.
“Lucunya yang jadi pelanggan ‘facial’ pun di kalangan kawan. Demi memudahkan mereka yang nak mencuba perkhidmatan itu, saya sampai melukis peta untuk memudahkan pelanggan.
“Tapi itu kisah dulu. Sekarang saya seronok tengok ketua stokis buat duit pula. Salah seorangnya dulu bekerja dengan gaji RM1500 sebulan selama tempoh tujuh tahun. Tapi sekarang boleh beli stok produk saya mencecah lebih RM 100,000 sebulan,” katanya.
Wanita kelahiran Kuala Lumpur yang membesar di Bangi, Selangor itu kini mempunyai lapan ketua stokis di Malaysia, Brunei dan Singapura.
“Ikutkan jenama produk saya lebih dikenali dengan nama HairBoss. Sampai orang lupa nama rasmi, Le’HairBoss. Tapi tak apalah, janji orang tahu.
“Rangkaian produk saya pun dijual daripada harga RM129 hinggalah ke RM59. Sangat berpatutan.
“Insya-Allah tahun ini juga saya mahu ‘all out’ menghasilkan produk dan jenama baru. Tak lupa menjalinkan kolaborasi serta membawa jenama dimiliki ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Perniagaan didaftar di bawah syarikat Qrera Sdn Bhd beribu pejabat di Petaling Jaya itu bukan yang pertama diusahakannya.
Graduan Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerja di University of Cyberjaya (UoC) (dulu dikenali sebagai Cyberjaya University College of Medical Science itu terlebih dahulu menjalankan perniagaan tekstil.
Ferra Ibrahim sebelum ini juga pernah menerima anugerah Promising Hair Care Brand Of The Year 2021 daripada Niagatimes dan disenaraikan sebagai Successful Young People In Malaysia daripada Britishpedia Media.