in ,

Bukan Mudah Untuk Menjaga RATU – A. Latiff Mohaideen

“MENJAGA 10 RATU, SAYA BAGAIKAN IBU MENGANDUNG” – A. LATIFF MOHAIDEEN

“Seperti seorang ibu yang mengandung hinggalah proses kelahiran, begitulah situasi yang dapat saya katakan untuk menggambarkan perjalanan saya dalam menghasilkan filem Ratu The Movie ini,” kata-kata awal daripada produser filem Ratu The Movie, A. Latiff Mohaideen ketika disoal tentang penghasilan filem ini.

Setelah menerbitkan pelbagai genre filem yang kebanyakkannya mencapai kutipan yang hebat seperti Bujang Senang, Otai, Rasukan Ablasa, Skrip 7707, Sifu & Tongga dan lain-lain, kini tibalah masa untuk dirinya mula mencuba sesuatu yang boleh memberikan kelainan dalam industri perfileman Malaysia.

Video Temubual Bersama A. Latiff Mohaideen:

Namun, untuk mencipta sesuatu yang baru, persiapan dari segi fizikal dan mental perlu kukuh dalam menghadapi sebarang risiko. Membawakan sebuah filem Ratu The Movie, filem pertama di Malaysia berkonsepkan realiti pengembaraan, beliau berkata,

“Sebagai seorang produser, saya perlu sentiasa memandang ke depan dan tidak patut asyik berada di takuk yang sedia ada. Risiko sentiasa ada dan dengan berbekalkan pengalaman selama beberapa tahun dalam industri inilah yang banyak membantu saya. Saya akui ianya terlalu sukar untuk menghasilkan filem ini berbanding filem-filem terdahulu”.

Sudah menjadi kebiasaan kepada penggemar filem melayu untuk mengetahui siapakah artis-artis yang membintangi sesebuah filem yang bakal ditayangkan sebagai satu sebab untuk mereka ke pawagam. Tetapi jika poster filem itu memaparkan muka-muka yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini, adakah ia berbaloi untuk ditonton? Itulah cabaran besar yang perlu ditanggung produser filem Ratu The Movie ini. “Seramai 10 muka baru yang ditonjolkan dalam filem ini, bukan sebagai pelakon tambahan tetapi watak utama. Bayangkan bagaimana kami ingin memperkenalkan setiap seorangnya kepada umum dan meyakinkan mereka untuk pergi ke pawagam? Itu persoalan yang perlu kami jawab sendiri’, tambahnya lagi.

Mengulas lanjut mengenai pengalaman sepanjang menghasilkan filem ini, A. Latiff Mohaideen menerangkan Ratu The Movie dimulakan dengan pencarian gadis-gadis berbakat seluruh Malaysia. Menetapkan kriteria yang perlu ada untuk menjadi seorang pelakon yang bukan sekadar mempunyai rupas paras yang cantik, hanya 18 orang sahaja yang terpilih. Tanpa ada pengalaman berlakon sepanjang hidup, 18 orang gadis tadi telah diberikan kursus serta latihan lakonan dan vokal oleh tenaga pengajar profesional seperti Prof. Madya A. Razak Mohaideen, Aminah Rhapor, Mazlan Tahir, Umi Khalsom, Fatimah Abu Bakar, Adam Salleh, Akmal Abdullah, Yusri KRU dan lain-lain.

10 dari mereka telah diberikan kepercayaan untuk menjadi teraju utama filem ini berdasarkan kemampuan bakat mereka. Bermulalah hidup baru mereka di lokasi penggambaran untuk mempamerkan bakat lakonan mereka. Seperti yang diduga, bekerja dengan orang-orang baru sememangnya memerlukan fokus dan ketelitian kerja yang sangat tinggi. Kualiti filem juga perlu dijaga walaupun banyak muka baru ditonjolkan. Itu semua bukan alasan. Namun, kesemua mereka tidak menghampakan kerana mereka telah mempraktikkan sepenuhnya ilmu lakonan yang telah diberikan.

“Peringkat promosi adalah ujian terbesar seterusnya. Kami tidak kisah mengeluarkan kos yang tinggi demi memperkenalkan bakat-bakat baru yang mesti didedahkan kepada dunia perfileman. Kita perlukan pelapis untuk setiap generasi dalam bidang lakonan dan saya bawakan mereka ini kepada anda melalui filem”, tambahnya lagi.

Siri jelajah Ratu The Movie ke seluruh Malaysia melalui pusat membeli belah, pawagam dan universiti terpilih merupakan landasan terbaik untuk memperkenalkan mereka pada khalayak bagi peringkat awal. Sekurang-kurangnya khalayak dapat mengenali mereka serba sedikit sebelum menonton lakonan mereka di pawagam. Walaupun filem ini menaruhkan bakat-bakat baru, masih ada pihak yang percaya atas kemampuan filem ini, buktinya Mizi Sports dan Malaya Optical sudi memberikan tajaan sepanjang berlangsungnya siri jelajah ini.

“Keseluruhan tugas saya ialah memastikan mereka ini (bakat-bakat baru dalam Ratu The Movie) mendapat tempat di dunia lakonan setimpal dengan bakat yang mereka ada. Walaupun ia begitu sukar dengan situasi industri perfileman kita yang penuh dengan saingan sekarang ini, saya percaya bakat-bakat mereka adalah bakat-bakat yang dicari untuk menjadi pelapis generasi dalam bidang lakonan seterusnya. Menjaga kesemua mereka yang setiap satunya mempunyai ragam tersendiri ibarat seorang ibu mengandung yang penuh sabar menunggu kelahiran anaknya. Adakalanya dia gembira apabila terasa bayinya menendang perutnya, adakalanya dia berasa perit dan sakit. Namun perjuangan tetap diteruskan demi melahirkan seorang anak yang diharapkan akan menjadi seorang yang berguna kelak. Begitulah harapan saya terhadap bakat-bakat baru dalam filem ini”, jelasnya lagi.

“Saya juga menyeru kepada semua penggiat seni untuk terus menyokong perjalanan karier mereka yang telah saya ‘lahirkan’ supaya mereka mempunyai peluang untuk ‘membesar’ bersama-sama senior mereka yang lain seterusnya menjadi pelapis dalam industri kita ini”, kata A. Latiff Mohaideen mengakhiri temubual ini.

Sebuah lagi filem arahan Prof Madya A. Razak Mohaideen yang menggabungkan program realiti dan filem, Ratu The Movie yang akan menjengah pawagam pada 17 Mac ini. Mempertaruhkan bakat-bakat baru seperti Bkay Nair, Farah Rahman, Farahin, Tasha Shila, Jazzy Rashid, Arizan Anuar, Sue Sidek, Shazlyn dan Elya, filem bergenre realiti pengembaraan pertama di Malaysia bakal memperlihatkan lakonan kesemua mereka buat pertama kalinya setelah diberikan latihan lakonan dan berbekalkan bakat semulajadi yang ada pada mereka.

poster ratu

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Maxis Introduce Asia’s First Integration Internet Mobile USSD Top Up

Peluang Terakhir Jadi Peserta Sejuta Impian