Mengangkat kisah perjuangan seorang ibu, telemovie kekeluargaan “Bukan Cinta Biasa” yang bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengisi slot Citra di TV2 pada 9 Mei ini, pukul 10.00 malam ternyata bukan sekadar biasa-biasa.
Telemovie “Bukan Cinta Biasa” berkongsi jalan cerita yang sememangnya dekat dengan kehidupan sehari-hari namun plot kisahnya ternyata menonjolkan kelainan yang diharapkan penonton berakhir dengan pembelaan dan kebenaran berjaya menjadi hak mutlak yang selayaknya.
Citra Khas Hari Ibu, Telemovie “Bukan Cinta Biasa” di TV2
Dibintangi pelakon Niezam Zaidi, Aedy Ashraf, Sherie Merlis, selain turut dibantu oleh Shakilla Khoriri, dan Aleza Shadan, telemovie ini ‘menghidupkan’ dan menyuburkan rasa cinta, kasih dan sayang seorang ibu terhadap anaknya begitu juga sebaliknya.
Telemovie ini bercerita tentang kisah pemuda bernama Wazir, seorang anak yang tamat tahfiz Al quran balik ke kampung halamannya. Setelah tinggal di kampung, dia telah berjaya mengenal pasti pemuda seusianya dikenali sebagai Aiman terlibat dalam penangihan dadah.
Ketika itu muncul keinsafan dalam dirinya dan dia nekad mahu merubah cara Aiman ke arah kebaikan walau dengan menggunakan apa cara sekalipun. Dia mahu Aiman kembali ke pangkal jalan dan mengubah nasibnya.
Namun nasibnya kurang baik. Situasi yang tidak disangkakan langsung telah terjadi tanpa siapa pun dapat menduga. Ternyata Aiman berdendam terhadap Wazir lalu dia pula memerangkap Wazir untuk terlibat sama dengan dadah.
Perangkapnya mengena bila akhirnya Wazir kecundang dan masuk dalam perangkapnya. Allah menguji Wazir dan keluarga terutama umminya yang mengharapkan Wazir menjadi pelindung dalam keluarga. Tetapi berlaku pula sebaliknya.
Ummi Wazir sedih dengan situasi dan ujian yang menimpa anaknya. Dia tahu Wazir tidak bersalah dan dia telah dianiaya. Ummi Wazir cepat bertindak menghantar ke pusat pemulihan untuk memulihkan Wazir dan mengharapkannya bertaubat.
Namun masih adakah jalan dan sinar buat Wazir? Ikuti kesudahannya di TV2 sempena hari ibu ini.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.