in ,

Budaya Influencer Kurang Adab, Gilakan Perhatian, Sampai Bila Kena Layan?

1. Budak Baru Nak Up, Tapi Terlalu Biadab?

Sejak beberapa hari lalu, nama seorang anak muda dan pelakon terkenal Ellie Suriaty asyik berlegar di media sosial. Jujur, pada mulanya Budiey tak ambil pusing sangat sebab sibuk berkursus. Tapi, bila dah tengok sendiri video tular tu, memang terasa nak mengulas sesuatu. Masalah utama? Cara dia bercakap! Kasar, kurang ajar, dan jelas tiada rasa hormat kepada orang yang lebih tua.

2. Bila Terlalu Mengejar Viral, Adab Ditolak Ke Tepi

Budiey selalu pesan, jadi influencer bukan sekadar ada follower ramai, tapi tanggungjawabnya besar. Kalau tak bawa adab dan akal dalam kehidupan seharian, alamatnya memang habislah! Jangan tinggalkan otak dalam laci, pastikan bawa bersama bila bercakap depan kamera. Gunakan pengaruh untuk kebaikan, bukan sekadar syok sendiri.

3. Populariti Itu Ujian, Bukan Tiket Untuk Biadab

Nak jadi popular, kena tunjuk contoh yang baik. Orang hormat bukan sebab follower berjuta, tapi kerana ilmu dan akhlak. Populariti yang dikejar tanpa asas yang betul akhirnya memakan diri. Orang yang betul-betul dihormati ialah mereka yang pandai membawa diri, tahu menjaga kata-kata, dan tidak memperbodohkan diri sendiri di khalayak ramai.

4. ‘Gila Glamor’ Tanpa Peduli Maruah

Budiey perasan, ada dua jenis influencer. Pertama, mereka yang terkenal kerana bakal dan usaha yang bermanfaat. Kedua, mereka yang ‘terpaksa’ buat benda pelik untuk dikenali. Anak muda dalam kes ini jelas berada dalam kategori kedua. Sama dengan influencer yang gemar tayang aset dan kekayaan semata-mata untuk perhatian.

Adakah mereka salah? Tidak. Tapi cara mereka? Salah besar! Bila sanggup buang adab dan rasa malu semata-mata untuk popular, itu masalah besar. Generasi macam inilah yang makin membiak di media sosial, berlumba-lumba cari perhatian dengan cara yang menjatuhkan maruah diri sendiri.

5. Siapa Yang Salah, Netizen Atau Influencer?

Yang lebih menakutkan, banyak netizen menyokong perangai sebegini. Lagi banyak kontroversi, lagi ramai yang tonton. Ini yang buat mereka makin berani buat provokasi, walaupun tahu tindakan mereka itu menyakitkan hati orang lain. Lihat saja kes ini, walaupun dah terang-terang melukakan hati Ellie Suriaty, dia tetap tak berhenti.

6. Nak Anak Kita Jadikan Mereka Idola?

Budiey serius tak mahu generasi muda anggap perangai macam ni normal. Nak anak-anak kita meniru sikap kurang ajar dan biadab macam ni? Budiey yakin ramai yang tak mahu! Tapi kalau kita terus biarkan budaya ini berleluasa, satu hari nanti, kita sendiri yang akan menyesal.

7. Nasihat Percuma Untuk Influencer Baru

Kepada sesiapa yang kenal individu ini, ajaklah dia belajar tentang adab dan komunikasi. Ilmu ni penting kalau betul nak jadi ‘influencer’ yang dihormati, bukan sekadar dikenali. Fikir panjang sebelum bercakap, sebab dunia media sosial tak pernah lupa.

APA KATA BUDIEY?

Budaya influencer yang menjaja kontroversi murahan untuk popular perlu dihentikan. Tak salah nak kejar impian, tapi kena ada batas dan adab. Media sosial bukan tempat untuk buang rasa malu dan hormat kepada orang lain. Jika trend ini berterusan, kita akan melahirkan generasi yang tak tahu beza antara populariti dan harga diri.

Kepada yang masih waras, pilihlah idola yang betul. Jangan sampai kita ikut trend yang akhirnya memusnahkan masa depan sendiri. Sebab jadi terkenal itu mudah, tapi untuk dihormati? Itu yang susah.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ramadan Lebih Bermakna Dengan Staycation di Hotel Terbaik Malaysia

Wany Hasrita Kembali Dengan ‘Raya Telah Tiba’, Lagu Raya Penuh Keceriaan!