Rekod itu diberikan selepas konsert virtual berjudul Bang Bang Con : The Live mendapat jumlah tontonan paling tinggi iaitu lebih 756,000 dari 107 negara seluruh dunia. GWR mengesahkan sendiri angka itu sebelum mengiktiraf rekod baharu dicipta BTS itu.
Terdahulu, konsert berdurasi hampir dua jam yang dipancarkan dari sebuah studio di Seoul, Korea Selatan itu diumumkan menjadi konsert berbayar paling berjaya dari segi tontonan.
Menurut agensinya Big Hit Entertainment, jumlah tontonan itu menyamai angka untuk 15 konsert yang diadakan dalam stadium membuktikan percaturan BTS menjadi.
“Walaupun penganjuran konsert berdepan kesukaran sepanjang tempoh pandemik Covid-19, BTS berjaya membuka mata bahawa konsert dalam talian memang berhasil,” katanya.
– Big Hit Entertainment
BTS sepatutnya mengadakan siri jelajah, Map of the Soul tahun ini namun tarikh yang dijadualkan pada April hingga September terpaksa ditunda.
Walaupun sekadar berlangsung dalam studio, konsert terbabit mendapat pujian dari pelbagai aspek termasuklah pementasan produksinya yang mengagumkan.
Ibarat konsert sebenar, pentasnya dibuat dengan begitu teliti dengan menampilkan pelbagai tema berbeza di ruang berlainan.
BTS mempersembahkan 12 lagu dalam konsert itu.