Pernah dikecam, dipersenda dan dipertikai gelaran Datuk daripada puak adat pepatih Naning sekitar Mei tahun 2014, pelakon dan ahli perniagaan Boy Iman berharap penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) bulan lalu diharap dapat menaikkan semula reputasinya yang tercalar sebelum ini.
Boy Iman atau nama sebenarnya Norul Iman A Rahman menerima penganugerahan itu di Istana Pahang, Kuala Lumpur sekali gus melayakkan dirinya mendapat gelaran Datuk. Majlis penganugerahan diadakan pada 24 Mei lalu.
“Gelaran Datuk saya sah dan saya terimanya dari negeri Pahang. Sepatutnya saya dapat penganugerahan ini pada waktu yang sama Datuk Nassier Wahab menerimanya di Istana Abu Bakar di Pekan Pahang. Namun atas beberapa sebab, tarikh baru diberikan dan ia dilangsungkan di ibu kota.
“Cuma saya harap penganugerahan ini dapat menebus balik maruah saya yang diperkotak katikkan selama ini. Dahulu kerana beberapa penganugerahan termasuk dari Naning, saya dikecam netizen bertubi tubi,” kata pemilik syarikat DBI Technology itu.
Boy mengakui selama ini ada kala tindakannya tidak disukai orang namun, dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa.
“Sebenarnya saya pun seorang manusia biasa saja yang punya hati dan perasaan. Kadang-kadang tanpa saya sendiri sedar benda yang saya lakukan rupanya salah, perkara itu orang tidak suka termasuklah isu penganugerahan Datuk dari Naning itu. Tapi saya tak boleh nak memuaskan semua hati orang,” katanya yang kini turut berlakon dan bertindak sebagai penerbit bagi filem Blok 404.
Mengenai perkembangan filem Blok 404, telefilem asal bercorak cemas yang pernah mencetuskan fenomena ketika diedarkan dalam bentuk video cakera padat (VCD) sekitar 2003 itu sudah memulakan penggambaran sejak 8 Jun lalu. Boy selain menjadi pelakon asal cerita berkenaan turut bertindak sebagai penerbit.
Versi filem itu turut menampilkan Zamarul Hisham, Raja Azrey dan Nabila Huda.
“Pada mulanya saya terfikir untuk mengarahkan sendiri naskhah berkenaan, tetapi selepas dipertimbangkan semula, lebih baik saya serahkan kerja pengarahan kepada orang yang lebih pakar. Ia akhirnya diarahkan Azma Aizal Yusoof dan diterbitkan syarikat milik saya, DBI Entertainment. Selain itu turut ditampilkan wajah baru seperti Amar Asyraf dan Risteena Munim.
“Untuk versi filem ini, ceritanya tiada kaitan atau kesinambungan kepada telefilem itu. Ia jalan cerita baru. Penggambaran dijangka berakhir 21 Jun ini dan lokasi utamanya ialah di Hulu Langat,” katanya.