Sebagai seorang penulis skrip yang prolifik, dengan hampir 76 buah skrip yang diterbit sehingga bulan Jun 2007, Martias diminta untuk memberi pandangan adakah boleh jika produk filem dari Malaysia memasuki pasaran filem terbesar dunia, Hollywood.
“Nasihat saya, yang lebih wajar, jika kita fikirkan mengenai pasaran tempatan dahulu. Sebenarnya, kita terlalu memikirkan untuk memasuki pasaran Hollywood, tetapi tahap filem kita belum sampai ke situ lagi.”
Ditanya apakah yang perlu dalam jati diri pembuat filem di Malaysia jika mempunyai cita-cita yang besar, dia menambah “Mula-mula, apa yang penting ialah skrip perlu kuat. Kalau kita menonton wayang, tidak pernah penonton rasa kurang puas hati dengan pelakon atau sinematografi yang tidak menarik. Tapi, yang penting, jalan cerita iaitu skrip. Kemudian, barulah kita perlu mengambil pengarah yang baik, pelakon yang baik dan sebagainya.”
“Tetapi, ada satu lagi masalah di dalam industri perfileman di sini. Penulis skrip di Malaysia tidak pernah belajar. Mereka tidak tahu banyak benda. Bila Finas anjurkan kursus penulisan skrip dan membawa speaker dari luar, mereka tidak hadir. Mereka sudah selesa dengan dunia penulisan sekarang. Sebab itu, jalan cerita di Malaysia tidak berkembang. Sebenarnya, ada dua jenis penulis skrip di Malaysia. Satu, penyampai cerita (Story Teller) dan kedua pembuat cerita (Story Maker). Yang ramai di Malaysia adalah pembuat cerita, tetapi mereka tidak berjaya menyampaikan cerita dengan bagus.”
Bagi Martias, dia pernah mendapat mewakili Malaysia ke Hollywood di dalam Ekspo Penulisan Skrip Antarabangsa di Los Angeles. Dia juga pernah mengikuti ‘pitching’ yang diadakan di depan sutradara terkenal Hollywood isitu Steven Spielberg. Tatkala ditanya tentang pengalaman itu, dia menceritakannya.
“Apa yang sukar sewaktu ‘pitching’ tersebut ialah peserta diberikan masa selama 23 saat untuk menceritakan idea mengenai sesebuah skrip, jika menarik, barulah perbincangan lebih lanjut diadakan. Selain itu, sambutan untuk bengkel tersebut cukup menakjubkan, bayangkan seramai lebih 6000 peserta sanggup beratur, termasuklah jurutera, untuk menceritakan idea mereka.”