Bob atau nama sebenar, Mohd Hakim Lokman, memberitahu, dia dibenarkan keluar dari hospital berkenaan, Selasa lalu.
Namun, Bob yang sebelum ini mencipta nama sebagai pelawak, pengacara, pelakon dan penulis lirik, masih berada di Alor Setar, bagi menjalani pemeriksaan susulan.
“Alhamdulillah, pembedahan saya lancar. Namun, saya masih rasa sakit sebab baru dibedah beberapa hari.
“Kalau hendak bercakap mengenai perkembangan jantung, baru lagi untuk saya ulas.
“Namun, alhamdulillah, selepas pembedahan, tidur saya lebih lena,”
Mengulas lanjut mengenai pembedahan itu, Bob berkata, dia menjalani prosedur CRTD iaitu kaedah memasukkan wayar dalam bahagian kiri dan kanan jantung.
Tambahnya, alat itu menyeragamkan kadar degupan jantung bagi mengembalikan ritma normal.
“Sebelum ini, saya beritahu perlu memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD).
“Namun, sebenarnya, saya perlu menjalani kaedah rawatan CRTD. Rawatan ini adalah untuk menstabilkan denyutan jantung saya.
“Disebabkan pembedahan itu, dalam beberapa bulan ini saya tidak boleh angkat tangan.
“Jadi, saya tidak boleh menyarung kemeja-T, hanya baju berbutang dibenarkan. Pergerakan pun agak terhad, seperti tidur dalam satu posisi sahaja,” katanya.
Bob berkata, doktor tidak membenarkan mengambil garam atau makanan masin.
“Saya juga dinasihatkan menurunkan berat badan. Sekarang, berat badan saya 125 kilogram (kg).
“Saya perlu turunkan kepada 85 kg untuk mendapatkan berat badan ideal,” katanya.
Pelakon filem Santau dan Jin Notti itu memilih untuk menjalani pembedahan di Kedah selepas pengurusan Hospital Sultanah Bahiyah menawarkan rawatan segera kepadanya.
Bob mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan menghulurkan sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muslim Care Malaysia bagi membiayai kos pembedahan yang dianggarkan RM60,000 itu.
“Saya tidak sangka masalah saya mendapat perhatian banyak pihak.
“Terima kasih kepada orang ramai dan Muslim Care Malaysia kerana merealisasikan semua ini.
“Sebelum ini, saya banyak membantu Muslim Care Malaysia menjalankan aktiviti kebajikan. Tidak sangka, kali ini, mereka tolong saya pula,” katanya.
Sehubungan itu, Bob bersama Muslim Care Malaysia dan Unit Jantung Hospital Sultanah Bahiyah akan menubuhkan tabung untuk pesakit jantung yang memerlukan.
Bob turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Hospital Sultanah Bahiyah terutama Dr Khanta Rao yang bertanggungjawab mengendalikan pembedahannya.
*Sumber: BH Online
Bob Lokman Selamat Jalani Pembedahan, Sudah Kembali Ke Kelantan
Penulis lirik dan pelakon popular, Bob Lokman, 56, selamat tiba di kediamannya di Kubang Kerian, Kelantan kira-kira jam 6.30 petang hari ini selepas selamat menjalani pembedahan membetulkan degupan jantung iaitu ‘Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Isnin lalu.
Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman dibenarkan keluar dari hospital itu Selasa lalu.
Bob ketika dihubungi berkata, dia bersyukur kerana tidak mengalami masalah sepanjang perjalanan ke Kelantan.
“Lega kerana semuanya sudah selamat. Saya bertolak dari Kedah kira-kira jam 10 pagi dan tidak terburu-buru untuk sampai.
“Saya akan berehat seketika dan
selepas ini akan mula menerima kehadiran tetamu termasuk Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid pada 14 Disember ini.
“Saya terkejut mendapat perhatian sebegini besar termasuk orang dari Kuala Lumpur. Perasaan saya agak gembira. Walaupun dalam keadaan sakit, kita akan jadi sihat apabila dikunjungi kawan-kawan,” katanya kepada Harian Metro.
Bob berkata, dia perlu kembali semula ke HSB untuk rawatan susulan dua minggu lagi.
“Rutin ini akan berlangsung mengikut skala yang sama. Apabila keadaan saya semakin okay, rawatan susulan akan dijarakkan oleh doktor. Sehinggalah enam tahun akan datang, akan berlaku satu lagi pembedahan untuk menukar bateri alat ini.
“Saya masih merasa kekok dengan adanya alat ini di bahagian dada. Dada saya membengkak dengan adanya alat ini. Ia bukan kerana sakit. Namun dalam tiga bulan lagi barulah ia akan okay,” katanya.
Kesan daripada pembedahan juga menyaksikan Bob tidak boleh mengubah posisi tidurnya.
“Saya menjalani prosedur CRTD iaitu kaedah memasukkan wayar dalam bahagian kiri dan kanan jantung yang akan menyeragamkan kadar degupan jantung bagi mengembalikan ritma normal.
“Kaedah ini adalah untuk menstabilkan denyutan jantung saya. Dalam beberapa bulan ini saya tak boleh angkat tangan dan hanya boleh pakai baju berbutang. Buat masa ini saya kena berhenti dulu daripada aktiviti dakwah, memasak dan memandu selama tiga bulan,” katanya.
Dalam masa sama, doktor menyarankan Bob agar kerap berjalan untuk mengekalkan kesihatannya.
“Saya pun dah beli kasut yang sesuai untuk tujuan ini. Saya kena berjalan dalam keadaan perlahan kerana alat ini akan memperbaiki keadaan sedikit demi sedikit. Bulan depan ia akan diselaraskan menggunakan komputer,” katanya yang turut dinasihatkan menurunkan berat badan daripada 125 kilogram (kg) kepada 85 kg.
Kos pembedahan Bob yang dianggarkan RM60,000 disumbangkan oleh badan bukan kerajaan (NGO), Muslim Care Malaysia.
“Terima kasih kepada semua yang prihatian dan membantu melancarkan urusan ini. Memang sangat tak sangka masalah saya mendapat perhatian banyak pihak,” katanya.
*Sumber: Harian Metro