- Pengeluar kenderaan premium menyaksikan pertumbuhan keseluruhan yang signifikan merentasi portfolio BMW i, MINI dan BMW Motorrad, serta memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran bagi Kenderaan Premium dan Mewah, Kenderaan Berelektrik serta sebagai pengeksport automotif premium yang terbesar di Malaysia.
- Menyingkap bilik pameran canggih yang terbaharu daripada Auto Bavaria, hadir dengan konsep Retail.NEXT yang berpaksikan pelanggan di Balakong, sedia memangkin kejayaan pada tahun 2024.
- Buat julung kalinya menyingkap BMW X5 xDrive50e M Sport baharu yang dipasang di Malaysia.
Kuala Lumpur, 19 Januari 2024 – Tahun 2023 telah menandakan satu lagi kejayaan yang besar bagi BMW Group Malaysia, menyaksikan penyerahan berjumlah lebih daripada 15,000 unit kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad – memperkukuhkan kedudukan syarikat ini sebagai Pengeluar Kenderaan Premium Nombor Satu di Malaysia untuk tahun yang keempat secara berturut-turut.
Kejayaan yang signifikan ini turut bertiraikan Ulang Tahun ke-20 selama BMW Group Malaysia menjalankan operasinya di Malaysia, detik yang turut melihat mereka memperkukuhkan kedudukan sebagai Pembekal Kenderaan Elektrik Nombor Satu dengan penyerahan lebih 3,600 unit kenderaan elektrik (EV) BMW, MINI dan BMW Motorrad – yang mencakupi 24.5% daripada seluruh bilangan penyerahannya pada tahun tersebut, bersamaan dengan pertumbuhan sebesar 136% berbanding tahun yang lalu. Langkah ini menjurus kepada angka kenderaan elektrik premium BMW yang menyusuri jalan raya di Malaysia kini mencecah hampir 30,000 – menjadikan alaf mobiliti berelektrik di negara ini lebih meyakinkan.
Jenama BMW berjaya menyerahkan sekitar 11,700 kenderaan mewah bertaraf premium pada tahun 2023, sementara MINI, jenama automotif premium kompak yang tercanggih di Malaysia merekodkan pertumbuhan sebesar 42% dengan lebih daripada 1,700 kenderaan yang berjaya diserahkan. BMW Motorrad pula menyaksikan pertumbuhan sebanyak 13% dengan lebih 1,500 motosikal yang diserahkan. Ia bersamaan dengan peningkatan berkadar hampir 4% dalam bilangan penyerahan yang merentasi seluruh portfolio BMW Group dari tahun 2022.
Berucap di Auto Bavaria Balakong menerusi sesi taklimat perniagaan Kumpulan Syarikat tersebut bagi tahun 2024, Pierre Jalady, Naib Presiden, Ketua MINI Rantau Asia, Eropah Timur, Timur Tengah, Afrika di BMW Group menyatakan, “Tiada cara yang lebih baik untuk BMW Group meniti ulang tahunnya yang ke-20 di Malaysia, yakni menerusi kejayaan yang begitu cemerlang disumbang oleh barisan kenderaan kita dalam pasaran automotif premium tempatan. Kita dapat menyaksikan model-model kenderaan BMW i mencatatkan pertumbuhan yang amat memberangsangkan, khususnya melalui perungkaian BMW iX1, BMW iX, BMW i7, MINI Electric dan jentera elektrik yang sulung dalam arena Mobiliti Urban, BMW CE 04. Sambutan terhadap aneka kenderaan ini telah membolehkan kita meraih gelaran Pembekal Kenderaan Elektrik Premium Nombor Satu di Malaysia, satu pencapaian yang kita sangat banggakan kerana ia membuktikan matlamat kita untuk mencorak, meneraju dan menjamin masa depan landskap automotif Malaysia, yakni dengan penawaran teknologi-teknologi terbaharu daripada BMW Group.”
Jalady menambah bahawa sementara pengeluar kenderaan premium ini membuat cerminan terhadap pencapaiannya bagi tahun 2023, serta membidik sasaran bagi tahun 2024, beliau ingin memberi penghargaan kepada seluruh barisan pasukan yang menunjangi BMW Group Malaysia, begitu juga dengan rakan-rakan pengedar, para pelanggan setia dan para pemegang tara, yang terus membantu mereka memacu inovasi dan janji ‘Sheer Driving Pleasure’ untuk masa hadapan.
Prestasi BMW Group di Malaysia mencerminkan kejayaan jenama ini di peringkat global, dengan lebih 2,500,000 kenderaan yang diserahkan merentasi portfolio BMW Group di seluruh dunia – menjadi rekod jualan yang tertinggi setakat ini. Prestasi kenderaan elektrik daripada portfolio BMW Group juga telah berkembang dengan pesat pada tahun 2023, menyumbang kepada 15% daripada seluruh penyerahan yang dibuat oleh BMW Group – menekankan peranan rintis pengeluar kenderaan premium ini dalam segmen kenderaan elektrik di serata dunia.
Era Baharu Mobiliti Berelektrik untuk Malaysia.
Pada bulan September 2023, BMW Group Malaysia telah mengepalai segmen Kenderaan Elektrik di Malaysia, jauh melangkaui bilangan kenderaan elektrik yang diserahkan pada tahun 2022, dicapai dalam tempoh lapan bulan pertama tahun 2023 sahaja. Pengeluar kenderaan premium ini seterusnya melabuhkan tirai 2023 dengan penyerahan lebih 3,600 kenderaan elektrik tulen berjenama BMW, MINI dan BMW Motorrad, memperkukuhkan komitmen tingginya ke atas janji ‘Sheer Electric Driving Pleasure’. Menerajui portfolio kenderaan elektrik daripada BMW Group Malaysia ialah BMW iX xDrive 40, yang telah menyaksikan 1,100 pemilik baharu pada tahun 2023.
Untuk memangkin lagi penerimagunaan kenderaan elektrik, BMW Group Malaysia terus memaksimumkan usaha dalam penyebarluasan rangkaian pengecasan awamnya di seluruh negara sepanjang 2023. Setakat ini, BMW Group Malaysia menyediakan lebih 1,700 buah fasiliti pengecasan di dalam rangkaiannya untuk kegunaan para pelanggan, dengan akses ke atas lebih 400 daripada fasiliti ini disediakan menerusi usaha sama dengan ChargEV dan Yinson Greentech, manakala usaha sama dengan JomCharge membekalkan akses ke atas lebih 100 buah fasiliti pengecasan, Gentari dengan lebih 150 buah fasiliti, serta sekitar 160 buah fasiliti daripada rakan-rakan baharu seperti ChargeN’Go, ChargeSini, Go To-U dan FlexiParking. Dengan menerap usaha sama yang bermakna dengan penggiat-penggiat industri yang berpengaruh, BMW Group Malaysia kekal komited dalam misinya untuk mencorak alaf mobiliti masa hadapan di Malaysia. Di samping itu, setakat tahun 2023, lebih daripada 100 buah fasiliti pengecasan BMW i dan MINI juga telah disediakan di kebanyakan pusat pengedaran yang bertauliah, di samping lokasi-lokasi para rakan kongsi di serata negara, dengan rancangan untuk meluaskan lagi infrastruktur strategik rangkaiannya bagi tahun 2024.
2023 telah menyaksikan 19 model dan varian baharu dalam portfolio BMW Group Malaysia yang kian meluas, lapan daripadanya ialah seratus peratus elektrik. Antara kenderaan elektrik yang diperkenalkan ini melambangkan konsep ‘Forwardism’ itu sendiri, iaitu jentera elektrik tulen BMW i7 yang sulung, serta jentera elektrik tulen BMW i5 yang sulung. Terus memacu peralihan negara ke arah Mobiliti Berelektrik, BMW Group Malaysia juga telah mengembangkan lagi usaha sama strategik mereka bersama Gentari, iaitu pembekal solusi tenaga bersih melalui anak syarikat milik penuhnya, Gentari Green Mobility Sdn. Bhd. untuk menyuntik nafas kepada Charge Go — sebuah perkhidmatan pengecasan EV rintis yang bersifat mudah alih, ia berfungsi untuk meningkatkan aksesibiliti ke atas pengecasan pantas DC. Konsep pengecasan mudah yang inovatif ini dirumus untuk meningkatkan keyakinan para pemilik EV di Malaysia terhadap jarak operasi kenderaan mereka, menekankan kepercayaan Kumpulan Syarikat ini bahawa kolaborasi yang melibatkan seluruh industri adalah daya yang akan memacu transformasi ke arah Alaf Elektrik Baharu.
Tahun Keempat Berturut-Turut sebagai Syarikat Automotif Premium Nombor Satu di Malaysia.
Menyuluh kejayaan portfolio BMW adalah penyerahan lebih 2,600 unit kenderaan BMW 3 Series pada tahun 2023, dengan BMW 320i M Sport yang muncul sebagai kenderaan terlaris bagi tahun tersebut. Di samping itu, barisan kenderaan Sports Activity Vehicle (SAV) di bawah BMW X telah menyaksikan penyerahan sebanyak 4,031 unit pada tahun 2023, yang mana BMW X5 merangkul tempat teratas menerusi 1,300 penyerahan, diekori rapat oleh BMW X3 dan BMW X4 yang masing-masing menyaksikan lebih 1,000 penyerahan dibuat sepanjang tahun tersebut. Menyusuli pengenalan varian baharu yang dipasang di dalam negara – BMW X1 sDrive20i xLine, BMW X1 telah menyaksikan pertumbuhan yang baik dengan penyerahan lebih 500 unit pada tahun 2023.
Pertumbuhan luar biasa MINI dalam pasaran tempatan juga sekali lagi disumbang oleh permintaan yang tinggi terhadap jentera MINI Countryman. Jentera kembara yang serba boleh ini telah menyaksikan 1,086 penyerahan pada tahun 2023, mencakupi lebih 62% daripada penyerahan yang merentasi seluruh portfolio MINI. Bagi segmen mobiliti berelektrik, MINI Electric juga terus meraih populariti, mencakupi lebih 26% daripada kenderaan MINI yang diserahkan.
BMW Motorrad turut mendapat sambutan daripada para peminat yang menyahut seruan ‘Make Life a Ride’ pada tahun 2023, dengan lebih 700 motosikal Kembara yang telah menemui pemilik baharu. Kejayaan segmen ini disumbang oleh BMW R 1250 GS Adventure dengan lebih 400 unit, dan segmen Jelajah menyusuli dengan 200 motosikal, diterajui oleh BMW R 1250 RT.
BMW Group Financial Services Malaysia turut menyaksikan lebih 5,000 kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad dibiayai pada tahun 2023, termasuk lebih daripada 1,100 kenderaan elektrik tulen. Ia bersamaan dengan lebih daripada 32% kenderaan yang diserahkan pada tahun lalu, dan lebih 2,400 kontrak yang dibiayai secara digital. Selain itu, program pembiayaan BMW Easy Drive juga telah menyaksikan pertumbuhan sebanyak 40% dalam kontrak yang ditandatangani berbanding tahun yang sebelumnya.
Pada tahun 2023, BMW Group Malaysia juga muncul sebagai antara 3 negara terbaik di dunia bagi BMW Group atas skor promoter bersih mereka yang merentasi ketiga-tiga jenama, berjumlah 98 bagi jenama MINI serta 97 bagi jenama BMW dan BMW Motorrad, dari segi jualan. Pencapaian yang signifikan ini merupakan hasil sokongan serta komitmen daripada jaringan wakil pengedar dan pelanggan setia pengeluar kenderaan premium ini. Dari sudut perkhidmatan, skor promoter bersih bagi BMW dan BMW Motorrad ialah 97, manakala MINI pula mencatat 98.
BMW Group Malaysia dan Auto Bavaria Membawakan Konsep Retail.NEXT yang Inovatif di Lembah Klang.
BMW Group Malaysia dan Auto Bavaria, rangkaian pusat pengedaran BMW bertauliah yang terbesar di Malaysia juga telah menyingkap bilik pameran canggih mereka yang terbaharu, dibina menerusi konsep Retail.NEXT yang berpaksikan pelanggan di kawasan perbandaran Balakong. Fasiliti ini, setelah ia dibuka dan beroperasi sepenuhnya, akan menjadi antara bilik pameran BMW Group yang terbesar di dalam negara dan bakal menjadi yang pertama di Lembah Klang untuk membawakan konsep rekaan dan perkhidmatan inovatif yang disebut sebagai Retail.NEXT.
Menaungi ruang seluas 240,057 kaki persegi, Auto Bavaria Balakong akan menyediakan suasana kelas pertama yang mencerminkan Pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan, yakni menerusi bahasa rekaan moden serta latar hadapannya yang merangkumi sebuah taman dan teres luar. Pentas Konsultasi Pelanggan serba interaktif, yang dilengkapi dengan alatan niaga digital yang inovatif terletak di lokasi-lokasi strategik merentasi bilik pameran tersebut, di mana warga BMW Geniuses akan bersedia untuk membimbing para pelawat melalui sebuah pengalaman melihat dan membeli yang tiada bandingannya.
Bilik pameran ini juga akan membawakan Grand Klasse Lounge dengan wajah baharu, termasuk ruang penyerahan yang menambah sentuhan kemewahan dan keeksklusifan. Ia juga akan menampilkan fasiliti-fasiliti berpaksikan gaya hidup termasuk BMW Café dan ruang singgah, membekali para pelanggan akses kepada ruang bertaraf premium untuk bersantai dan menyegarkan diri semasa lawatan mereka.
Dato’ Jeffri Salim Davidson, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad berkongsi, “Kami berasa amat teruja untuk membuka tirai bilik pameran BMW yang antara terbesar di Malaysia untuk sesi previu yang eksklusif ini bersama warga media, menandakan satu titik sejarah yang signifikan dalam komitmen kami untuk membawakan pengalaman automotif yang cemerlang buat para pelanggan. Konsep pusat pengedaran Retail.NEXT ini menyulam unsur fizikal-digital dengan estetika moden dan juga persekitaran yang menarik. Segala aspek bilik pameran Auto Bavaria Balakong telah dirumus dengan terperinci bagi menaik taraf pengalaman melihat dan membeli, menggandingkan ciri-ciri kemewahan dan kelestarian di setiap sudut. Kami berazam untuk bukan sahaja menyediakan kenderaan-kenderaan premium, tapi juga dengan konsistennya menaik taraf kemewahan pengalaman kepenggunaan buat para pelanggan kami, menjanjikan perkhidmatan pascajualan yang komprehensif, mewujudkan sebuah suasana bertaraf premium yang pastinya melengkapi pengalaman pemilikan para pelanggan.”
Auto Bavaria Balakong dapat mempamerkan pelbagai model kenderaan daripada BMW Group termasuk model-model BMW dan BMW i, di samping kenderaan daripada portfolio MINI, BMW dan BMW Premium Selection.
BMW Group Malaysia Menyingkap BMW X5 xDrive50e M Sport Baharu yang Dipasang di Malaysia.
Menyusuli kejayaan BMW X5 dalam pasaran Malaysia pada tahun 2023, BMW Malaysia juga telah menyingkap varian ‘plug-in’ hibrid jentera Sports Activity Vehicle (SAV) terbaharu mereka yang paling cemerlang, iaitu BMW X5 xDrive50e yang turut dipasang di dalam negara. Hadir dengan pakej M Sport secara standard, BMW X5 xDrive50e baharu melihat pengemaskinian yang signifikan dari segi prestasi dan keefisienan, memuatkan lebih banyak kuasa dengan jarak operasi elektrik yang lebih tinggi, tanpa mengkompromikan keelegenan dan kemegahannya.
Dari sudut dinamik pemanduan, BMW X5 xDrive50e M baharu didatangkan dengan rangkaian kuasa PHEV yang mampu membekalkan output gabungan berjumlah 489 hp – iaitu 96 hp lebih tinggi berbanding model terdahulu, juga dengan tork yang lebih tinggi kini berjumlah 700 Nm. Output gabungan enjin petrol enam sebaris 3.0 liter serta motor elektriknya yang hebat membolehkan BMW X5 xDrive50e M Sport baharu membuat pecutan abad dalam masa 4.8 saat. Daya elektrik jentera PHEV ini juga telah dinaik taraf, memberikannya jarak operasi elektrik sejauh 110 km (WLTP), di samping penambahbaikan sebanyak 7.4 kW dalam aspek pengecasan, membolehkan jentera ini dicas dari 0-100% hanya dalam tempoh 4.5 jam.
Di dalam kabin BMW X5 xDrive50e M Sport yang mengagumkan ini, terletak BMW Curved Display 14.9 inci dengan kluster paparan digital penuh yang sedia untuk diakses oleh pemandu, kini memuatkan BMW Operating System 8.5. Ia termasuk BMW Live Cockpit Professional dan panel instrumen BMW yang menyokong pelbagai kaedah interaksi di antara pengguna dan kenderaan ini, yakni melalui iDrive Controller, suara, sentuhan atau dengan menggunakan Gesture Control. Light Bar dengan struktur permukaan berhablur, serta sistem bunyi keliling Harman Kardon turut didatangkan secara standard. Konsol sentral di dalam BMW X5 xDrive50e M Sport baharu juga kini menampilkan tata atur baharu serta butang fungsi sentuh tambahan, dan penukaran gear kini dibuat dengan suis jumpelang (rocker switch).
Ciri-ciri standard tambahan bagi SAV ini meliputi BMW Comfort Access, Driving Assistant Professional, Parking Assistant Professional, berserta warna eksterior Black Sapphire, Manhattan, Mineral White, dan Skyscraper Grey, di samping upholsteri interior “Merino”, daripada famili BMW Individual Extended Leather, yang hadir dengan dua pilihan warna – Black dan Tartufo, kedua-duanya mencerminkan susuk atletik dan kemewahan moden BMW X5 xDrive50e M Sport baharu.
Anggaran harga jualan bagi BMW X5 xDrive50e M Sport baharu ialah:
BMW X5 xDrive50e M Sport Baharu RM 530,000 [Anggaran]
Para pelanggan boleh menghubungi wakil pengedar BMW bertauliah pilihan masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai BMW X5 xDrive50e M Sport baharu atau sila layari laman sesawang INI.