in

Blogger Peroleh Lebih RM6,000 Sebulan – SINAR HARIAN

Kepada pembaca yang tidak berkesempatan untuk mendapatkan akhbar SINAR HARIAN semalam (17 November 2014), nah Budiey lampirkan di sini berita tentang Blog Budiey.com yang ditulis oleh wartawan Muhamad Hafizi. Terima kasih banyak buat Hafizi yang sudi menemubual Budiey.

Begitulah kebiasaannya, setiap kali berita tentang Blog Budiey.com disiarkan, pasti yang di-highlight adalah berapakah pendapatan yang dapat dijana oleh seorang blogger dalam masa sebulan. Ini adalah sesuatu yang menarik dan pastinya menjadi daya tarikah semangat orang di luar sana untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana pendapatan itu dijana.

Blogger Peroleh Lebih RM6,000 Sebulan

BERASAL daripada perkataan Web Log, Blog merupakan catatan dalam talian (online) oleh seseorang individu yang berkongsi pandangan, pendapat mahupun maklumat kepada pembaca. Mungkin bagi segelintir anda merupakan peminat blog dan mempunyai penulis blog (Blogger) kegemaran yang diikuti di blog anda sendiri mahupun laman sosial.

Di negara kita blog hiburan, gajet, automotif dan gaya hidup merupakan yang popular. Ada di antara blog tersebut dikunjungi berpuluh ribu pembaca dalam sehari atau lebih bergantung kepada entri yang ditulis pemilik blog tersebut.

Tetapi pernahkah anda terfikir melalui blog itu kita mampu menjana pendapatan serta memperoleh pelbagai imbuhan daripadanya? Bermula dari minat menulis Baharudin Che Wil atau lebih dikenali sebagai Budiey Isma kini berjaya mewujudkan sebuah blog popular dengan blog Sensasi Selebriti.

Ketika ditemui wartawan Sinar Harian Budiey menceritakan pada awal permulaan menulis blog, beliau hanya sekadar suka-suka.

“Selepas dua ke tiga tahun saya mula serius dan wujudkan blog Budiey pada Januari 2007 yang mana kini sudah hampir lapan tahun. Masa saya mula dengan blog ketika itu, blog hiburan kurang mendapat perhatian berbanding politik yang sedang hangat ketika itu,” katanya.

Beliau sebelum ini bekerja sebagai editor di salah sebuah syarikat swasta mengambil keputusan untuk berhenti dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada blog miliknya itu.

“Kenapa saya memilih blog hiburan adalah kerana ramai di kalangan kita suka kepada berita hiburan, perkembangan artis kesayangan mereka. Selain itu hiburan juga diminati pelbagai peringkat umur yang teruja mengetahui perkembangan industri hiburan negara, filem dan album terbaru yang dikeluarkan,” katanya.

Ditanya mengenai pengunjung atau trafik di blog miliknya Budiey berkata berlaku peningkatan berbanding di awal penglibatannya.

“Masa mula-mula saya wujudkan Sensasi Selebriti trafik saya hanya 1,000 hingga 2,000 sehari sahaja. Kemudian pada 2009 saya melihat peningkatan yang mendadak di mana dalam satu hari saya memperoleh 20,000 hingga 30,000 pengunjung di blog saya,” katanya.

Menurutnya lagi sehingga hari ini blog beliau mampu mencecah 40,000 pengunjung sehari bergantung kepada post atau entry yang ditulisnya.

“Selain blog saya juga mempunyai rangkaian lain seperti Instagram, Facebook dan Twitter. Yang terbaharu saya mempunyai saluran Youtube sendiri yang dikendalikan oleh Budiey Buddies buat peminat dan pengikut setia kami,” katanya.

Menurut Budiey, terdapat tiga platform yang digunakannya untuk menjana pendapatan melalui blognya itu.

“Cara pertama saya gunakan iklan berbentuk papan iklan (banner) di mana ia terbahagi kepada dua iaitu di atas atau tepi dan kebiasaannya saya akan menyediakan iklan mengikut pakej. Ada juga pelanggan yang meminta saya sediakan pakej yang meliputi promosi dalam sosial media seperti Instagram, Facebook dan Twitter,” katanya.

Budiey turut menceritakan cara kedua menjana pendapatan adalah melalui pengiklanan bertulis (advertorial) yang mana lebih kepada post atau entry yang ditulis.

“Untuk advertorial biasanya pelanggan akan minta kita menulis ulasan produk yang ditawarkan mereka kepada pembaca. Contohnya baru-baru ini Petronas meminta saya mencuba Petrol Ron95 dengan jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh untuk saya ceritakan dalam blog,” katanya.

Manakala cara ketiga pula melalui tajaan di mana syarikat atau individu memberikan perkhidmatan tanpa perlu dibayar oleh Budiey dengan syarat beliau menulis mengenai produk atau perkhidmatan mereka.

Menurut Budiey lagi di awal kemunculan blognya beliau hanya menumpukan kepada peniaga-peniaga kecil untuk mengiklankan produk mereka.

“Masa tu saya hanya menjana pendapatan sekitar RM800 sebulan sahaja, kemudian saya sentiasa keluar ke mana-mana majlis, kumpul kenalan. Alhamdulillah trafik saya makin bertambah begitu juga rezeki saya yang mana sekarang dalam sebulan saya boleh memperoleh lebih dari RM6,000 sebulan melalui blog saya,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Bersiri Couture Cinta Lakonan Sara Ali

BudieyBuddies Bersaing Dalam Treasure Hunt EH EH Busfest Putrajaya 2014