Filem bersempena meraikan sambutan ulang tahun kelima Blackpink itu juga bakal ditayangkan di lebih 100 negara termasuk Malaysia. Filem dokumentari ini memuatkan temubual bersama ahli kumpulan Blackpink seperti Jennie, Lisa, Jisoo dan Rose di mana mengimbau kembali perjalanan mereka bersama sejak lima tahun lalu iaitu segmen The Room of Memories.
Dalam masa sama, filem itu juga memaparkan beberapa perkara lain seperti soal kecantikan dan perkara menarik dari keempat-empat anggota dengan ciri khas dimiliki mereka dan temubual eksklusif yang lebih kepada mesej untuk peminat.
Selain itu, filem ini turut menyelitkan beberapa persembahan mereka yang lalu sehingga berada di puncak kejayaan seperti sekarang antaranya The Show (2021), In Your Area The (2018) serta lagu popular mereka.
Mengimbau kembali perjalanan seni Blackpink , mereka membuat kemunculan pertama pada 8 Ogos 2016 menerusi lagu Boombayah dan Whistle di bawah label YG Entertainment.
Apa yang menarik, lagu pertama Blackpink itu terus mencipta fenomena apabila berada di puncak setiap carta rakaman di Korea Selatan hanya dalam masa empat jam selepas ia dilancarkan. Sejak itu juga mereka berjaya menmenembusi pasaran global.
Lima tahun kemudian, kerjaya seni Blackpink terus diterima di seluruh dunia berkat bakat dan persembahan ahlinya yang dianggap luar biasa dan di luar bidang K-Pop dan kumpulan wanita.
Ia terbukti apabila setiap ahliBlackpink mempunyai bakat khas seperti vokal, menari, rap dan kemahiran muzik sambil wujud keserasian dalam kalangan ahli.
Secara semula jadi, Blackpink dilihat sudah memancarkan daya tarikan tanpa batas yang berkilau sebagai ‘pink’ dan kuat seperti ‘hitam’.
Mengenai tayangan filem itu, penonton dapat menikmati filem Blackpink The Movie dalam pelbagai format di seluruh dunia termasuk ScreenX, sistem tiga skrin yang diperluas yang menggunakan layar depan serta dinding sisi teater, 4DX, teater multi-deria komersial pertama di dunia yang memberikan pengalaman katartik seolah-olah dalam konsert langsung, dan 4DX Screen, gabungan kedua-dua ScreenX dan 4DX.
Walaupun filem itu bersempena sambutan ulang tahun kelima mereka, Blackpink The Movie juga adalah hadiah istimewa untuk seluruh peminat kesayangan mereka dikenali sebagai BLINK.
Pastinya juga, filem itu bakal memberi satu lagi pengalaman berharga buat semua peminat dan penonton kerana seolah-olah dapat melihat mereka pada sesi beramah mesra dengan peminat dan berada di konsert.
*Sumber: Harian Metro