Jika rintangan awal berjaya diharungi, bermakna perjalanan seterusnya lebih mudah untuk ditempuhi. Apa yang penting, sabar perlu ada dalam diri untuk mengharungi segala macam cabaran.
Itu mesej yang ingin disampaikan penyanyi terkenal, Black Hanifah menerusi video muzik (MV) lagu ‘Sabar’ yang dilancarkan hari ini di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’.
Kerana Sabar, Black Tak Jadi Kahwin
Menurut Black, MV yang menjalani penggambaran selama dua hari itu memaparkan kehidupan sebenar segelintir masyarakat terutama si lelaki berstatus duda dan mempunyai anak yang ingin berkahwin semula.
“MV ini mengisahkan lelaki duda yang ada anak. Dia kemudiannya nak bercinta dengan seorang wanita. Malangnya, wanita itu hanya mahu menerima dirinya tapi tidak anaknya.
“Di depan lelaki itu, wanita itu berpura-pura menyukai anaknya, tapi di belakang bersikap sebaliknya.
Sehingga akhirnya, lelaki itu dikecewakan tapi diubati dengan sokongan kasih sayang daripada anaknya.
“Kisah sebegini memang berlaku dalam masyarakat kita. Jadi, saya ingin paparkan yang mana tidak salah seorang duda untuk bercinta dan berkahwin lagi. Tapi, tidak semua melalui pengalaman indah,”
– Black
Berkongsi mengenai penggambaran MV itu, Black berkata ia satu pengalaman baru apabila berlakon dengan pelakon kanak-kanak perempuan yang memerlukan penghayatan dan emosi penuh sesuai dengan melodi lagu ‘Sabar’.
“Sejujurnya, tidak ada masalah untuk buat MV ini. Pelakon wanita dan kanak-kanak membawa watak masing-masing dengan baik.
Walaupun saya tak pernah buat babak sebegini dalam MV sebelum ini, tapi ia tidak terlalu mudah dan susah.
Cuma, untuk pelakon kanak-kanak mendapatkan ‘mood’ sedih itu yang mengambil sedikit masa.
“Bagi saya, keunikan MV ini adalah dari segi nyanyian lagu ini. Apa saya rasa, dilontarkan sepenuhnya dalam lagu ini.
Jadi, dalam MV ini pun ia meluahkan isi hati yang dirasai. Bagi mereka yang jenis ‘family man’, pasti lebih merasai MV ini,”
– Black
Sementara itu, pengarah MV, Azuad Abdullah, 29, berkata, pihaknya memberikan dua idea dari segi jalan cerita dan Black memilih idea kedua iaitu seperti apa yang dipaparkan dalam MV ‘Sabar’.
“Kami mengemukakan dua jalan cerita. Selepas perbincangan bersama Black, dia suka idea nombor dua. Jadi, kami menerangkan kepadanya jalan cerita penuh MV ini.
“Alhamdulillah, penggambaran yang dibuat sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berjalan lancar. Satu hari membabitkan lakonan dan sehari lagi untuk rakaman nyanyian lagu saja.
“Disebabkan Black pun banyak pengalaman berlakon, jadi dia tidak ada masalah untuk membawa watak yang diberikan. Saya terangkan watak dan ‘mood’ pun, dia faham. Begitu juga dengan Maira, dia juga bagus. Mereka tak perlu buat banyak ‘take’. Cuma, cabaran pada pelakon kanak-kanak saja. Tapi, Alhamdulillah, keserasian antara mereka dapat dirakam,”
– Black
Mengenai lagu ‘Sabar’, ia berentak balada Melayu yang juga ciptaan sepenuhnya Black mengembalikan identiti muzik asal dirinya.
Apa yang menarik, lagu itu sudah disimpan sejak empat tahun lalu dan baru tahun ini Black mempunyai keyakinan untuk melancarkannya sekali gus mengembalikan kegemilangan kerjaya nyanyiannya.
“Apa yang boleh saya katakan lagu Sabar ini sangat lain dari lagu-lagu yang dihasilkan beberapa tahun sebelum ini. Ia lagu balada yang memang kena dengan jiwa saya. Kalau nyanyi pun memang ‘feel’ sepenuhnya.
“Dalam erti kata lain, lagu ini sebenarnya mengembalikan zaman awal saya dulu. Kiranya kalau orang dengar lagu ini, orang sudah tahu ini adalah muzik dan identiti saya.
Sewaktu proses rakaman pun semuanya mudah dan cepat saja sebab saya sudah faham melodi, lenggok dan lirik,”
– Black
‘Sabar’ terbitan dan edaran Nova Music Malaysia dilancarkan di semua platform digital muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer, pada 24 Julai lalu.
Video muzik rasmi ‘Sabar’ boleh mula ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ hari ini jam 9 malam di pautan ini https://youtu.be/Cd_59S6vgwk.