Fuhh! Mesti korang masih ingat dengan siri pertama BLACK yang dilancarkan pada akhir tahun 2019 kan? Siri ini diadaptasi dari drama popular Korea dengan tajuk yang sama terbitan CJ ENM Korea dan untuk versi tempatan mereka telah berjaya menggabungkan mitologi alam Melayu menjadikan siri ini lebih menarik dan sesuai ditonton dengan kepercayaan orang Malaysia.
Black Musim 2 Mula Ditayangkan Pada 10 Jun 2021
Black Musim 2 yang hanya boleh ditonton secara eksklusif di Viu pada 10 Jun 2021 dan dibarisi pelakon berkaliber tinggi seperti Kamal Adli (Black, Detektif Malik, 444), Siti Saleha (Sofia), Nabila Huda (Aisya), Khir Rahman (Detektif Borhan), Zoey Rahman (Lokman Nazir), Namron (Kapten Amirul) dan ramai lagi pelakon hebat tanah air.
Menariknya, jika sebelum ini hanya 8 episod dikeluarkan untuk siri pertama, kali ini Black Musim 2 hadir dengan 10 episod dengan durasi 1 jam setiap episod. Pastinya lebih menarik dan mendebarkan.
Sinopsis Siri Black Musim 2
Black Musim 2 masih menceritakan tentang Black (Kamal Adli) yang merupakan makhluk Bunian yang masuk ke dunia manusia untuk mengesan rakannya yang menjadi buruan dan dipercayai bersembunyi di dalam tubuh manusia.
Untuk membolehkan dia hidup di dunia manusia, Black menghuni badan Malik, seorang detektif yang telah meninggal dunia dan tanpa sedar dia sebenarnya sudah terperangkap dalam kehidupan duniawi Malik dan jatuh cinta dengan seorang manusia bernama Sofia (Siti Saleha).
Sofia memiliki kelebihan untuk melihat ajal seseorang termasuk melihat bayang orang Bunian dalam tubuh manusia. Dengan kelebihan masing-masing, Black dan Sofia membuktikan mereka pasangan yang sempurna dan berjaya mendedahkan banyak kes yang melibatkan pembunuhan, termasuklah membongkar rahsia besar yang pernah dilakukan oleh Aisya (Nabila Huda), kekasih Detektif Malik.
Pergh! Apa agaknya yang terjadi dekat Sofia dan Lokman Nazir tu sampai terkurung dalam bilik sejuk? Jom tengok siri Black dekat Viu sekarang!
Apabila diri diberi galasan membawa watak utama untuk memainkan peranan penting dalam menghidupkan jalan cerita bagi sesebuah naskhah, pastinya perlu memberikan lebih tenaga dalam pembawaan karakter.
Apatah lagi watak yang cukup berat akan memberi impak besar kepada penonton dan peminat drama di luar sana.
Setelah berjaya membawa watak besar dalam sebuah drama atau filem di samping tercalon di anugerah berprestij, ia bagaikan satu batu lonjatan buat pelakon tersebut untuk memberikan lebih terbaik untuk drama seterusnya.
Kamal berkata, Black musim kedua akan membuatkan penonton lebih ternanti-nantikan apakah pengakhiran drama ini serta banyak babak yang tidak disangka-sangka bakal disaksikan.
Menerusi Black musim kedua ini, pemburuan Black (lakonan Kamal) ke atas bekas rakannya dipertingkatkan, malah siasatannya membawanya kepada beberapa kes pembunuhan yang tidak dapat diselesaikan, termasuk yang paling mengejutkan dirinya sendiri.
Rahsia-rahsia menggerunkan dibongkar dengan kesan yang sangat buruk, serta didorong oleh Sofia yang berani dan penyayang.
Black yang dulunya angkuh dan pentingkan diri mendapati dirinya menentang ketidakadilan dan gigih menyelamatkan nyawa manusia bersama Sofia di sisinya.
Kamal berkata, watak Malik atau Black yang dibawakan untuk musim kedua ini cukup berat dan banyak babak penyiasatan yang perlu diselesaikan dan cukup rumit.
“Watak Malik kali ini memang berat. Saya jadi lebih serius dalam menjalankan penyiasatan kerana ada banyak perkara lepas yang perlu diselesaikan.
“Saya akui lakonan kali ini lebih mencabar kerana saya perlu pastikan watak dibawakan dengan sebaik mungkin. Jika tidak, penonton tidak akan faham apa yang cuba disampaikan.
“Malah saya juga cuba menambah baik lakonan saya supaya penonton dapat merasai watak ini. Jika musim pertama banyak memperkenalkan watak dalam siri ini tapi musim kedua ini sesuatu yang lebih berat dan banyak kes yang berlaku,” katanya.
Ditanya apakah cabaran utama yang perlu dilakukan untuk Black musim kedua ini, Kamal berkata, babak ketika dia perlu menyelam tanpa tabung oksigen adalah satu kesukaran dan pengalaman baru untuk dirinya.
“Satu pengalaman baru untuk diri saya iaitu ketika menjayakan babak menyelam di sebuah kolam di Pinewood Iskandar Malaysia Studios di Johor.
“Bayangkan penggambaran bermula dari tengah hari dan selesai pada lewat malam. Kolam terbabit agak dalam dan memberi cabaran kepada saya.
“Namun apabila saya melihat semula rakaman terbabit, saya berpuas hati dengan hasilnya. Selain itu, ada banyak babak pertarungan yang penonton kena lihat. Anda akan susah nak percaya adakah drama bersiri ini adalah produk tempatan. Saya kira naskhah ini cukup hebat dan berkualiti,” katanya.
Menyahut cabaran sebagai pelakon utama drama bersiri Black, Kamal Adli menyifatkan karakter yang dibawanya itu mudah dijiwai dan rasa bertuah walaupun menurutnya siri tersebut agak berat.
“Walaupun siri ini agak berat, saya janjikan kepada penonton musim ini lebih gempak dari segi penceritaan. Saya berani kerat jari kalau tak gempak!
“Selain itu, saya rasa bertuah sangat bekerja dengan kumpulan produksi serta diberi kepercayaan untuk memberi keyakinan membawa watak utama dalam drama bersiri ini,†katanya.
Dalam pada itu, Kamal juga menitipkan kata-kata pujian buat pihak produksi Black serta berhasrat dapat bekerjasama lagi menerusi projek yang akan datang.
“Mereka menjaga kami dengan baik di set pengambaran terutama semasa penularan wabak pandemik Covid-19. Produksi sangat menghargai kami sebagai pelakon siri ini. Kebajikan sebagai pelakon tidak pernah diabaikan mereka.
“Selain itu, pihak tersebut juga tidak pernah mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ketika pengambaran. Sebelum masuk set, kami semua terlebih dahulu perlu disantiasi seluruh badan.
“Oleh kerana mereka sangat profesional dan mudah bekerja, saya sedia bekerjasama jika produksi yang sama ini mahu menawarkan saya drama lain pula,†ujarnya.
Ketua produksi Asli Viu Malaysia dan Indonesia, Sahana Kamath berkata, naskhah 10 episod tersebut pasti tidak akan mengecewakan para penonton kerana begitu banyak yang menjadi pertaruhan yang menyempurnakan drama berkenaan.
“Mengadaptasi drama Korea yang disukai ramai merupakan risiko yang dipertimbangkan oleh kami semua dan telah mencapai kejayaan lebih daripada kami jangkakan.
“Musim pertama meraih ulasan pengkritik dan diletakkan dalam kedudukan 10 siri paling ditonton di platform ini di Malaysia,†katanya.
Tidak meletakkan sebarang sasaran untuk memenangi sebarang anugerah, Kamal menjelaskan, pembabitannya sebagai pelakon hanyalah untuk membuktikan dirinya mampu membawa watak yang diberikan dengan sebaik mungkin.
“Saya ingin berterima kasih kepada platform penstriman video, Viu kerana percaya dengan bakat lakonan yang saya miliki. Jujur saya tak tahu bagaimana pemilihan saya dibuat dalam drama bersiri Black ini.
“Namun, saya sangat bersyukur dan berbangga apabila menjadi sebahagian dalam keluarga Black. Saya berpeluang merasai bekerja dalam suasana berskala filem. Banyak pengalaman baru yang saya timba.
“Ketika dimaklumkan Black bakal disambung untuk musim kedua, saya sangat teruja kerana saya dapat berjumpa dengan barisan pelakon serta kru produksi yang cukup hebat dan berpengalaman.
“Malah, kami sangat optimis untuk memastikan kejayaan drama bersiri ini dan tak sangka siri pertama Black berjaya memikat hati penonton di seluruh Asia yang menontonnya,” katanya yang menganggap kemenangan atau anugerah hanyalah satu bonus kepada dirinya.
Kali ini Black musim kedua diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar dan Sein Qudsi. Drama penuh mendebarkan ini sudah boleh disaksikan menerusi aplikasi Viu. Nonton sekarang!