Beberapa hari lalu, penyanyi Black Hanifah berkongsi di laman Instagram miliknya mengenai berita kelahiran anak sulung beliau hasil perkongsian hidup dengan Naquia Yasirah Mohd Khairi atau Cira. Bayi lelaki pasangan ini dilahirkan jam 7.48 malam tangga 13 Januari lalu dengan berat 2.09 kilogram di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya.
Menurut penyanyi kelahiran Mentor TV3 itu, anaknya keluar lebih awal dari tarikh jangkaan sebenar pada 18 Februari depan.
“Alhamdulillah saya bersyukur dan teruja sangat dengan kelahiran anak sulung ini. Anak ini sudah sempurnakan hidup saya dan isteri. Harapnya dengan kehadirannya, kehidupan saya dan isteri akan bertambah baik dan matang. Isteri saya dimasukkan ke hospital dua hari lebih awal dan dalam tempoh itu saya hanya tidur atas kerusi saja kerana tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik pembedahan. Selepas anak saya dilahirkan, saya tak makan langsung selama dua hari kerana teruja.
“Ibaratnya saya gembira ‘gila’ hingga lupa diri. Alhamdulillah keluarga juga sangat gembira dengan kelahiran anak kami.”
Black dalam perkembangan lain mengakui terpaksa tolak beberapa undangan membuat persembahan kerana mahu meluangkan masa dengan anak sulungnya itu. Ketika ini Black belum menamakan lagi anaknya itu.
“Saya nak cuba habiskan masa jaga anak dan isteri. Saya nak rasa apa yang ibu dan bapa saya lalui sebelum ini. Insya-Allah bulan depan baru saya kembali bekerja,” katanya. Sumber: Berita Harian
Budiey nak ucapkan tahniah buat Black. Semoga kelahiran anak pertama ini memberikan kebahagian dan keceriaan buat keluarga Black.