Sejak diperkenalkan pada tahun 2005, program Mentor kini dianggap nadi utama program realiti di TV3 khususnya dan tempatan pada amnya. Lebih membanggakan, Mentor Legend telah dinobatkan sebagai Rancangan Realiti Terbaik di Anugerah Skrin 2015. Selepas tujuh musim, Mentor kembali dengan konsep dan format baharu iaitu Mentor Milenia yang membariskan Black, Azlan, Akim dan Hazama sebagai barisan mentor.
Program Realiti Popular TV3 Kembali Dengan Nafas Baharu
[dropcap]F[/dropcap]okus kepada golongan muda dalam lingkungan umur dari 17 hingga 21 tahun, Mentor Milenia bertujuan mengasah bakat-bakat baharu untuk menjadi penghibur yang berjaya dan mampu menempa nama di persada seni.
Menurut Pengurus Hiburan Primeworks Studios merangkap penerbit eksekutif Mentor Milenia, Muhamad Sufian Isa:
“Program Mentor kembali dengan konsep dan format baharu untuk mencungkil bakat muda dalam bidang nyanyian. Berlainan dengan musim-musim sebelum ini, Mentor Milenia menampilkan empat mentor yang merupakan idola golongan muda iaitu Black, Azlan, Akim dan Hazama untuk memberikan tunjuk ajar kepada para protege berkaitan bidang nyanyian, seni persembahan dan memperlengkapkan diri sebagai penghibur.”
“Terkenal dengan kekuatan vokal dan sentiasa memukau penonton ketika beraksi di pentas, keempat-empat artis popular ini jelas mempunyai kualiti untuk disenaraikan sebagai mentor. Bukan itu sahaja, mereka juga bukanlah nama asing yang bertanding di anugerah berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL). Pengalaman mereka dalam mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran dalam industri hiburan sehingga berjaya dalam usia muda boleh dijadikan sumber inspirasi kepada protégé mereka yang berazam untuk berjaya seperti mereka. Selain itu, Mentor Milenia tidak akan mempunyai panel juri kerana keputusan persembahan para protégé adalah berdasarkan jumlah undian daripada penonton di studio sebanyak 30% dan 70% menerusi laman web rasmi Mentor Milenia,” jelas Sufian lagi.
Protege yang layak memasuki gelanggang Mentor Milenia seharusnya memiliki kriteria yang dicari iaitu berusia antara 17 – 21 tahun, warganegara Malaysia yang memiliki bakat, vokal mantap dan mempunyai pakej, berjaya memikat tumpuan Mentor yang menjadi pilihan mereka, menyanyi secara solo, tidak terikat dengan sebarang kontrak dan boleh memberikan sepenuh komitmen terhadap program Mentor Milenia. Peserta yang menghadiri uji bakat mesti membawa kad pengenalan, gambar berukuran pasport atau 4R dan membawa minus one lagu-lagu yang bakal mereka persembahkan untuk penilaian Mentor pilihan mereka.
Bagi para peserta yang berminat untuk menjadi protege kepada penyanyi idola masing-masing, bolehlah menghadiri ke sesi uji bakat yang akan diadakan seperti berikut:
Tarikh | Mentor | Kriteria Protégé | Lokasi |
13 Disember | Hazama | Boleh menyanyi dalam pelbagai genre dan versatil | Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam |
19 Disember | Azlan | Vokal yang mantap
Kesungguhan yang tinggi Mental dan fizikal yang kuat |
|
20 Disember | Akim | Mempunyai karektor suara tersendiri
Penampilan yang baik |
|
26 Disember | Black | Tak kacak asal bergaya
Suara pertama, muka nombor dua Sentiasa bersedia dalam semua segi terutama lagu |
Sidang produksi Mentor Milenia diketuai oleh Muhamad Sufian Isa sebagai penerbit eksekutif dan Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) sebagai penerbit. Mentor Milenia bakal menemui penonton TV3 bermula 3 Januari 2015 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 – 11.00 malam.
Layari laman web www.tv3.com.my serta Facebook, Twitter & Instagram TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Penonton yang terlepas menyaksikan program ini masih boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.