Penganjur program yang juga pengarah di syarikat Bkay Nair Resources (BNR), menganggap sasaran atau target kutipan ini dapat dicapai disebabkan sokongan banyak pihak terhadap kerja kebajikan yang dilakukannya untuk meraikan anak-anak istimewa.
“Tidak dinafikan, sebut sahaja pertunjukan fesyen, kebiasaannya ramai yang lebih suka program-program seperti pertandingan ratu cantik atau yang melibatkan selebriti. Apatah lagi ia amat mudah untuk menarik penaja terlibat sama.
“Bagi saya pula berbeza. Saya mahu menampilkan kelainan iaitu memperkenalkan pakaian tradisional wanita India iaitu sari. Dalam masa yang sama saya masukkan kerja Amal iaitu membantu PSDM dalam mendapatkan dana.
“Apa yang membuatkan saya berpuas hati adalah kutipan dana untuk PSDM mencapai sasaran. Berapa jumlah itu masih lagi dalam pengiraan kerana Masih ada yang mahu membuat sumbangan hingga ke saat ini.
“Sambutan hangat daripada penyumbang dan penaja membuatkan saya terus bersemangat untuk menganjurkan acara ini lagi.
“Bukan itu sahaja, hasrat saya mahu terus memperkenalkan kepelbagaian jenis sari juga tercapai.
“Apa yang lebih menarik, pertunjukan fesyen sari ini turut melibatkan sepuluh anak Sindrom Down. Siapa sangka mereka juga pandai bergaya dan catwalk di atas pentas.
“Dalam masa yang sama, kutipan dana untuk anak-anak istimewa ini masih lagi berjalan. Jadi, tentang jumlah kutipan itu biarlah saya menunggu semua pihak yang ingin menyumbang berbuat demikian terlebih dahulu,” katanya kepada Wilayahku.
Bkay Nair yang juga seorang pelakon ini ditemui pada acara minum petang dan pertunjukan fesyen WSDM yang berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat pada Ahad lalu.
Program amal ini disokong oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), Kelab Bharat Kuala Lumpur dan Suruhanjaya Tinggi India dengan objektif untuk memberi kesedaran kepada orang ramai dan mendidik mereka tentang keunikan sari serta menyalurkan sumbangan kepada PDSM bagi menampung perbelanjaan mereka.
“Walaupun sumbangan terhadap acara Amal ini tidaklah ‘sekencang’ pertunjukan fesyen yang melibatkan selebriti, saya akan tetap teruskannya pada masa akan datang. Mungkin boleh jadikan program tahunan.
“Selain sokongan penaja dan penyumbang dana, saya cukup berterima kasih kepada pasukan WSDM yang bertungkus lumus menjayakan program ini.
“Begitu juga pihak PSDM dan rakan-rakan media yang tidak pernah jemu memberikan sokongan. Inilah yang memberi semangat untuk saya teruskan acara sebegini,” ujarnya.
BKay Nair berkata, pada majlis ini turut mempamerkan 30 jenis sari yang berbeza dan gaya lilitan di 30 negeri (India selatan ke utara) sebagai cara untuk mendidik orang ramai tentang keunikan dan fakta menarik tentang sari.
“Terdapat pelbagai jenis di India dengan berbeza material, reka bentuk, dan gaya yang dipakai.
“Kami memilih untuk mendidik tentang warisan budaya sari kerana terdapat banyak fakta menarik mengenainya.
“Penyertaan komuniti sindrom down sebagai model turut dapat meningkatkan pembangunan diri mereka.
“Sumbangan yang diberikan oleh WDSM kepada PSDM adalah untuk membantu mendapatkan peralatan tambahan, perbelanjaan latihan kerjaya vokasional dan peralatan bagi membantu ahli persatuan menjadi usahawan yang berdikari dan berjaya dalam masa terdekat,” katanya.
Turut hadir oleh Pesuruhjaya Tinggi India, Encik Bommireddy Narasimha Reddy.
Pada majlis itu turut dipersembahkan tarian khatak tradisional yang unik juga dipersembahkan oleh Pusat Kebudayaan India Netaji Subhash Chandra Bose (NSCBICC) di mana para penari menceritakan kisah melalui mata dan ekspresi mereka.