Husnuzon atau berbaik sangka, sentiasa berfikiran positif tanpa persepsi menjadi kunci utama mesej yang ingin disampaikan oleh filem pendek Raya BISIK HATI MAK oleh Telekung Siti Khadijah. Dengan lahirnya filem pendek arahan Bob Husaini dari Tangerine Pictures dan kreatif oleh Ridzwan Ibrahim ini, sikit sebanyak dapat menyemarakkan suasana Hari Raya yang lebih jelas dan bermakna; saling berkomunikasi dengan lebih baik agar dapat mengenali hati budi sesama insan melangkaui bangsa dan latar belakang.
Mula ditayangkan pada 3 Jun 2018 melalui saluran Youtube rasmi Telekung Siti Khadijah, laman web dan media sosial, angka himpunan tontonan terkini telahpun mencecah lebih lima juta tidak sampai 7 hari. Filem pendek raya ini secara tidak rasmi mendapat undian penonton pada kedudukan antara tiga tertinggi video kempen raya paling disukai tahun ini dengan hashtag #BisikHatiMak.
Watak Mak (lakonan Fauziah Nawi) sebagai ibu kepada anak lelaki (lakonan Fikry Ibrahim) yang berkahwin dengan gadis Cina bernama Ruby (lakonan Joyce Harn) meruntun jiwa sesiapa sahaja yang menontonnya. Tanggapan kehadirannya tidak disenangi Ruby, menantunya membuatkan si ibu sentiasa terkecil hati.