Menurutnya, dia paling rindukan kata-kata semangat daripada arwah ibunya, Allyarhamah Azean Irdawaty.
“Dahulu saya cukup berani menghadapi setiap cabaran kehidupan, saya mampu mengatasi segalanya. Kata-katanya seperti “segalanya akan berlalu” atau “lepaskan dan biarkan Tuhan” atau “solat Ben… Dia mendengar kamu…” akan selalu membantu saya untuk terus berjuang memahami erti sebuah kehidupan.
“Namun, kini suaranya tidak lagi kedengaran di telinga dan tanpa kehadirannya di sisi. Walaupun saya sudah cuba lakukan yang terbaik dan pertaruhkan segalanya untuk sesuaikan diri dengan kehidupan baru ini, saya dapat rasanya sebahagian diri ini mati seiring dengan masa berlalu,”
Benjy ternyata dicengkam rasa sunyi yang mendalam. Dia tidak pernah meminta takdir hidupnya begitu untuk meringkuk di dalam penjara.
Saya dihantar ke sini selepas beberapa minggu dijatuhkan hukuman oleh mahkamah tempatan, di mana saya menerima hukuman penjara 11 tahun dan tiga bulan kerana memiliki syabu (meth) seberat 4.5 gram ketika memasuki Kuala Namu menerusi penerbangan dari KL (Kuala Lumpur).
“Saya akui, ia bukanlah satu pilihan hidup yang terbaik, tetapi yang pasti, saya impikan untuk memiliki sebuah mesin masa. Di sini saya kesunyian, bukan kerana tidak mempunyai kawan, tetapi kerana tidak ramai yang boleh berbahasa Inggeris,” katanya.
Setiap hari menunggu pembebasan, jelas menekan jiwa Benjy. Dia mengakui rindu kenangan bersama keluarga, serta air tangan masakan mereka.
“Nasi ulam arwah mama (dibuat daripada lebih 21 jenis ulam-ulaman yang berbeza..) dan sayur keladi, puding roti ayah (tak tahu macam mana ayah sediakan sebab dia tidak pernah suka orang lain berada di dapur ketika dia sibuk memasak).
“Ayam panggang madu adik saya Elza (setiap kali dia punya masa untuk sediakan makan malam), minuman kesihatan adik perempuan saya Ines (dia memasak sama seperti anak-anak mama yang lain, termasuklah saya, tetapi sejak 10 tahun kebelakangan ini dia menjadi pakar pemakanan keluarga kami).
“Dan tidak ketinggalan ialah hidangan ketam batu segar yang dimasak dalam sos mentega enak anak saya, pidod dan fie, my other half (dia mahupun pidod tidak selalu memasak) adalah beberapa kenangan yang sering menerpa fikiran ini saban hari, setiap kali saya memandang keluar dari jeriji besi ini,” katanya.
Menurutnya, dia juga terpaksa berlapar akibat kekurangan makanan tersedia di penjara dia ditempatkan.
“Mengapa makanan? Kerana saya makan ketika berasa tertekan. Mengapa saya tertekan? Selain perkara yang sudah jelas, saya mempunyai 10 tahun lagi untuk menunggu hari pembebasan.
“Makanan tidak mencukupi di sini kerana populasinya berlebihan, itulah yang diberitahu. Jadi, kebiasaannya saya sering berlapar. Di manakah lokasi ini? Inilah tingkat 3, blok C, sebuah penjara di Indonesia yang tidak akan saya dedahkan atas faktor keselamatan,” tulisnya.
Semalam, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Benjy yang dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Medan, Indonesia akibat penyakit asma.
Pada 2017 lalu, Benjy dijatuhi hukuman penjara 11 tahun di Indonesia atas kesalahan cubaan menyeludup dadah jenis syabu. Difahamkan juga, segala urusan pengebumian jenazah Benjy dilakukan di Medan, hari ini.