Demi membersihkan namanya, pelakon dan penyanyi Fattah Amin berkata dia mengambil tindakan membuat laporan polis terhadap rakan perniagaannya, Kamarul Ariff Abd Karim berikutan tidak mendapat kerjasama daripadanya berhubung isu melibatkan syarikat mereka, MRP International Sdn Bhd (MRP).
Nama Fattah sebelum ini teruk dikecam stokis produk kesihatan MRP selepas wang mereka tidak dikembalikan sejak beberapa bulan lalu.
Isu itu mula diperkatakan apabila e-mel kiriman individu dipercayai ejen MRP mendakwa, produk itu tidak dapat dijual kerana Fattah dikatakan tidak lagi rancak mempromosikannya.
Pengirim e-mel itu juga mendakwa, mereka sudah berusaha mendapatkan semula baki wang, namun tidak mendapat maklum balas.
Fattah mengakui berlaku masalah dalaman yang mengakibatkan rangka promosi produk yang dikeluarkan di bawah syarikat MRP International Sdn Bhd itu tidak dapat dilakukan.
“Saya tahu isu ini selepas beberapa stokis mula memuat naik perkara ini di laman sosial. Saya dituduh menipu stokis-stokis tersebut.
Apabila saya tahu mengenai hal ini, saya terus menghubungi rakan kongsi, Kamarul bagi mendapatkan penjelasan serta ingin melihat penyata kewangan syarikat.
“Namun, dia tidak pernah memberikan kerjasama dan sehingga saya terpaksa membuat laporan polis bagi mendapatkan akses ke atas laporan kewangan syarikat.
Memang saya merupakan pengarah syarikat ini bersama Kamarul tapi saya memang tidak tahu apa-apa berkaitan hal kewangan syarikat,”
– Fattah Amin
Fattah ditemui pada majlis sidang media khas yang diadakan di pejabat pengurusannya di Universal Music Malaysia, Petaling Jaya hari ini. Fattah juga turut menafikan isu ini dibangkitkan untuk melakukan gimik bagi melariskan jualan.
“Ini bukan gimik, ini isu serius. Saya rasa bersalah dengan stokis dan ejen kerana ada antara mereka adalah peminat saya,”
– Fattah Amin
“Saya perlu membuat penjelasan kepada stokis MRP bahawa saya tidak menipu atau bersekongkol dengan sesiapa untuk menganiaya mereka.
“Ia usaha saya sendiri bagi menyelesaikan masalah yang sedikit sebanyak mencalar nama baik saya,
“Saya tidak dapat berkongsi masalah itu, namun saya tidak menganiaya stokis yang terbabit, apatah lagi kebanyakan mereka ialah peminat. Saya rasa sangat bersalah apabila isu ini timbul.
“Apabila mendapat tahu perkara ini akhir tahun lalu, saya cuba menghubungi rakan kongsi bagi mendapatkan penjelasan dan mahu meneliti akaun syarikat.
“Tetapi, dia tidak memberikan sebarang maklum balas. Saya membuat penjelasan ini bagi memperbetulkan keadaan apabila stokis mula meninggalkan komen di laman sosial dan menuduh saya tidak mengembalikan wang mereka,”
– Fattah Amin
Menurut Fattah, dia berasa sedikit ralat apabila isu ini timbul, rakan perniagaannya itu mendiamkan diri lantas menyebabkan stokis-stokis menuding jari kepada dirinya.
“Percayalah, saya memang tiada niat untuk menipu sesiapa dan saya tidak tahu-menahu mengenai isu ini. Saya kalau boleh nak buat perjumpaan dengan mereka (stokis-stokis)
“Bagaimanapun, saya tiada bukti sebab saya memang tiada akses untuk melihat penyata kewangan syarikat,”
– Fattah Amin
Turut hadir, peguam yang mewakili Fattah, Fakhrul Azman Abu Hasan daripada Azaine & Fakhrul Advocates & Solicitors. Fattah, 29, membuat laporan pada 8 Mac lalu di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Menurut Fattah lagi, peguamnya sudah menghantar notis pada 13 Februari lalu agar memberikan kebenaran kepadanya untuk mengakses penyata kewangan namun ia tidak dilayan oleh Kamarul sehingga ke hari ini.
“Sebelum ini peguam saya telah menghantar notis kepada Kamarul supaya membenarkan saya mengakses penyata kewangan syarikat dan menjalankan audit yang lebih terperinci.
“Sehinggalah saya merancang untuk membuat sidang akhbar, baru dia ada menghubungi peguam. Jadi, saya dan peguam akan berbincang tentang perkara ini untuk tindakan lanjut,”
– Fattah Amin
Berikutan isu ini, Fattah berkata ia memberi pengajaran besar kepada dirinya agar lebih berhati-hati dalam menjalankan urusan perniagaan selepas ini.
“Ini merupakan pengajaran untuk saya. Lepas ini saya akan lebih berhati-hati. Saya tahu saya tidak bersalah dan berada di pihak yang benar.
“Jadi, saya buat sidang media ini untuk membersihkan nama selain ingin membantu stokis mendapatkan hak mereka semula sebab kebanyakan stokis adalah merupakan peminat saya. Kalau ada yang kata benda ini gimik, ia bukan gimik, sebaliknya ia adalah satu isu yang serius,”
– Fattah Amin
Sebelum ini, puluhan stokis membangkitkan isu mendakwa ditipu MRP berhubung jualan produk kesihatan dan menuntut wang mereka dikembalikan.
Untuk info, syarikat MRP International Sdn Bhd mengeluarkan produk makanan kesihatan, MRP Sup DIET & Berrytox.