SIRAH MU DI AIDILADHA PADA 08 DISEMBER 2008 (ISNIN), JAM 12.05 TENGAH HARI DI RTM1
Jika ada pendapat yang menyatakan hiburan itu sesuatu yang menjurus ke arah kelalaian dan mendidik hati jauh daripada jalan kebenaran semata-mata, telahan itu kini nyata hanya omongan kosong yang perlukan bukti untuk diakui kesahihannya.
Meskipun meniti landasan atas nama hiburan, masyarakat kini lebih terbuka penerimaan yang cuba disampaikan termasuklah irama nasyid yang suatu ketika dahulu pernah menguasai pasaran industri muzik Malaysia dengan kemunculan Kumpulan Raihan dengan perjuangan lagu-lagu nasyid yang cuba mendidik hati pendengar dengan lirik berunsur nasihat yang cuba disampaikan.
Bienda yang comel
Justeru sempena kehadiran Hari Raya Korban ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) cuba untuk mengajak penonton sama-sama berhibur menerusi Sirah Mu Di AidilAdha, sebuah rancangan hiburan yang menampilkan kumpulan nasyid terkenal Raihan dan juga rakan-rakan artisnya yang lain pada 08 Disember 2008 (Isnin), jam 12.05 tengah hari menerusi RTM1.
Sirah Mu Di AidilAdha mengetengahkan pengertian Hari Raya Aidil Adha di mana kumpulan Raihan akan bercerita tentang beberapa topik seperti pengertian qurban, kisah Nabi Ibrahim dan anaknya, sejarah dan Fadhilat menunaikan haji dan sebagainya. Setiap ahli kumpulan Raihan akan bercerita sambil menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh beberapa orang kanak-kanak yang turut sama menjayakan rancangan ini.
Cerita-cerita ini akan disusuli dengan paparan visual yang berkaitan kisah-kisah pengajaran yang telah disampaikan. Malah selain dari itu Raihan juga turut mengundang beberapa artis lain untuk membuat persembahan dalam bentuk klip video yang dirakamkan semula seperti Bienda dengan lagu popularnya Penantian, Hafiz Hamidun menerusi lagu Bilakan Damai dan Akhbar dengan lewat lagu berjudul Kemarau.
Istimewanya, Raihan juga akan menyampaikan empat buah lagu yang pernah dipopularkan oleh mereka iaitu Haji Menuju Allah dan 25 Rasul dan juga dari album terbaru mereka. Seramai 12 orang kanak-kanak yang berusia di antara 7 hingga 12 tahun turut diundang untuk menjayakan rancangan ini.
Pastinya diharapkan agar anda tidak melepaskan peluang berhibur sambil menghayati kisah-kisah pengajaran yang mengisi program khas tontonan seisi keluarga ketika sama-sama meraikan perayaan Hari Raya Korban ini menerusi Sirah Mu Di AidilAdha, pada 08 Disember 2008 (Isnin), jam 12.05 tengah hari di RTM1.
Hafiz Hamidun
Raihan