2 Telemovie Istimewa Maal Hijrah di TV1 : Bidadari Dari Raudhah Dan Niat Hawa
Sambutan tahun baharu dan azam baru seseorang sememangnya tidak dapat dipisahkan. Ketika meraikan tahun baharu itulah masing-masing mula memasang niat dan azam untuk menjadi yang terbaik daripada sebelumnya dan ianya mahu direalisasikan dalam tempoh setahun yang mendatang.
Justeru dalam meraikan sambutan Maal Hijrah 1433H yang diraikan 27 November depan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengajak penonton bersama-sama menghayati erti sebenar penghijrahan ke arah kebaikan dalam dua telemovie khas; Bidadari Dari Raudhah pada 25 November 2011, jam 10.30 pagi dan Niat Hawa pada 26 November 2011, jam 9.00 Malam menerusi TV1.
Kisah Khir, manusia kaya tetapi sombong hingga sanggup menghalalkan apa saja yang haram dan menganggap dosa bagaikan pahala melatari drama Bidadari Dari Raudhah yang mengisi slot Nurani. Jalan ceritanya berkembang sekitar watak Khir di mana memang ramai yang sudah menjadi mangsanya. Maka tidak hairanlah dia dibenci dan dicemuh seisi keluarga.
Satu hari Khir rebah akibat serangan jantung dan dalam keadaan yang lemah itu tiba-tiba Khir dihampiri seorang wanita berbaju putih. Khir yang semakin lemah mula merasakan ajalnya semakin dekat.
Drama menarik ini dibintangi oleh Ady Putra, Elly Mazlein, Dato’ Jalaluddin Hassan, Roy Azman, Othman Basri dan Ezany Nizariff.
Saksikan juga kemudiannya telemovie Niat Hawa yang sarat pengajaran terhadap orang yang melengah-lengahkan hasrat murni untuk menutup aurat lakonan lakonan Almy Nadia, Ezany Nizariff, Safura Yaacob dan Farah Nadia.
Ia mengisahkan Hawa telah berniat akan memakai tudung jika permohonan kerjanya diterima. Tetapi setelah mendapat pekerjaan, Hawa telah melupakan niatnya dan terus leka bersama teman lelakinya bernama Zudin. Apatahlagi Zudin lebih suka Hawa tidak bertudung dan berfesyen mengikut gaya terkini.
Satu hari Hawa terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkannya lumpuh seluruh badan. Sejak itu Hawa mula teringatkan niatnya untuk memakai tudung namun telah diabaikannya. Rasa berdosa mula menebal dalam dirinya.
Masih adakah ruang untuk mereka berhijrah ke arah kebaikan? Saksikan dua drama khas Maal Hijrah 1433H ini hanya di TV1.