BICARA AUR DENGAN TEBING SIRI 2 KEMBALI TEMUI PENONTON TV2 MULAI 20 OGOS 2009
Kemunculan gadis bernama Mia dengan perwatakan ‘bodoh-bodoh alang’ lakonan Rita Rudaini yang menjadi mangsa deraan kakak kandung sendiri yang dibawakan wataknya oleh Jasmin Hamid pernah menarik perhatian penonton mengikuti drama bersiri tontonan ramai, Bicara Aur Dengan Tebing disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) tahun lalu. Namun penghujung episod itu sekadar terhenti apabila watak si kakak, Yeen ditinggalkan suaminya begitu sahaja apabila dia memutuskan berkahwin dengan wanita lain.
Begitu pun kemunculan watak Mia kali ini dijayakan oleh Lisdawati bergandingan dengan Fauzi Nawawi sebagai pasangan suami isteri di samping masih mengekalkan Jasmin Hamid memegang watak kakak yang kejam dikenali Yeen menerusi Bicara Aur Dengan Tebing Siri 2 sepanjang 26 episod kembali disiarkan mulai 20 Ogos 2009, setiap Khamis, jam 9.30 malam di TV2.
Bicara Aur Dengan Tebing Siri 2 bermula dengan babak dimana Mia melawat Yeen di Hospital Bahagia dan cuba mengembalikan ingatan kakaknya itu menerusi diari milik Yeen. Sebagai seorang adik, Mia rasa bertanggungjawab untuk menjaga kakaknya yang mengalami tekanan perasaan itu.
Namun Mia terpaksa berdepan dengan kerenah Datin Mimi dan Laila, anak gadisnya yang begitu mendendami Mia kerana Faizal telah memilih Mia sebagai isterinya. Sedangkan Datin Mimi yang juga ibu saudara kepada Faizal bersungguh mahu menjodohkannya dengan Laila, anaknya. Mujur Halimah, ibu Faizal begitu memahami pilihan hati anaknya itu dan berbesar hati menerima Mia sebagai menantunya meskipun sedar Mia tidak seperti gadis lain kerana menghidapi Dylexia.
Kesibukan Mia menguruskan Yeen menyebabkan seringkali timbul perselisihan faham antara Mia dengan suaminya, Faizal. Apatahlagi sejak Mia membawa pulang Yeen dari rumah sakit jiwa ke rumahnya perhatian Mia banyak dicurahkan kepada Yeen. Meskipun keputusan Mia membawa kakaknya kurang disenangi Faizal namun dia terpaksa beralah dengan kehendak isterinya itu. Sangkanya Yeen berubah namun rupa-rupanya episod deraan Yeen terhadap Mia masih berterusan. Pada masa sama ketika itulah juga Laila mula memainkan peranannya untuk menggoda Faizal dengan bantuan Datin Mimi.
Satu hari tanpa diduga, ketika berjoging bersama Mia, Yeen terserempak dengan bekas suami yang pernah mengkhianatinya, Razuan. Ketika itu semarak dendam di hati Yeen kembali membara untuk mengganggu kehidupan Razuan. Begitu pun hakikatnya Razuan sememangnya sedang dilanda kemelut dengan rumahtangga barunya yang dibina bersama Dina. Dina tidak pernah menghormatinya sebagai suami. Malah seringkali memalukannya ketika berdepan dengan pekerja syarikat yang lain kerana angkuh dengan jawatannya sebagai Pengarah Syarikat.
Dalam diam Yeen mula mengatur rancangan untuk mengenakan Razuan dengan cara mengubah penampilannya untuk meraih perhatian Razuan. Razuan mahu dimusnahkannya secara perlahan-lahan. Sementara itu, Mia mula cemburu dengan perhatian lebih diberikan Faizal kepada Laila yang telah dibomohkan oleh dua beranak itu.
Lalu bagaimanakah Mia mengatasi tekanan dan kekejaman dilakukan Yeen terhadapnya? Mampukah dia mempertahankan rumahtangga dibina bersama Faizal? Apa pula yang terjadi kepada Yeen yang mahu membalas dendam terhadap bekas suaminya itu? Segalanya bakal terjawab apabila anda meluangkan masa menonton Bicara Aur Dengan Tebing Siri 2 sepanjang 26 episod kembali disiarkan mulai 20 Ogos 2009, setiap Khamis, jam 9.30 malam di TV2.
Â
Selain Jasmin Hamid, Lisdawati dan Fauzi Nawawi, drama ini turut dibintangi Aida Aris, Sheila Mambo, Hamidah Wahab, Arash Mohammad dan Julia Ziegler.