Sarah Suhairi mengulas tindakannya memuat naik gambar jari kanan bersarung cincin di Instagram (IG) Story, baru-baru ini.
Mengulas lanjut perkara itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Rise and Fall itu berkata, tujuannya berkongsi foto berkenaan berserta keterangan gambar yang mencetuskan spekulasi hanyalah untuk mengusik pengikutnya.
“Masa itu Sarah baru balik daripada majlis perkahwinan sepupu. Sarah kongsi gambar di IG Story dengan kapsyen Alhamdulillah… Eh. Sarah buat begitu sekadar mahu mengusik pengikut.
“Sebaik sahaja Sarah muat naik foto, ramai yang mula bertanya, betulkah Sarah bertunang? Masa mula mereka nampak perkataan Alhamdulillah, memang ramai yang percaya Sarah bertunang, tetapi apabila melihat perkataan Eh di hujungnya, barulah mereka tahu Sarah bergurau,” katanya kepada BH Online.
Ditanya apakah statusnya ketika ini, penyanyi berusia 20 tahun itu mengakui, masih belum mempunyai teman istimewa.
“Buat masa ini, saya tak ada sesiapa, tak nampak bayang lagi. Memang ada yang mendekati diri Sarah tetapi, jujurnya, takut jugalah.
“Yang mencuba adalah kawan masa sekolah dan bukannya rakan artis. Sarah tak terfikir soal nak ada teman istimewa. Relaks dahulu dan fokus pasal kerjaya,” ujar penyanyi yang berasal dari Rawang, Selangor ini.
Dalam perkembangan lain, Sarah kini sedang sibuk mempromosikan single terbaharu berjudul Satu Di Hati yang disampaikan secara duet bersama Ariff Bahran.
Lagu berkonsepkan kerohanian itu diambil daripada lagu duet mereka sebelum ini iaitu Bicara Rasa.
“Melodinya sama cuma susunan muzik dan liriknya diubah menjadi lebih Islamik,” ujarmya.
Sumber: BH Online