Pelakon dan pengacara, Mira Filzah, berkata mana-mana wanita yang menjalinkan hubungan pasti menginginkan pengakhiran baik.
Namun, saat ini dia sendiri belum pasti mengenai hubungannya dengan seorang jejaka yang dirahsiakan identitinya, apakah ia akan berakhir dengan perkahwinan pada tahun depan atau sebaliknya.
“Tuhan sahaja yang lebih mengetahui dan perkara itu adalah di bawah kuasa-Nya. Kita sendiri tidak tahu apa akan terjadi pada 2020. Macam-macam boleh berlaku dalam tempoh 12 bulan akan datang.
“Cuma, bagi sesiapapun yang menjalinkan hubungan, termasuk wanita, mereka mahukan sebuah pengakhiran yang baik dan kebahagiaan. Justeru, niat ke arah itu pastinya ada, cuma belum ada apa-apa pengesahan lagi,”
– Mira Filzah
Mira, 26, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai andaian dirinya bakal mengakhiri zaman bujang bersama lelaki terbabit, tahun depan.
Perkara itu timbul apabila bintang Adellea Sofea siaran TV3 itu mendakwa dirinya sedang mengenali hati budi seorang individu bukan dalam kalangan orang seni, baru-baru ini.
Ketika ramai menyambut baik berita terbabit, sebahagiannya pula berasakan Mira tidak seharusnya mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat kerana dia dilihat mempunyai potensi cerah untuk terus memperkukuhkan nama di persada seni.
Pada pertanyaan sejauh mana hubungannya dengan lelaki itu, Mira tetap dengan jawapan masih dalam fasa mengenali hati budi.
“Begitulah gayanya. Kami masih pada tahap perkenalan. Saya pun takkan mendedahkan lebih-lebih selagi belum ada kata putus mengenai perancangan untuk berkahwin atau sesuatu yang sah dalam hubungan kami.
“Apabila sudah ada kata pasti, saya akan maklumkan dan kongsi. Sekarang, saya memang tidak berani untuk bercakap apa-apa,”
– Mira Filzah
Mengenai reaksi peminat pula, Mira yakin mereka sentiasa mendoakan yang baik-baik.
“Setakat ini, peminat saya okey sahaja. Mereka mendoakan yang baik-baik. Mereka pun bijak, matang dan memahami. Masing-masing juga boleh membezakan antara situasi dalam drama dan kehidupan di alam realiti.
“Cuma, dalam soal perkahwinan, kita sendiri yang menentukan hala tujunya, bukan orang lain. Saya rasa, mereka juga akan tumpang gembira dengan apa sahaja yang saya lalui dan pilih,”
– Mira Filzah
Dalam pada itu, Mira menyifatkan 2019 yang bakal berlabuh sebagai fasa cukup cemerlang buat dirinya.
“Saya boleh katakan, tahun ini cukup cemerlang. Rezeki saya murah. Produk lakonan saya, tidak kira drama mahupun filem, mendapat sambutan. Saya juga memenangi beberapa anugerah, termasuk pada ABPBH 32.
“Pada masa sama, saya turut bimbang untuk memasuki 2020. Pastinya ada jangkaan terlalu tinggi untuk dicapai. Bagaimanapun, ada sesuatu yang baharu dan berbeza akan saya lakukan pada tahun depan. Saya juga berharap dapat meneroka lebih banyak perkara baharu,”
– Mira Filzah
Sumber: Berita Harian