“SAYA akui hubungan kami sedang dilanda dugaan, namun saya yakin sudah cukup matang untuk mengawal situasi ini. Saya sedang berusaha mencari penyelesaian terbaik untuk situasi yang berlaku antara kami,” kata pelakon Hafreez Adam mengenai hubungannya dengan tunang yang juga pelakon, Zara Zya ketika ini.
Dalam masa sama, Hafreez juga tidak lagi mengikuti Zara di Instagram.
Hafreez ketika dihubungi berkata, tiada istilah sudah putus tunang sebaliknya keputusan dibuat bagi memastikan dirinya tidak menerima sebarang tekanan mengenai hubungan yang terjalin.
“Instagram adalah tempat saya berkongsi hal berkaitan kerjaya. Tambahan pula saya bukanlah seorang yang suka memuat naik hal peribadi sesuka hati.
“Jadi, bagi mengelakkan banyak masalah dan cerita-cerita kurang enak, saya nekad untuk ‘unfollow’ Zara di Instagram dan tidak membaca sebarang cerita negatif mengenainya di Instagram. Saya bimbang andai hubungan kami dilanda masalah, ada pihak cuba menokok tambah cerita,”
– Hafreez Adam
Hafreez berkata, dia juga pernah berdepan dugaan bertunang apabila ada cubaan untuk merosakkan hubungannya dengan Zara.
Katanya, sebelum menjalinkan ikatan pertunangan pada 12 Oktober lalu, mereka tidak pernah bergaduh.
“Sepanjang dua tahun bercinta, kami tak pernah bergaduh. Hubungan berjalan dengan baik saja. Namun selepas bertunang, perkara lain pula terjadi.
“Saya kesal apabila ada pihak cuba menyebarkan cerita negatif mengenai kami. Bagaimanapun, saya enggan ambil serius dan menganggap perkara ini sebagai dugaan orang bertunang,” katanya.
Sumber: Harian Metro