[dropcap]M[/dropcap]emang susah kalau bekerja dengan pasangan yang saling tidak menyukai antara satu sama lain. Apatahlagi kalau salah seorang daripadanya asyik nak tunjuk lagak kononnya dia saja lah yang bagus dan dia sajalah yang betul dalam segala hal. Itu yang dilalui oleh pengacara dan pelakon Daphne Iking apabila terpaksa berkerjasama dengan Sharnaaz Ahmad.
Namun jangan khuatir kerana situasi itu hanya berlaku ketika di set filem Sindiket. Dalam filem arahan sutradara tersohor, Bade Haji Azmi itu, Daphne memengang watak sebagai Inspektor Sabrina yang bertugas di Sabah dan diarahkan bekerjasama dengan seorang pegawai polis dari Kuala Lumpur, Inspektor Rudy (Sharnaaz).
Mereka ditugaskan membanteras sindiket pemerdagangan manusia yang berleluasa di satu kawasan di Sabah. Diletakkan dalam satu pasukan, namun Sabrina dan Rudy saling bertelagah ketika menjalankan tugas kerana Rudy sering belagak manakala Sabrina hanya mahu menegakkan pendapatnya.
Begitu pun, pertama kali berkerjasama dengan aktor itu, kata Daphne dia berasa teruja kerana selama ini dia hanya sekadar mendengar saja tentang lakonan Sharnaaz yang sering menerima pujian melalui akhbar dan TV. Sambil bekerja, ini juga masanya untuk ibu anak dua ini mengenali jejaka kelahiran Pulau Pinang itu.
“Sebelum ni saya hanya dengar namanya dan hanya tahu serba sedikit tentang dia. Tapi bila dapat kenal betul-betul dengan Sharnaaz, dia sebenarnya sangat menjengkelkan (gelak). Dalam set sebagai Sabrina, saya memang rasa meluat dengan Rudy (Sharnaaz). Ketika di luar set pun sama!”, selorohnya sambil melepaskan geram kerana Sharnaaz tidak habis-habis menyakatnya ketika di set.
“Tapi sebenarnya saya suka dia, lakonannya bagus. Dah empat hari saya dan Sharnaaz di set. Setakat ni kami tak ada masalah. Malah saya kagum dengan caranya. Bayangkan dalam pada kami tengah berlawak, tiba-tiba pengarah suruh action, serta merta Sharnaaz bertukar kepada wataknnya, sedangkan saya masih cuba menahan ketawa. Sharnaaz memang seorang pelakon yang bagus”, tambah Daphne.
Beliau ditemui di set lokasi penggambaran filem Sindiket di Unit Udara Polis Sabah, pada Rabu lalu. Pada hari tersebut telah dijalankan penggambaran babak melibatkan penerbangan pesawat khas dan lakonan oleh Datuk Jalaluddin Hassan, Sharnaaz dan Daphne sendiri.
Seperkara lain yang menjadi cabaran Daphne sepanjang menghidupkan watak Sabrina, ibu kepada dua anak ini terpaksa mengikis sebahagian besar sifat dirinya.
“Saya kena tinggalkan Daphne Iking dan menjadi Sabrina. Saya ni seorang yang periang dan suka ketawa serta pendamai untuk semua orang tetapi bila diberi watak polis ini saya akui amat sukar untuk ubah sikap saya bagi menjiwai watak ini.
“Sehinggakan saya beberapa kali ditegur oleh Bade, dia kata ekspresi muka saya tak cukup garang dan serius ketika berlakon. Namun pengarah, memberi peluang kepada saya untuk cuba buat beberapa kali sehingga ianya berjaya”, ujarnya.
Berbaki 25 hari lagi penggambaran, filem yang mengetegahkan isu Human Trafficking atau Pemerdangan Manusia ini turut bakal menjalani penggambaran di sekitar Pulau Sebatik, Kalimantan Indonesia.
Selain Daphne dan Sharnaaz, filem terbitan Loyal Studio Sdn Bhd yang menelan belanja RM3 juta ini turut membariskan pelakon seperti Liyana Jasmay, Sharifah Amani, Rashidi Ishak, Tony Eusoff dan Soo Wincci. – MalaysianDigest