Menurut laporan yang disiarkan di Kosmo!, pelantun lagu Kata Akhirmu itu mengakui, sememangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan Sarah Suhairi. Dia juga tidak menafikan, hubungan mereka sedang dalam fasa yang amat istimewa.
“Saya akui memang kami rapat. Sarah ialah kawan perempuan paling istimewa dalam hidup saya sekarang.”
“Bercinta atau tidak, biarlah persoalan itu wujud antara kami berdua sahaja buat masa sekarang. Saya tidak mahu kalau terlebih dicanang dan andai kata hubungan tidak berjalan seperti dikehendaki, hal kami akan menjadi buah mulut orang pula pada kemudian hari,”
– Ariff Bahran
Bercerita lebih lanjut bagaimana hubungannya dengan Sarah mula rapat, Bahran, 20, menjelaskan, semuanya bermula ketika mereka sama-sama berjuang dalam program Big Stage tahun lalu. Mereka juga sering menghabiskan masa bersama memandangkan kedua-duanya bernaung bawah label yang sama, Rusa Music.
“Masa bertanding dalam Big Stage, kami semakin rapat sehinggakan keluarga masing-masing sudah kenal antara satu sama lain.
“Sebenarnya, kami sudah lama kenal. Saya mengenali Sarah sebelum menyertai Big Stage lagi berikutan berada di bawah label sama.
“Hubungan kami mula serius sejak November tahun lalu. Saya pinta agar peminat mendoakan semuanya berjalan dengan baik,”
– Ariff Bahran
Bagaimanapun, anak jati Selangor itu tidak mahu terburu-buru untuk mengkategorikan hubungan mereka sebagai pasangan yang sedang hangat bercinta.
“Saya tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi. Maklumlah, kami masih muda dan perjalanan hidup pun masih panjang.
“Bagi saya, biarlah waktu yang menentukan segalanya. Lagi pun, saya tidak mahu beria-ria namun mengharapkan pengakhiran yang terbaik dalam hubungan kami. Insya-Allah,”
– Ariff Bahran
Diusik pertanyaan, tidakkah keterbukaan berkongsi kisah percintaan kelihatan terlalu terburu-buru memandangkan usia masih hijau, Bahran tidak menafikan perkara tersebut.
“Sepertimana saya ingin fokus terhadap dunia nyanyian, saya yakin Sarah juga begitu. Fokus utama sekarang adalah urusan berkaitan kerjaya. Andai semua sudah stabil (dari segi ekonomi), saya mengharapkan sesuatu yang baik daripada hubungan ini.
“Bekerja dalam bidang yang sama, semestinya saya akan memberikan sokongan dan semangat kepadanya untuk terus cemerlang sebagai penyanyi. Saya juga mengharapkan perkara sama daripadanya,”
– Ariff Bahran
Apa Kata Sarah Suhairi?
Sementara itu, Mstar pula melaporkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Sarah Suhairi yang mengakui Ariff Bahran adalah kawan lelaki yang paling rapat dengannya buat masa kini.
Sarah Suhairi berkata hubungan dia dan Ariff masih dalam peringkat berkawan dan mereka menjadi rapat disebabkan berada bawah syarikat pengurusan yang sama.
“Boleh dikatakan Bahran adalah lelaki yang paling saya rapat buat masa sekarang. Dia seorang kawan yang baik tapi kami berdua memang rapat sebagai kawan sahaja.
“Saya harap semua orang doa yang baik-baik sahaja. Kami berdua memang kerap berjumpa sebab berada di bawah pengurusan yang sama,”
– Sarah Suhairi
Sarah diminta mengulas mengenai foto dia dan Bahran yang dimuat naik di laman sosial masing-masing sempena sambutan tahun baharu. Foto tersebut telah menarik perhatian peminat yang beranggapan mereka berdua mempunyai hubungan istimewa.
Bagaimanapun, ada segelintir netizen yang mempersoalkan bagaimana dengan hubungan Sarah dengan penyanyi Andi Bernadee memandangkan mereka pernah digosipkan bercinta.
Menurut Sarah, dia tidak kisah namanya kerap dikaitkan dengan penyanyi lelaki kerana beranggapan semua orang ada pandangan tersendiri.
“Saya dan Andi juga kawan dan sampai sekarang kami masih lagi kawan. Andi pun kawan Bahran juga. Kami semua rapat sejak program Big Stage.
“Terpulang pada pandangan masing-masing. Saya tahu menjaga batas pergaulan dan hubungan dengan mereka,”
– Sarah Suhairi
Gosip cinta Ariff Bahran dan Sarah Suhairi buat Sissy Imann patah hati?
Agak pelik juga sebab semasa program realiti Big Stage berlangsung tahun lalu, penyanyi Ariff Bahran dikatakan berteman rapat dengan Sissy Imann. Masa tu, Budiey ada dengar gossip yang mereka berdua ni bercinta. Tup Tup, sejak awal tahun ini, timbul gosip lain pulak. Bahran menjalinkan hubungan dengan juara Big Stage, Sarah Suhairi.
Apa sebenarnya yang terjadi antara Bahran dan Sissy? Ada media telah bertanya kepada Sissy Iman semasa beliau hadir di majlis sambutan ulang tahun Datuk Seri Siti Nurhaliza #SitiGolden40th di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
“Sebenarnya, saya memang berkawan sahaja dengan Bahran. Malah, semua peserta Big Stage bersahabat baik. Ada yang salah sangka dan anggap kami bercinta.
“Terkini, bila timbul gosip cinta antara Bahran dan Sarah, ada pula segilintir pihak yang menganggap saya patah hati. Sejujurnya, kami memang bersahabat sahaja,”
– Sissy Imann
Dalam pada itu, Sissy juga menjelaskan yang dia masih berkawan dengan Bahran.
“Hubungan kami seperti dulu, hanya sekadar teman sahaja. Tak wujud sebarang isu kerana kami memang bersahabat sahaja.
“Semua peserta Big Stage memang rapat dan saling menyokong antara satu sama lain,”
– Sissy Imann
Apa-apa pun, sama ada Bahran dan Sarah bercinta ke tidak, itu semua soal hati. Biarlah mereka rahsiakan. Takut nanti putus, orang pulak mengata. Kalau bercinta over sangat pun tak boleh jugak. Nanti orang naik muak. Cakap macam-macam. Gimik lah itulah inilah. Betul tak?