TV3: BEST OF MUSICAL
Akustika 2010 – Raya Pertama, 10 September, 6.00 petang
Akustika Raya muncul lagi untuk kali kedua! Kali ini, program muzikal yang diterbitkan oleh Khalijah Mohamad (Primeworks Studios) menampilkan 3 bintang muda yang berbakat, Yuna, Aizat dan Noh diiringi oleh kugiran/kumpulan masing-masing bakal menemui para peminat muzik dan seni tanahair pada Hari Raya pertama. Mini konsert raya berkonsepkan unplugged ini membawa penonton menikmati persembahan dalam corak santai dan relaks dari ketiga-tiga finalis Anugerah Juara Lagu-24 yang akan memperkenalkan single terbaru daripada album terkini mereka dan juga sebuah lagu evergreen pilihan yang pastinya akan menceriakan lagi lebaran anda!
Stylistika Siti – Raya Kedua, 11 September, 5.00 petang
‘Stylistika Siti’, merupakan satu program muzikal yang pastinya dinantikan oleh peminat-peminat penyanyi tersohor tanahair yang bakal dikendalikan oleh beliau sendiri. Uniknya, program 60 minit ini akan menyaksikan Datuk Siti Nurhaliza mendendangkan lagu-lagu popular yang menjadi kegilaan ribuan peminat beliau dan diselang-selikan dengan persembahan peragaan fesyen rekaan busana koleksi istimewa daripada pereka tempatan dengan diiringi pemuzik-pemuzik professional yang dipimpin oleh Aubrey Suwito. Pastinya para peminat akan teruja untuk mendengar kisah dan memori Datuk Siti yang akan berkongsi pengalaman sepanjang beliau giat aktif di persada seni bersama beberapa pereka fesyen terkenal tempatan yang secara tidak langsung sedikit-sebanyak telah membantu melonjakkan nama Datuk Siti melalui penampilan dan gaya beliau yang tersendiri yang menepati imej sopan dan manis bersesuaian dengan ciri-ciri gadis timur. Bukan itu sahaja, turut memeriahkan rancangan ini, Datuk Siti Nurhaliza juga menjemput Noh (Hujan) untuk bersama-sama membuat persembahan dengannya buat julung-julung kalinya di kaca televisyen.
Fenomena Faizal Tahir – Raya Kedua, 11 September, 6.00 petang
Mari berhibur bersama Superman Malaysia, Faizal Tahir, ditemani dengan rakan dan idola beliau seperti Adibah Noor, M.Nasir dan Lan (& The Typewriter) di dalam sebuah musikal istimewa berkonsepkan santai dan standing crowd. Pastinya sambutan lebaran akan lebih meriah dengan dendangan lagu-lagu hits Faizal koleksi album sulungnya, Aku. Muzik. Kamu seperti Mahakarya Cinta, Sampai Syurga, Cuba dan Bencinta dan tidak ketinggalan Selamat Malam, Adrenalin, Hanyut dan Superhero daripada album terbaru beliau.
Semua Untukmu…Anuar Zain – Raya Ketiga, 12 September, 6.00 petang
Sambutan Syawal tahun ini juga akan dimeriahkan lagi dengan kemunculan eksklusif penyanyi lelaki tersohor negara, Anuar Zain dalam program musikal Semua Untukmu … Anuar Zain. Program selama satu jam setengah memaparkan 6 segmen yang merangkumi genre lagu-lagu Pop dan Balada yang digubah semula seperti medley Pandangan Pertama/Permata/Suria Siarra, medley Jangan Bersedih Lagi/ Mungkin/Keabadian Cinta, medley Perpisahan Ini/Ketulusan Hati/ Lelaki Ini, lagu Semua Untukmu, medley Hanya Kau Yang Mampu/ Terima Kasih Cinta, medley Jerat/ Fly Me To The Moon/Sesucinya Cintamu dan juga medley Bila Resah/Kau Bunga Cintaku. Nantikan juga segmen khas Anuar Zain berduet bersama kakak kesayangannya, Ziana Zain. Selain itu, paparan menarik di sebalik tabir juga akan diselang-selikan untuk tontonan semua.
Mentor 4 Raya – Raya Kesepuluh, 19 September, 9.00 malam
Berkonsepkan santai dan padat dengan elemen hiburan, rakaman khas episod Syawal kali ini turut membariskan gandingan sifu dan protege musim ke-4 seperti rocker Malaysia, Mus bersama Ayim, Joe Flizzow dan Ila, Mas Idayu menampilkan Shaq, Azmeer dan anak didiknya, Nani, serta kemunculan Dayang Nurfaizah bergandingan dengan naib juara musim ke-4, Adi. ‘Mentor Raya’ kali ini turut mengundang penyanyi bersuara lantang yang diminati ramai, Ziana Zain, yang telah banyak membantu mengasah bakat juara, Mohd, ketika program Mentor ke-4 ke udara. Para peminat Mentor juga pastinya teruja dengan kemunculan istimewa, pengacara popular Ally Iskandar dan koreografer terkenal, Sazlan menambahkan lagi kemeriahan dan telatah lucu di dalam episod khas Syawal ini.