Penyanyi yang juga salah seorang peserta program realiti Big Stage 2020, Sandra Dianne telah menghembuskan nafasnya yang terakhir awal pagi tadi setelah lima hari bertarung nyawa mengalami koma dalam keadaan kritikal, tidak sedarkan diri selepas terbabit dalam satu kemalangan, pada hari Sabtu lalu.
Penyanyi wanita yang berusia 26 tahun ini dikhabarkan telah meninggal dunia pada awal pagi hari Jumaat 11 September di Hospital Putrajaya. Bertuahnya Sandra, kerana perginya di penghulu segala hari, hari Jumaat yang cukup mulia.
Pemergian itu dilaporkan menerusi laman sosial Instagram rakan seperjuangannya, Usop yang memaklumkan tentang berita duka itu.
Pemergian Sandra juga dimaklumkan penyanyi berasal dari Singapura, Sufie Rashid melalui entri di Instagram, kira-kira jam 1.20 pagi.
Sufie menulis:
“Assalamualaikum semua, minta sedekahkan al-Fatihah untuk Sandra yang telah meninggalkan kita.
“Selamat pulang ke Rahmatullah sahabatku. You’re a good friend with a beautiful heart (anda sahabat yang baik dan berhati mulia).
“Terima kasih sebab beri saya peluang untuk satu pentas dengan awak. Semoga awak tenang di sana… Innalillahiwainnailaihirojiun.”
– Usop
Berita sedih itu juga nyata memilukan ramai rakan selebriti lain termasuk rakan karibnya Neeta Manisha, Zizi Kirana, serta rakan seperjuangannya dalam program Big Stage 2020.
Jenazah Sandra Dikebumi di Sabah
Jenazah Sandra Dianne yang meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada jam 1 pagi hari ini akan dibawa pulang ke Sabah untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kg Kauluan, Tuaran, Sabah.
Menurut jurucakap Sony Music Entertainment Malaysia, Veea Norman, dia mewakili pihak keluarga meminta doa semua agar segala urusan pengebumian Allahyarham dipermudahkan.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya ingin mengesahkan Sandra Dianne meninggal dunia pada hari ini, 11 September 2020 pada jam 1 pagi di Hospital Putrajaya.
“Jenazah akan dibawa pulang ke Sabah dan akan dikebumikan di Kg. Kauluan, Tuaran.
“Pihak keluarga Sandra memohon untuk semua mendoakan agar segala urusan pengebumian dipermudahkan dan memohon maaf bagi pihaknya jika ada salah dan silap. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah,”
– Veea Norman
Pada Sabtu, Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria, 26, terlibat dalam satu kemalangan kereta di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP). Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Sandra dan sepupunya dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk latihan penuh konsert Big Stage.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta yang berada di depannya berhenti secara mengejut.
Sandra popular dengan lagu HEY! KAU yang meraih tujuh juta tontonan di YouTube dan lagu ini pernah berjaya memasuki Separuh Akhir Muzik Muzik TV3 tahun lalu. Selain itu, Sandra juga melancarkan single berjudul Tulus pada 7 bulan yang lalu.
Bagaimanapun, penyanyi kelahiran Sabah ini seolah-olah lenyap dari persada muzik tanah air selepas itu.
Menerusi temubual terdahulu, arwah yang bakatnya dicungkil melalui program realiti Mentor Legend 2014, menafikan dirinya tidak lagi aktif.
Sebaliknya, selepas kejayaan single pertamanya, Sandra masih ligat merakamkan lagu dan memiliki empat single.
Sandra juga aktif menulis lagu dan bekerja di belakang tabir. Selain itu, arwah menguruskan perniagaan ikan masin.
Sandra dilahirkan dengan nama penuh Alessandra Dianne Ampuria pada 16 September 1994.
Arwah mempunyai seorang abang dan adik tiri perempuan.
Sandra mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal sejak Sabtu.
Semasa berada di Big Stage 2020, Sandra Dianne pernah berduet dengan Sufi Rashid dan sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan.
Menerusi laporan, pada hari Sabtu lepas, Sandra telah dikejarkan ke wad kecemasan di Hospital Putrajaya selepas terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Putrajaya.
Difahamkan ketika itu Sandra yang ditemani sepupunya dalam perjalanan ke sesi latihan konsert mingguan Big Stage di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Dalam pada itu, Bella memberitahu sepupu Sandra yang turut terlibat dalam kemalangan itu mengalami kecederaan di tangan dan masih dirawat di hospital yang sama.
Sebelum ini, ibu kepada penyanyi Sandra Dianne yang terlibat dalam kemalangan baru-baru ini merayu kepada orang ramai yang berada di tempat kejadian agar memulangkan telefon bimbit Sandra Dianne.
Kami di Budiey Channel mengucapkan salam takziah pada seluruh ahli keluarga Sandra dan semoga rohnya sentiasa berada di bawah lindungan Allah. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah, semoga ruhnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.