Lebih menyedihkan perkahwinan pasangan artis ini ada antaranya tidak sampai setahun pun usianya. Hal ini menimbulkan persoalan apakah benar hidup bersama orang popular tidak akan menjanjikan kebahagiaan atau perceraian mereka ini menjadi gambaran kepada masalah semakin meruncing dalam institusi kekeluargaan di kalangan masyarakat tempatan sekarang?
Untuk menyenaraikan satu persatu perceraian artis yang berlaku dalam ruangan ini sepanjang 2008 mungkin tidak mencukupi kerana jumlah mereka terbabit terlalu ramai.
Untuk itu kami menyenaraikan 10 perceraian artis mengikut susunan berdasarkan peristiwa yang dianggap mampu memberikan pengajaran kepada semua. Malah ada kes perceraian membabitkan artis ini agak pelik dan tidak kurang kontroversinya, terutama membabitkan punca ia berlaku.
Pastinya sepanjang 2008, perceraian antara dua pelakon popular Mohamed Norhakim Zaidon, 32, atau Norman Hakim dan Arbaiyah Abdul Manan, 30, atau Abby Abadi paling menjadi perhatian kerana ia berlaku penuh drama dan puncanya pula agak mengaibkan.
Segalanya bermula apabila Norman ditangkap basah bersama pelakon muda, Memey Suhaiza, 20, yang juga anak saudara dramatis Darling Ngasri.
Bagaimanapun, kes itu belum dibicarakan di mahkamah.
Dalam diam masalah rumah tangga Norman dan Abby sebenarnya sudah berlanjutan sebelum ini apabila pelakon utama filem dan drama Pasrah itu dilaporkan tidak pulang ke rumah hampir lapan bulan. Malah sewaktu Abby melahirkan anak ketiga mereka, Norman tiada di sisi.
Norman turut dikatakan sudah lama menjalinkan hubungan dengan Memey tanpa pengetahuan Abby dan beberapa hari selepas mereka ditangkap basah, Abby mohon cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur. Ia disahkan 18 Disember lalu selepas Norman melafazkan cerai terhadap Abby di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammed.