Istimewanya, dia turut bergandingan dengan pemain gitar tersohor dan bekas anggota Wings, Jobranko, untuk projek tersebut. Yonnyboii, atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor, mengakui bahawa lagu ini sangat istimewa kerana terilham daripada perasaan peribadi.
Dicipta bersama komposer Amy Bong, Yonnyboii memberitahu bahawa sebagai seseorang yang berdepan masalah mental, dia ingin menyelami jiwa pendengar menerusi karya ini.
“Saya mahu ‘Nadi’ ini dirasakan secara peribadi dalam hati pendengar. Lagu ini saya tulis mengenai bagaimana saya berdepan keresahan dan ketakutan apabila berjumpa dengan orang baharu. Saya bimbang dan segan untuk meminta pertolongan daripada sesiapa. Saya mahu mereka yang berdepan situasi serupa dapat bangkitkan kekuatan dalam diri untuk menanganinya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Yonnyboii, mesej utama dalam lagu tersebut adalah untuk menyuntik semangat hidup kepada pendengar. Sesiapa juga pasti menginginkan kebebasan daripada perasaan yang gelap.
“Ia menggambarkan bagaimana saya dihantui oleh perasaan tertentu dan mahu membebaskan diri daripadanya. Kesimpulannya, saya cuba mengejar kebebasan,” tambahnya. Paling mengujakan bagi Yonnyboii adalah peluang bergandingan dengan Jobranko. Baginya, peluang keemasan itu adalah satu penghormatan besar daripada figura yang sudah lama bertapak dalam industri seni tanah air. “Saya bangga apabila gabungan ini tercipta daripada dua generasi berbeza,” ujarnya.
Sementara itu, Jobranko sendiri sangat menghargai gandingan tersebut yang sekali gus menunjukkan satu penghargaan pemuzik lama kepada yang baharu. “Sebenarnya, kolaborasi ini memang sesuatu yang tidak dijangkakan. Secara jujurnya, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk beraksi dalam lagu ‘Nadi’ dengan Yonnyboii. Saya sangat menghargai Yonnyboii sebagai seorang pemuzik yang berbakat besar. Dia memang artis yang memiliki pegangan tersendiri. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada penerbit lagu ini, Amy Bong, dan semua warga Universal Music Malaysia termasuk pasukan Yonnyboii untuk kolaborasi ini,” kata Jobranko, bekas anggota kumpulan Wings.
Sudah melancarkan video muzik (MV) baru-baru ini, Yonnyboii sangat gembira dengan hasil sentuhan pengarah kreatifnya, Andrew Lim. Menurutnya, dia hanya memberikan panduan kepada Andrew mengenai konsep asas yang diinginkan, dan ternyata kepercayaan itu digalas dengan cemerlang oleh pengarah tersebut.
“Saya serahkan kepercayaan kepadanya. Dia berjaya memberikan hasil yang sangat baik untuk menggambarkan isi hati saya. Andrew yang mencipta keseluruhan jalan ceritanya. Misalnya, adegan saya melarikan diri dari kontena, kenapa saya berbuat demikian, dan sebagainya. Disebabkan lagu ini adalah sebuah karya bergenre rock jiwang, saya cuma beritahu mereka konsep yang diinginkan, iaitu sesuatu yang ‘grunge’ dan rock,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Yonnyboii turut berharap bahawa “Nadi” mampu mengulangi kejayaan lagu-lagu terdahulunya. Menurutnya, dia inginkan mesej dalam lagu ini berjaya membekas di hati sesiapa sahaja yang mendengar. “Nadi” kini boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music mulai 21 Jun lalu, dan MV rasmi sudah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Yonnyboii pada tarikh yang sama.