Pelakon Diana Danielle mendoakan yang terbaik buat bekas suaminya, Farid Kamil selepas mereka sah bercerai secara dalam talian menerusi aplikasi Google Meet di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini, hari ini.
Selain itu, Diana yang kelihatan tenang enggan berkongsi secara terbuka mengenai perasaannya ketika menerima lafaz cerai daripada Farid.
Memetik Kosmo Online, Diana melahirkan rasa syukur kerana prosiding lafaz cerai berakhir dengan aman seperti yang dimohon sebelum ini.
Bahkan, segala perasaan duka yang dialaminya juga tidak akan dipaparkan kepada umum dan hanya dirinya sahaja mengetahui segala-galanya.
Mengulas lanjut mengenai rasa sedih yang disimpan rapi, dia enggan memberi sebarang tanggapan negatif memandangkan dirinya adalah figura yang dikenali ramai.
Diana juga enggan memberi sebarang kenyataan berkaitan Farid memandangkan bekas suaminya tidak hadir ke mahkamah hari ini.
Ditanya fokus selepas bercerai, Diana berkata, anak-anak menjadi keutamaannya selepas ini selain masih mencari arah dalam menjalin semula hubungan baik dengan Farid terutama berkaitan dua cahaya mata mereka.